SAUDARA PENGARANG
Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Sewajarnyalah penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam setiap urusan dan juga setiap paparan berkaitan dengan maklumat negara ini. Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu.
Penamaan papan tanda di negara ini merupakan urusan rasmi yang terletak bawah kelolaan kerajaan tempatan. Maka, demi menjaga identiti dan jati diri negara Malaysia, sewajarnya penulisan papan tanda mengutamakan bahasa Melayu.
Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu bersama bahasa lain yang sesuai seperti bahasa Inggeris bagi tujuan rujukan bukan penutur bahasa Melayu tidak dilarang, bahkan penggunaan dwibahasa, bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris penting bagi memudahkan penutur asing yang tidak tahu berbahasa Melayu memahami maklumat diberikan.
Penulisan papan tanda, nama jalan, dan perkara-perkara yang sama perlulah mengutamakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Singapura misalnya, menggunakan dua bahasa, bahkan ada keadaan di mana papan tanda ditulis dalam tiga bahasa, dan empat bahasa mengikut kesesuaian kawasan yang menjadi perkara utama.
Penulisan papan tanda di Singapura mengutamakan bahasa Inggeris berserta bahasa Melayu, dan ada yang memasukkan bahasa Cina, dan Tamil bergantung kepada lokasi. Bagi lokasi biasa, papan tanda ditulis menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi dan bahasa rasmi, manakala bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Inggeris merupakan bahasa kebangsaan Singapura.
Beralih ke negara Perancis, Undang-undang Toubon telah diperkenalkan pada tahun 1992 ke dalam perlembagaan. Bahasa Republik adalah Bahasa Perancis (artikel 2). Sehubungan dengan itu, undang-undang ini diguna pakai untuk memastikan hak warganegara Perancis dipelihara dalam sebarang urusan berkaitan.
Antaranya merangkumi kertas urusan rasmi, yang berkaitan dengan kontrak bekerja dan yang berkaitan dengan persembahan produk kepada pengguna, panduan, arahan serta peringatan produk, menyuarakan pendapat dan apa-apa maklumat yang diterima adalah dalam Bahasa Perancis.
Perintah pelaksanaannya pada 3 Julai 1996 telah menempatkan mekanisme untuk memperkaya dan memperkasakan lagi bahasa Perancis. Arahan ini mewajibkan penggunaan Bahasa Perancis dalam perkhidmatan dan institusi awam di seluruh negara (perintah perkara 11 dan 12), seperti mana dijelaskan seperti berikut:
- Artikel 11 - Penggunaan perbendaharaan kata dan kenyataan yang diterbitkan dalam Jurnal Rasmi adalah diwajibkan selagi terdapatnya kosa kata dan kenyataan sama maksudnya dalam bahasa asing: Dalam perintah, pekeliling, arahan dan panduan kementerian, wakil kerajaan dan dokumen, apa jua keadaan, bersumberkan perkhidmatan awam dan perbadanan negara; Dalam kes-kes yang terkandung dalam perkara 5 dan 14 seperti dipetik dalam undang-undang 4 Ogos 1994 yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Perancis. Suruhanjaya perkhidmatan awam akan memantau penggunaan istilah yang disediakan dalam perkara dan ungkapan yang diterbitkan.
- Artikel 12. - Senarai perbendaharaan kata dan kenyataan yang disahkan bawah undang-undang pemerkasaan bahasa Perancis yang telah dilaksanakan sebelum ini diterapkan ke dalam senarai yang diterbitkan bawah Arahan Majlis. Arahan ini boleh diubah selari dengan prosedur ditetapkan dalam Perintah Perkara 7 hingga 10.
Berbalik kepada isu penguatkuasaan peraturan terhadap papan tanda di sekitar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini. Ada pihak mengeluarkan kenyataan mendakwa tindakan DBKL menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa itu telah mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tindakan itu tidak mematuhi perkara yang termaktub dalam perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. DBKL bukanlah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, sebaliknya menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa lain yang mungkin dapat membantu penutur atau pelancong asing memahami makna papan tanda yang ada.
Kenyataan persepsi negatif pelancong terhadap papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu ini agak keterlaluan bagi seorang rakyat Malaysia, yang juga merupakan warganegara Malaysia; seharusnya bekerjasama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di samping menghormati bahasa-bahasa dunia lain. Perlu juga dilihat pelancong yang manakah akan melihat penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai satu perkara negatif.
Adakah ketika kita melancong ke Jepun, ke Korea, ke negara China, negara Barat seperti Perancis, Sepanyol, dan lain-lain lagi kita akan melihat penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai satu perkara negatif? Dalam soal ini jati diri dan penghayatan kepada rukunegara adalah tonggak kepada jiwa bangsa, lebih-lebih lagi apabila kita ingin mengukuhkan dan mendirikan negara bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Demi perpaduan negara dan rakyat pelbagai kaum, penguatkuasaan terhadap mengutamakan bahasa kebangsaan amat penting dan wajar dilaksanakan.
PENULIS PROF. MADYA DR. SALINAH JAAFAR, Profesor Madya Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.