SAUDARA PENGARANG
Anxiety atau kebimbangan dalam kalangan pelajar di Malaysia kini menjadi isu semakin membimbangkan. Tuntutan akademik yang tinggi, tekanan sosial, dan ketidakpastian masa depan semakin memberi kesan kepada kesejahteraan mental pelajar, terutama selepas pandemik COVID-19.
Data terkini menunjukkan bahawa anxiety dalam kalangan pelajar tidak hanya terhad kepada pelajar universiti, tetapi juga melibatkan pelajar sekolah menengah dan rendah. Pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada kesihatan mental pelajar di Malaysia.
Berdasarkan kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2020, 63 peratus pelajar universiti melaporkan tahap anxiety yang tinggi akibat perubahan mendadak sistem pembelajaran dalam talian dan kekurangan interaksi sosial di kampus atau sekolah.
Peralihan ini menyebabkan pelajar tertekan dengan pembelajaran yang lebih sukar dan tiada sokongan langsung daripada tenaga pengajar. Lebih memburukkan keadaan, ketidakpastian tentang masa depan pendidikan dan pekerjaan turut menambah beban mental mereka.
Menurut Laporan Kesihatan Mental Kebangsaan 2019 yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 14.9 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental dan anxiety adalah salah satu masalah yang paling kerap dilaporkan.
Dalam kalangan pelajar pula, 33 peratus pelajar universiti dilaporkan mengalami kemurungan, dengan faktor utama termasuk tekanan akademik yang tinggi dan kebimbangan mengenai masa depan mereka selepas tamat pengajian.
Selain itu, satu kajian oleh Perbadanan Pembangunan Pendidikan Nasional pada 2021 mendapati bahawa 40 peratus pelajar sekolah menengah juga melaporkan mengalami perasaan kemurungan yang berhubung kait dengan peperiksaan, hubungan sosial, dan masalah keluarga.
Pengaruh media sosial juga menjadi punca utama anxiety. Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati bahawa lebih daripada 70 peratus pelajar merasakan tekanan untuk mengekalkan imej positif di media sosial, yang meningkatkan rasa kemurungan apabila mereka membandingkan diri dengan orang lain.
Gaya hidup yang lebih serba cepat, ditambah dengan kebergantungan pada penggunaan teknologi dan telefon pintar juga telah mengubah pola tidur dan kebiasaan harian pelajar. Kurang tidur dan ketagihan melayari internet memburukkan lagi keadaan.
Pihak berkuasa dan institusi pendidikan semakin menyedari pentingnya menangani masalah anxiety dalam kalangan pelajar. Oleh itu KKM telah melancarkan Talian Kasih 15999 untuk memberi sokongan psikologi kepada mereka yang memerlukan, sementara banyak universiti turut memperkenalkan program sokongan kesihatan mental.
Pendidikan mengenai kesihatan mental juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah dan universiti bagi mengurangkan stigma terhadap masalah anxiety dan ini memberi pelajar kemahiran untuk menghadapinya. Sokongan keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan juga adalah sangat penting dalam mengelakkan pelajar terus mengalami kemurungan.
Pendidikan dan pegangan agama yang kukuh juga boleh membantu mengawal jiwa pelajar supaya sentiasa tenang dan sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi masalah dan cabaran semasa.
Dengan peningkatan kes yang melibatkan pelajar universiti mahupun pelajar sekolah yang sanggup membunuh dan mencederakan diri sendiri serta orang lain, adalah penting untuk kita sama-sama ambil tahu dan mempertingkatkan lagi kesedaran tentang kesihatan mental serta menyediakan sokongan yang mencukupi di sekeliling kita.
Tindakan segera diperlukan untuk memastikan kesejahteraan mental pelajar terjaga demi masa depan mereka yang lebih sihat dan sejahtera.
PENULIS FARAH AZUA OTHMAN Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.