fb fb fb fb fb

Menyibuk biarlah bertempat

Penulis Prof. Madya Dr. Haslina Muhamad (foto kecil)/RTM

SAUDARA PENGARANG

Pada hari ini, di mana informasi atau maklumat mengalir dengan deras dan bebas, garis pemisah antara prihatin dan rasa ingin tahu sering kali menjadi kabur. Kita semua pernah merasakannya – keinginan untuk tahu lebih banyak untuk berkongsi, bahkan menghakimi.

Namun, persoalan yang perlu kita ajukan adalah: Bilakah sebenarnya rasa ingin tahu kita sudah melampaui sempadan “menyibuk”? Dan bagaimana kita dapat menghayati rasa ingin tahu ini dengan cara yang menyokong kesejahteraan masyarakat dan bukannya memburukkan lagi keadaan?

Di tengah isu ini terletak satu perbezaan penting yang sering kali kita abaikan. Terdapat garis halus antara menunjukkan keprihatinan terhadap orang lain dan campur tangan dalam urusan mereka. Konsep “menyibuk biar bertempat” menggambarkan dengan tepat perbezaan ini. Ia berkaitan dengan mengetahui bila masa untuk campur tangan, dan bila masa untuk menghormati privasi seseorang.

Pada dasarnya, sikap “menyibuk” ini berakar daripada keinginan untuk mengetahui lebih banyak — sering kali kerana prihatin atau rasa ingin tahu. Namun, di sinilah pentingnya untuk kita melakukannya dengan niat yang baik dan dalam sempadan sewajarnya.

Membantu seseorang yang memerlukan, memberikan sokongan, dan menunjukkan rasa prihatin adalah tindakan yang mulia. Tetapi, jika kita melakukan dengan menyebarkan khabar angin atau menjatuhkan hukum, ia boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Inilah yang menjadikan aspek komuniti begitu penting dalam hal ini. Sesebuah komuniti itu akan berkembang dengan saling membantu dan prihatin. Seorang jiran yang menyedari rumah jirannya semakin rosak, atau seorang kawan yang merasakan seseorang sedang menghadapi kesukaran, mungkin akan mengambil langkah untuk memberi bantuan.

Dalam situasi-situasi ini, rasa prihatin adalah sesuatu yang produktif. Tetapi, apabila kita mula menyebarkan gosip atau menghakimi orang berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, kita berisiko menyebabkan kerosakan dan keburukan, bukan sahaja kepada individu tersebut tetapi juga kepada masyarakat sekeliling secara keseluruhannya.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa dalam waktu-waktu kecemasan atau kontroversi, kita sering merasa tertarik untuk mengetahui lebih banyak, berkongsi atau bahkan berspekulasi. Ini adalah naluri semula jadi manusia.

Tetapi, dalam era dikuasai media sosial, akibat daripada tindakan tersebut boleh tersebar dengan pantas dan memberi kesan mendalam. Penyebaran maklumat tidak sahih juga berpotensi menyebabkan kemudaratan dalam jangka masa Panjang, sama ada emosi bagi individu terlibat mahu pun sosial kepada masyarakat.

Kebangkitan “kesan penonton” dalam situasi seperti kemalangan jalan raya atau kejadian awam adalah contoh jelas tingkah laku ini. Dalam situasi-situasi sebegini, ramai orang lebih suka melihat dari jauh, menunggu orang lain mengambil tindakan.

Ini adalah fenomena psikologi di mana individu gagal untuk membantu kerana mereka menganggap orang lain akan melakukannya. Sikap pasif ini, meskipun kelihatan biasa, hanya akan memburukkan keadaan.

Selain itu, keinginan untuk menjadi yang pertama menyebarkan kandungan mengejutkan atau kontroversial di media sosial turut memburukkan situasi. Rami daripada kita lebih ingin menjadi yang pertama berkongsi berita diterima, daripada memikirkan akibat daripada tindakan mereka.

Keinginan untuk mendapatkan perhatian atau pengesahan ini boleh melepasi batasan privasi dan rasa hormat, semuanya demi keseronokan sementara. Jadi apa yang perlu kita lakukan mengenainya? Bagaimana kita boleh memastikan bahawa keprihatinan kita terhadap orang lain tetap memberi manfaat dan tidak terjerumus ke dalam dunia gosip atau penghakiman yang merosakkan? Ia bermula dengan kesedaran diri dan empati.

Sebagai individu, kita mesti bertanya kepada diri sendiri: Mengapa saya berminat untuk mengetahui perkara ini? Adakah saya cuba untuk membantu, atau sekadar untuk memuaskan rasa ingin tahu saya? Adakah perlu bagi saya untuk berkongsi perkara ini, dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada mereka yang terlibat?

Selain itu, kita perlu mengakui bahawa media sosial sebenarnya boleh menjadi alat yang sangat berkuasa untuk melakukan kebaikan, tetapi ia memerlukan rasa tanggungjawab. Berkongsi kandungan sensitif atau peribadi boleh membahayakan jika kita tidak berfikir langsung mengenai akibat daripada perkongsiannya.

Dalam dunia di mana segala-galanya boleh dikongsi dengan pantas, kita perlu berhati-hati dengan tindakan kita, sama ada boleh memberi kesan kepada orang lain; tidak hanya pada masa ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.

Kepentingan mengekalkan batas sempadan ini tidak boleh dipandang ringan. Kita perlu menyedari bilakah tindakan kita itu memberi manfaat, dan bilakah pula ia sebenarnya mencampuri urusan orang lain. Ini adalah perkara amat penting dalam dinamik sesebuah keluarga.

Contohnya, semasa perjumpaan sesama ahli keluarga, soalan-soalan mengenai hubungan, pilihan kerjaya atau pencapaian peribadi boleh terasa mengganggu emosi. Walaupun soalan-soalan ini mungkin datang dengan niat baik, penting untuk diingat bahawa setiap orang berhak untuk menentukan apa yang mereka kongsikan, dan bilakah masa yang sesuai untuk mereka berkongsi.

Akhir sekali, marilah kita ingat bahawa hakikatnya, “menyibuk biar bertempat” adalah tentang mewujudkan persekitaran positif dan menyokong. Tindakan kita, baik dalam talian mahu pun di luar talian, haruslah bersifat terarah kepada pembinaan ikatan komuniti dan persefahaman.

Apabila dilakukan dengan niat betul, sikap prihatin terhadap orang lain itu benar-benar mampu menyatukan kita, bukan sebaliknya. Ini bukan tentang persoalan mahu menyusup masuk ke dalam kehidupan orang lain, tetapi tentang memastikan keberadaan kita untuk membantu apabila diperlukan dan bahawa kita menghormati sempadan orang lain.

Semasa kita menelusuri garis halus ini, marilah kita berusaha menjadikan rasa prihatin sebagai nilai bersama, bukan sekadar tindakan yang mengganggu. Apabila kita mendekati kehidupan orang lain dengan rasa hormat, empati, dan keprihatinan yang sewajarnya, kita bukan sahaja memperkukuhkan hubungan, tetapi mencipta masyarakat lebih bersifat penyayang. Marilah kita sama-sama “menyibuk”; tapi berpada pada kadarnya, dan kena pada tempatnya.

PENULIS PROF. MADYA DR. HASLINA MUHAMAD, Profesor Madya Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI