SAUDARA PENGARANG
Dalam era moden serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terjalin begitu cepat dan ada kalanya tergesa-gesa; digelar sebagai “cinta ekspres.” Walaupun keghairahan dalam perasaan adalah sesuatu yang indah, keghairahan yang tidak disertai pemikiran mendalam boleh membawa risiko besar kepada perhubungan. Rasa cinta yang terlalu cepat tanpa asas kukuh berpotensi memperjudikan kestabilan hubungan jangka panjang.
Secara konsepnya, cinta ekspres ini sering dikaitkan dengan hubungan yang terjalin dengan terlalu cepat tanpa proses pengenalan diri mendalam antara pasangan. Dalam situasi ini, keputusan besar seperti perkahwinan atau komitmen serius sering dibuat berdasarkan emosi atau analisis kurang mendalam. Faktor seperti media sosial, aplikasi temu janji, dan tekanan untuk “mengikut arus” sering mendorong individu untuk tergesa-gesa dalam memilih pasangan.
Cinta ekspres sering kali mengabaikan elemen penting dalam perhubungan, seperti pemahaman terhadap nilai-nilai teras, gaya hidup, dan matlamat pasangan. Statistik perceraian menunjukkan risiko nyata apabila hubungan dibina secara terburu-buru.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar perceraian meningkat secara mendadak khususnya melibatkan pasangan muda dengan usia perkahwinan kurang lima tahun; berpunca daripada kurang persefahaman, harapan tidak realistik, dan tekanan emosi akibat konflik yang tidak diselesaikan.
Meskipun isu penceraian ini tidaklah menjadi cerminan langsung cinta ekspres, risiko cinta tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan masa yang mencukupi untuk mengenali satu sama lain; pasangan mungkin gagal untuk memahami keperibadian, matlamat hidup, dan nilai-nilai teras masing-masing. Hal ini boleh mencetuskan konflik apabila realiti kehidupan bersama mula terbongkar apabila pasangan mula melalui kitaran perhubungan dan keluarga secara lebih mendalam.
Malah, harapan tidak realistik mendorong pasangan untuk membina harapan tinggi yang tidak realistik terhadap satu sama lain. Kegagalan memenuhi harapan ini boleh menyebabkan kekecewaan dan ketegangan dalam hubungan; akhirnya mencetuskan emosi goyah, berubah-ubah dan mudah berakhir apabila berhadapan dengan penipuan cinta atau “love scam” yang kini menjadi ancaman besar dalam era digital, terutamanya melalui aplikasi janji temu dan media sosial.
Lebih membimbangkan apabila sumber dari PDRM mendedahkan 11,092 kes penipuan cinta (love scam) dilaporkan dalam tempoh 2019–2022, melibatkan kerugian mencecah RM1.6 bilion; scammer sering mengeksploitasi keinginan individu khususnya wanita rentan untuk mencari cinta dengan membina kepercayaan.
Risiko ini sangat berkait dengan fenomena hubungan ekspres atau cinta dalam talian, iaitu mangsa mudah terjerat dalam penipuan yang kelihatan meyakinkan tetapi sebenarnya bertujuan untuk menipu secara kewangan. Keadaan ini sering berlaku kerana kurangnya pemeriksaan latar belakang dan kepercayaan secara mendalam terhadap kenalan baharu dalam talian.
Justeru, sebagai langkah lebih praktikal, individu perlu meluangkan masa untuk memahami pasangan secara mendalam. Kenali cara mereka menangani tekanan, mengurus konflik, dan matlamat hidup mereka. Oleh yang demikian, perbincangan dan komunikasi secara terbuka tentang matlamat hubungan, batasan dan nilai teras dalam diri membantu memastikan kedua-dua pihak berada di landasan sama.
Jangan biarkan tekanan daripada rakan sebaya, keluarga, atau media sosial mempengaruhi keputusan peribadi khususnya dalam mempertimbangkan risiko dan kesan daripada perhubungan ekpres ini.
Pastikan keputusan hubungan dibuat berdasarkan kesediaan dan keikhlasan hati. Berhati-hati dengan maklumat peribadi yang dikongsi dalam talian dan jangan membuat keputusan besar hanya berdasarkan komunikasi maya yang maklumatnya boleh dimanipulasi bila-bila masa.
Tidak dinafikan bahawa cinta sejati memerlukan pelaburan usaha, masa, dan kesabaran. Proses mengenali satu sama lain adalah asas penting dalam membina hubungan yang harmoni dan berkekalan.
Cinta bukan sekadar perasaan indah tetapi juga satu komitmen untuk saling memahami, menghormati, dan menyokong antara satu sama lain. Cinta ekspres mungkin kelihatan menarik pada permulaan, tetapi ia bukanlah jaminan kepada hubungan yang berjaya.
Jangan memperjudikan masa depan hubungan dengan membuat keputusan terburu-buru. Luangkan masa untuk membina hubungan yang kukuh, berdasarkan kepercayaan, komunikasi, dan kesefahaman. Ingatlah, cinta sejati bukanlah tentang kepantasan, tetapi tentang kualiti dan ketulusan dalam menyayangi.
PENULIS DR. NORSAFATUL AZNIN BINTI A. RAZAK, Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.