SAUDARA PENGARANG
Kemajuan teknologi membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Penyelesaian pertikaian dalam talian (Online Dispute Resolution atau ODR) kini menjadi antara alternatif dalam menangani konflik, terutama yang melibatkan perniagaan, kontrak atau interaksi digital. Pendekatan ini menawarkan cara penyelesaian yang lebih mudah, pantas, dan berkesan dalam menangani cabaran dunia moden.
Penyelesaian pertikaian dalam talian menjadi suatu keperluan mendesak, memandangkan dunia semakin bergantung kepada teknologi. Dalam konteks globalisasi, apabila transaksi rentas sempadan menjadi kebiasaan, ODR menyediakan akses kepada keadilan tanpa mengira lokasi geografi pihak-pihak yang terlibat.
Dengan kemudahan akses kepada internet, individu dan organisasi dapat berkomunikasi serta mencapai penyelesaian konflik dengan mudah. Keupayaan ini menghapuskan halangan jarak dan menjadikan keadilan lebih inklusif.
Penjimatan dengan ODR
ODR menawarkan penjimatan masa dan kos yang signifikan. Kaedah tradisional seperti litigasi sering kali melibatkan perbelanjaan yang tinggi, termasuk yuran guaman, kos perjalanan dan masa yang diluangkan untuk menghadiri sesi perbicaraan.
Sebaliknya, ODR mengurangkan keperluan untuk kehadiran fizikal dan dokumen bercetak. Komunikasi dapat dilakukan secara serentak melalui platform digital, manakala dokumen penting boleh dikongsi secara dalam talian. Proses ini bukan sahaja lebih efisien tetapi juga mengurangkan tekanan emosi kepada individu terbabit.
Kerahsiaan juga merupakan aspek penting dalam penyelesaian pertikaian. Platform ODR dilengkapi dengan mekanisme keselamatan data bagi memastikan maklumat yang dikongsi adalah sulit dan dilindungi. Ini memberikan keyakinan kepada pihak yang ingin menyelesaikan pertikaian secara tertutup, terutamanya dalam kes-kes yang melibatkan isu yang sensitif dan peribadi.
Kebebasan dan keadilan
ODR memberikan kebebasan kepada pihak terlibat untuk memilih mediator, arbitrator atau kaedah penyelesaian yang sesuai dengan keperluan mereka. Ketelusan proses turut dipertingkatkan melalui rekod digital setiap langkah penyelesaian, yang boleh dirujuk semula pada bila-bila masa diperlukan. Ini memastikan setiap pihak memahami perkembangan kes mereka dan meningkatkan kepercayaan terhadap sistem.
Aplikasi ODR dalam kehidupan harian adalah meluas, termasuk dalam sektor e-dagang, kontrak pekerjaan, isu keluarga dan kewangan. Sebagai contoh, dalam e-dagang, pertikaian antara pembeli dan penjual mengenai penghantaran atau kualiti produk dapat diselesaikan dengan cepat melalui platform dalam talian.
Prinsip keadilan yang menjadi asas ODR turut disokong oleh ajaran Islam. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, ayat 58 menegaskan:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil." (Surah An-Nisa: 58)
Ayat ini menekankan keperluan menegakkan keadilan dan kepercayaan dalam setiap urusan, termasuk dalam penyelesaian pertikaian. Dalam konteks ODR, prinsip ini diterjemahkan melalui usaha mencapai penyelesaian yang saksama, telus dan pantas berbantukan teknologi.
Namun, berlaku jurang digital apabila terdapat sebahagian individu yang tidak mempunyai akses kepada teknologi atau kemahiran digital, menjadi halangan kepada keberkesanan ODR. Isu kebolehpercayaan platform dan keselamatan siber juga perlu ditangani untuk memastikan maklumat pihak yang terlibat sentiasa dilindungi.
Perbezaan budaya dan bahasa berupaya menyulitkan komunikasi dalam beberapa kes yang memerlukan penyelesaian yang lebih inklusif dan sensitif kepada konteks pihak terlibat.
Masa depan ODR dijangka lebih cerah dengan perkembangan teknologi semasa. Teknologi ini bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan ODR malah memperluaskan penggunaannya dalam pelbagai konteks.
Kesimpulan
Penyelesaian pertikaian dalam talian adalah inovasi yang memudahkan kehidupan manusia. Dengan kelebihan seperti akses global, penjimatan kos dan perlindungan kerahsiaan, ODR sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini.
Prinsip keadilan yang dianjurkan oleh Al-Quran memperkukuhkan lagi relevansi konsep ini, menjadikannya selaras dengan nilai-nilai universal. Dengan penambahbaikan berterusan, ODR berpotensi menjadi antara pilihan dalam menyelesaikan konflik pada masa depan.
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
Prof Madya Dr. Nor’adha Ab Hamid
Pengarah Pusat Pengajian Siswazah dan Professor Madya
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Islam Selangor