fb fb fb fb fb

Ketahanan emosi: Pelindung Generasi Z era digital

Penulis, Nurul Afreen Naquiah Haminuddin (gambar kecil) / Foto Hiasan / Bernama

SAUDARA PENGARANG

Ketahanan emosi adalah keupayaan untuk bangkit setelah menghadapi cabaran kehidupan. Dalam konteks belia, keupayaan ini semakin penting berikutan tekanan sosial, cabaran digital dan perubahan pesat norma dalam dunia moden. Istilah seperti “hati tisu” dan “mudah koyak” sering dilontarkan untuk menggambarkan generasi muda. Namun, adakah ini adil?

Sebaliknya, kita perlu memahami bahawa Generasi Z menghadapi cabaran unik yang memerlukan daya tahan emosi lebih kukuh. Ketahanan emosi bukan sekadar kemampuan mengharungi tekanan, tetapi juga cara untuk mencegah masalah sosial seperti buli, kemurungan, dan krisis identiti.

Statistik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNICEF )menunjukkan satu daripada lima belia Malaysia mengalami tekanan emosi akibat buli siber. Media sosial pula memburukkan lagi keadaan, apabila ramai belia mengaitkan nilai diri mereka dengan bilangan “likes” dan pengesahan sosial.

Namun begitu, Generasi Z memiliki kelebihan tersendiri. Mereka lebih celik teknologi dan mudah mendapatkan maklumat. Kelebihan ini boleh membantu mereka memahami isu kesihatan mental dengan lebih baik, asalkan dibimbing untuk memanfaatkannya secara positif dalam membina daya tahan emosi.

Buli, sama ada secara fizikal atau siber, adalah isu utama yang melanda belia. Mengapa ia berlaku? Biasanya, ia berpunca daripada ketidakstabilan emosi dan kekurangan empati, baik daripada pelaku mahupun mangsa. Ketahanan emosi mampu mengatasi masalah ini melalui tiga cara utama:

Membantu mangsa: Belia yang berdaya tahan mampu menangani buli tanpa trauma berpanjangan, contohnya, dengan menetapkan sempadan tegas dan mendapatkan bantuan.

Mengubah pelaku: Ketahanan emosi yang tinggi membantu pelaku mengenal pasti dan menguruskan emosi mereka dengan lebih baik sebelum bertindak negatif.

Mewujudkan komuniti positif: Belia yang berdaya tahan cenderung menyokong rakan yang menjadi mangsa buli, sekali gus memupuk persekitaran yang lebih harmoni.

Strategi membina ketahanan emosi

Ketahanan emosi bukan sahaja alat untuk bertahan, tetapi juga kekuatan untuk mengubah persekitaran sosial menjadi lebih positif. Ketahanan emosi dalam kalangan belia boleh dibina melalui usaha individu yang disokong oleh peranan rakan sebaya.

Pada peringkat individu, belia boleh mengamalkan latihan kesedaran (mindfulness), di mana mereka meluangkan masa untuk memahami dan menguruskan emosi tanpa bertindak balas secara impulsif. Aktiviti seperti berjalan perlahan di kawasan yang tenang sambil memberi perhatian kepada persekitaran boleh membantu mereka menenangkan fikiran apabila berasa tertekan.

Selain itu, menulis jurnal harian juga berkesan dalam membantu seseorang memproses emosi dan merenung pengalaman, manakala usaha untuk menguasai kemahiran baharu seperti seni, muzik, atau sukan boleh meningkatkan keyakinan diri dan memberi rasa pencapaian.

Dalam konteks rakan sebaya, hubungan sosial yang positif memainkan peranan besar dalam membina ketahanan emosi. Membentuk komuniti sokongan, di mana belia dapat berkongsi cabaran emosi secara terbuka, mencipta ruang untuk mendengar dan memberi sokongan tanpa menghakimi.

Media sosial, yang sering dikaitkan dengan tekanan emosi, juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan mesej positif. Kempen seperti #ItsOkayToNotBeOkay menunjukkan bagaimana belia boleh saling memberi galakan dan menggunakan platform digital untuk mendidik rakan sebaya mengenai pentingnya kesihatan mental.

Dengan sokongan rakan sebaya yang memahami, belia lebih mudah menangani cabaran hidup dan membina daya tahan emosi lebih kukuh. Perkara ini membuktikan bagaimana media sosial boleh digunakan secara positif untuk menyokong kesihatan mental.

Walaupun media sosial sering dikaitkan dengan tekanan emosi, ia juga boleh menjadi alat untuk membina daya tahan. Dengan mengikuti akaun yang mempromosikan motivasi dan pandangan positif, belia boleh memanfaatkan media sosial sebagai ruang selamat untuk sokongan emosi.

Belia dan masa depan ketahanan emosi

Ketahanan emosi adalah kemahiran penting yang perlu dipupuk sejak awal. Ia bukan sahaja membantu belia mengharungi cabaran hidup, tetapi juga membolehkan mereka menjadi penyumbang positif kepada masyarakat. Dengan sokongan kolektif daripada individu, keluarga, rakan sebaya, guru, dan masyarakat, kita mampu melahirkan generasi yang lebih kuat dari segi emosi.

Sebagai kaunselor pelatih, saya percaya penting untuk terus mendidik, menyokong, dan memberi ruang kepada belia untuk berkembang. Generasi Z bukanlah “hati tisu”, tetapi wira yang sedang belajar menguatkan diri mereka dalam dunia penuh cabaran ini.

PENULSI, NURUL AFREEN NAQUIAH HAMINUDIN, Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN