fb fb fb fb fb

Membina keluarga sejahtera mengikut acuan kita

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Keluarga adalah tunggak kepada keutuhan negara. Konsep "keluarga sejahtera" di Malaysia merangkumi pelbagai aspek, termasuk kesihatan fizikal dan mental, kestabilan ekonomi, hubungan kekeluargaan yang harmoni, hubungan baik dengan komuniti dan jiran tetangga, pegangan kerohanian yang teguh, serta kemudahan teknologi yang menyokong kehidupan moden.

Dalam era globalisasi ini, banyak cabaran yang menggugat keharmonian keluarga. Daripada pengaruh gajet dan media sosial hingga isu sosial yang semakin meruncing seperti penyalahgunaan dadah dan kecurangan dalam rumah tangga; keluarga Malaysia perlu memperkukuh acuan sejahtera demi menghadapi cabaran ini.

Kesihatan asas keluarga sejahtera

Kesihatan fizikal yang baik memastikan setiap ahli keluarga dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing, manakala kesihatan mental yang stabil menjadi asas untuk hubungan harmoni. Namun, cabaran seperti tekanan kerja, kos penjagaan kesihatan yang tinggi dan kekurangan masa untuk menjaga diri menjadi penghalang utama.

Tambahan pula, kesan pandemik COVID-19 telah menekankan lagi pentingnya penjagaan kesihatan dalam keluarga. Program kesedaran kesihatan seperti saringan berkala dan kempen kesihatan mental perlu diperluaskan untuk membantu keluarga menangani tekanan ini.

Kestabilan ekonomi dan cabaran kos sara hidup

Ekonomi stabil adalah faktor kritikal untuk kesejahteraan keluarga. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai keluarga menghadapi kesukaran untuk menyediakan keperluan asas seperti pendidikan, makanan dan tempat tinggal.

Ini memberi tekanan kepada ketua keluarga, yang sering kali membawa kepada konflik dalam rumah tangga. Inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan dan skim perumahan mampu milik perlu diperluaskan bagi meringankan beban keluarga.

Selain itu, pendidikan kewangan dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif supaya setiap keluarga dapat menguruskan kewangan mereka dengan lebih berhemah dan berkesan.

Hubungan kekeluargaan harmoni

Hubungan yang erat antara ahli keluarga adalah asas kepada keharmonian keluarga sejahtera. Namun, pengaruh teknologi dan media sosial kini mengubah cara ahli keluarga berkomunikasi. Ramai ibu bapa dan anak-anak lebih banyak berinteraksi melalui gajet berbanding secara bersemuka, yang menyebabkan jurang emosi dalam hubungan mereka.

Aktiviti keluarga seperti makan malam bersama, percutian keluarga dan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah dapat memperkukuhkan hubungan ini. Pendidikan keibubapaan juga penting bagi membantu ibu bapa memahami cara mendidik anak-anak dalam era digital ini.

Hubungan dengan komuniti dan jiran tetangga

Komuniti yang kukuh menjadi pelengkap kepada keluarga sejahtera. Hubungan baik dengan jiran tetangga dapat membantu keluarga menghadapi cabaran bersama, terutamanya ketika berlakunya kecemasan.

Namun, gaya hidup moden yang sibuk menyebabkan hubungan komuniti terabai. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, program kebajikan dan perhimpunan komuniti perlu dipergiatkan untuk mengeratkan hubungan ini. Kerjasama antara keluarga dalam komuniti dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.

Pegangan kerohanian yang teguh

Kerohanian adalah elemen penting dalam membentuk keluarga sejahtera. Agama memberikan panduan moral dan nilai-nilai kehidupan yang membantu keluarga menghadapi pelbagai cabaran.

Dalam Islam, Al-Quran mengingatkan kita tentang pentingnya hubungan keluarga yang harmoni, seperti yang Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 21: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." Surah Ar-Rum, ayat 21.

Pegangan agama yang kuat dapat membantu ahli keluarga menghindari diri daripada pengaruh negatif yang mengancam kesejahteraan.

Teknologi dan kemudahan dalam rumah

Kemajuan teknologi memudahkan kehidupan seharian, namun ia juga membawa cabaran baharu kepada institusi keluarga. Penggunaan gajet tanpa kawalan sering kali menyebabkan ahli keluarga menghabiskan lebih banyak masa di dunia maya berbanding berinteraksi secara langsung.

Rumah yang dilengkapi dengan teknologi seperti internet dan alat elektronik sepatutnya digunakan untuk memperkukuh hubungan keluarga, contohnya dengan menonton program bersama atau menggunakan aplikasi untuk aktiviti keluarga. Oleh itu, pendidikan literasi digital penting bagi memastikan teknologi digunakan dengan cara yang bermakna.

Cabaran gaya hidup moden

Isu semasa seperti penyalahgunaan dadah, kecurangan rumah tangga dan penceraian semakin menjadi membelenggu keluarga di Malaysia. Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden tragis kematian empat remaja dalam konsert "Pinkfish" akibat penyalahgunaan dadah.

Kes seperti ini menunjukkan pentingnya pendidikan moral dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak. Selain itu, statistik penceraian yang semakin meningkat menunjukkan perlunya program kaunseling perkahwinan dan kursus pra perkahwinan yang lebih komprehensif bagi membantu pasangan yang berkahwin terutamanya generasi muda memahami tanggungjawab mereka.

Menuju keluarga sejahtera: Langkah dan harapan

Untuk mencapai acuan keluarga Sejahtera yang diharapkan, usaha kolektif daripada semua pihak diperlukan. Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti dan setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing.

Dasar-dasar yang menyokong kesejahteraan keluarga perlu dipraktiskan, manakala program pendidikan, pengurusan kewangan dan kesihatan perlu diberi penekanan. Pada masa yang sama, setiap keluarga perlu mengambil inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan memupuk nilai-nilai positif dalam rumahtangga.

Keluarga sejahtera adalah asas kepada masyarakat yang kukuh dan negara yang maju. Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Dengan usaha bersama, kita dapat memastikan setiap keluarga di Malaysia mampu menghadapi cabaran semasa dan membina kehidupan yang lebih harmoni, bahagia dan berjaya.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Kuantitatif, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

PROF MADYA DR. NORADHA AB HAMID
Prof. Madya Dr. Nor’Adha Ab Hamid
Pengarah Pusat Pengajian Siswazah dan Professor Madya
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Islam Selangor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI