SAUDARA PENGARANG
Keputusan Malaysia keluar daripada senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS) merupakan berita positif yang mencerminkan kestabilan ekonomi negara. Langkah ini menunjukkan Malaysia berjaya memenuhi piawaian antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagang yang dipercayai di peringkat global.
Namun, untuk mengekalkan kedudukan ini, usaha berterusan diperlukan, termasuk meningkatkan ketelusan kewangan dan memperkukuh daya saing ekonomi. Sebelum ini, Malaysia pernah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang AS atas sebab seperti lebihan dagangan dengan AS dan campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing.
Walaupun langkah itu bertujuan mengekalkan kestabilan ekonomi domestik, ia dianggap boleh mempengaruhi nilai mata wang secara tidak adil dan tidak selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara. Jabatan Perbendaharaan AS menggunakan beberapa kriteria utama untuk menyenaraikan sesebuah negara dalam pemantauan.
- Lebihan dagangan barangan dengan AS melebihi AS$15 bilion (AS$1 = RM4.48).
- Lebihan akaun semasa yang ketara, sekurang-kurangnya 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
- Campur tangan konsisten dalam pasaran pertukaran mata wang asing sekurang-kurangnya selama lapan bulan dalam setahun, dengan pembelian bersih sekurang-kurangnya 2 peratus daripada KDNK dalam tempoh 12 bulan.
Berdasarkan data terkini, Malaysia tidak lagi memenuhi ketiga-tiga kriteria tersebut, membolehkan negara ini dikeluarkan daripada senarai pemantauan. Pengeluaran ini bukan kebetulan, tetapi hasil dasar ekonomi yang stabil dan telus.
Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dengan memastikan campur tangan dalam pasaran mata wang dilakukan secara minimum dan hanya bila perlu untuk mengekalkan kestabilan kewangan.
Selain itu, usaha mempelbagaikan rakan dagang dan meningkatkan permintaan domestik turut membantu mengurangkan ketidakseimbangan dagangan. Untuk memastikan Malaysia kekal keluar dari senarai pemantauan, beberapa langkah boleh diambil:
1. Mempertingkatkan ketelusan dasar mata wang
Ketelusan adalah kunci kepada keyakinan pelabur dan rakan dagang. BNM perlu melaporkan data rizab antarabangsa dan operasi pasaran mata wang secara berkala. Sebagai contoh, Bank Pusat Chile telah melaksanakan dasar ketelusan baharu pada 2018, menyediakan maklumat tambahan melalui laman web mereka, yang boleh dijadikan panduan untuk Malaysia.
2. Mengurangkan import dan mengukuhkan permintaan domestik
Pelaburan dalam industri berpotensi dan meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan domestik mampu mengurangkan kebergantungan kepada import. Pendekatan seperti yang dilakukan China melalui dasar "travel the road of self-reliance" pada 2018 boleh dijadikan rujukan.
3. Memperluaskan pasaran dagangan
Memperbanyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan mempelbagaikan eksport ke negara lain dapat mengurangkan ketergantungan pada pasaran tertentu. Usaha inovasi dan pengurusan kos cekap juga boleh meningkatkan daya saing produk Malaysia di peringkat global.
4. Menggalakkan kerjasama antarabangsa
Hubungan erat dengan organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) perlu diteruskan. Komunikasi aktif dengan rakan dagang utama seperti AS dan China juga penting bagi menangani kebimbangan berkaitan dasar kewangan atau perdagangan.
Pengeluaran daripada senarai ini memberikan manfaat besar kepada negara, termasuk meningkatkan keyakinan pelabur asing, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), dan meningkatkan penarafan kredit negara, sekali gus mengurangkan kos pembiayaan projek pembangunan.
Malaysia telah menunjukkan kemajuan ketara dalam memastikan dasar mata wang sejajar dengan piawaian antarabangsa. Walaupun ini adalah pencapaian positif, usaha konsisten diperlukan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara.
Dengan meneruskan amalan ketelusan, mengukuhkan permintaan domestik, memperluaskan pasaran dagangan dan meningkatkan kerjasama antarabangsa, Malaysia mampu mengukuhkan kedudukan ekonomi dan mata wangnya.
Tambahan itu, persekitaran global yang semakin mencabar, kestabilan ekonomi, ketelusan, dan dasar yang kukuh adalah kunci kepada masa depan lebih cemerlang.
PENULIS, DR. ADILAH A. WAHAB, Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.