SAUDARA PENGARANG
Keputusan subjek Matematik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022 dan 2023 menunjukan angka membimbangkan apabila sekitar 86,000 dan 90,000 calon gagal dalam Matematik atau kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan calon SPM adalah gagal.
Namun lebih 75 peratus calon SPM yang lulus Matematik masih berpeluang untuk meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk politeknik. Matematik adalah subjek yang sering kali dianggap sebagai salah satu subjek yang sukar yang menjadi cabaran terbesar bagi pelajar, tidak kira di peringkat sekolah mahupun di IPT seperti politeknik.
Walaupun matematik mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian, ramai pelajar politeknik yang kurang berminat untuk mendalami subjek ini. Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka, tetapi juga kepada perkembangan kemahiran praktikal yang sangat diperlukan dalam dunia kerjaya.
Oleh itu, adalah penting untuk kita memahami faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya minat terhadap matematik dan bagaimana kita boleh mengatasi isu ini. Matematik bukan hanya penting dalam bidang akademik, tetapi ia juga merupakan alat yang digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan kerana ia menggambarkan logik corak pemikiran individu.
Dari mengira bajet peribadi hingga merancang strategi perniagaan, matematik membantu kita membuat keputusan yang lebih tepat dan rasional. Dalam dunia pekerjaan, terutamanya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, kemahiran matematik sangat diperlukan.
Pelajar politeknik yang mengikuti kursus-kursus dalam bidang teknologi, kejuruteraan, atau seni bina misalnya, akan mendapati bahawa kebanyakan tugas profesional mereka melibatkan pengiraan dan aplikasi prinsip-prinsip matematik. Namun, walaupun ia jelas memainkan peranan besar dalam pembangunan kemahiran profesional, ramai pelajar politeknik yang kurang memberi perhatian serius kepada subjek ini.
Salah satu punca utama yang menghalang minat pelajar terhadap Matematik adalah persepsi negatif mereka terhadap subjek ini. Ramai pelajar beranggapan bahawa Matematik adalah subjek yang sukar dan memerlukan keupayaan intelek yang tinggi.
Kegagalan dalam menguasai konsep-konsep asas dalam Matematik pada peringkat awal sering kali menyebabkan rasa putus asa dan kebosanan dalam kalangan pelajar. Hal ini menyebabkan mereka mengelak daripada memberi fokus sepenuhnya kepada pembelajaran Matematik.
Beberapa langkah perlu diambil oleh pihak pengurusan politeknik bagi mengatasi masalah ini. Pertama, pengajaran matematik perlu dibuat lebih interaktif dan aplikatif. Penggunaan teknologi dalam pengajaran, seperti perisian matematik dan alat pembelajaran dalam talian, dapat membantu menjadikan pembelajaran lebih menarik.
Selain itu, para pensyarah boleh mengaitkan topik-topik matematik dengan situasi kehidupan sebenar atau dengan aplikasi dalam industri, bagi menunjukkan relevansi matematik dalam kerjaya yang bakal diceburi oleh pelajar. Kedua, adalah penting untuk memberi sokongan yang lebih kepada pelajar yang menghadapi kesukaran dalam memahami Matematik.
Kelas tambahan, bimbingan daripada pensyarah, atau sesi soal jawab secara peribadi boleh membantu memperbaiki pemahaman mereka terhadap subjek ini. Motivasi juga perlu diberikan dengan menunjukkan kepada pelajar bagaimana penguasaan matematik akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang.
Corak pengajaran secara berkumpulan dalam menyelesaikan masalah Matematik boleh mendorong sikap berani menyelesaikan masalah dengan menambah keyakinan individu. Kesimpulannya, kurangnya minat pelajar politeknik terhadap subjek matematik adalah isu yang serius dan memerlukan perhatian lebih mendalam.
Dengan pendekatan lebih kreatif dan aplikatif, di samping sokongan efektif, kita boleh membantu pelajar untuk melihat nilai dan kepentingan matematik dalam kehidupan mereka. Matematik bukan subjek yang perlu dihadapi dengan penuh ketakutan, tetapi ia adalah alat penting untuk membuka peluang dan mencapai kejayaan dalam kerjaya masa depan.
Matematik perlu dilihat sebagai satu kemahiran yang perlu dimiliki dalam diri individu dan keluarga yang perlu diwarisi.
PENULIS NURLIYANA AB RAHIM Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan PENULIS BERSAMA MOHD ZAINURI SARINGAT Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.