SAUDARA PENGARANG
Umum mengetahui, rasuah bukan isu yang mudah ditangani. Perbuatan keji ini telah berkembang menjadi jenayah yang semakin rumit dan melibatkan teknologi tinggi.
Namun begitu, dalam usaha memperkukuhkan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanfaatkan penggunaan teknik seperti pemeriksaan poligraf bagi tujuan merungkai kebenaran dengan kaedah saintifik dan lebih berkesan.
Kesungguhan usaha ini dapat dilihat dengan penyerahan sijil pelantikan sebagai Ahli Pasukan Pemeriksa Poligraf Bertauliah kepada 16 pegawai SPRM baru-baru ini. Pegawai-pegawai ini dilatih oleh agensi latihan yang diakreditasi oleh American Polygraph Association (APA) melalui Program Diploma Pemeriksa Poligraf yang berlangsung selama tiga bulan yang secara aktif membantu siasatan SPRM seluruh Malaysia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pernah menegaskan bahawa jenayah rasuah kini semakin mencabar terutama dengan penggunaan teknologi digital dan mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum sebagai medium untuk menutup jejak kewangan.
Oleh itu, jelas beliau, poligraf menjadi salah satu pendekatan saintifik yang penting dalam menghadapi kompleksiti jenayah. Poligraf adalah alat yang berkesan bagi mengenal pasti dan mengembangkan maklumat kerana ketepatannya yang diakui melebihi 90 peratus bergantung kepada teknik yang digunakan.
Maklumat daripada pemeriksaan poligraf boleh membantu pasukan siasatan mengenal pasti hala tuju siasatan sekali gus berpotensi menjimatkan masa, kos dan tenaga dalam tindakan siasatan.
Secara asasnya, pemeriksaan poligraf merupakan alat yang mengukur tindak balas fisiologi terhadap soalan-soalan yang diajukan kepada suspek atau saksi mengikut amalan terbaik yang digunakan oleh pengamal poligraf di negara lain.
Di SPRM, pemeriksaan poligraf ini bukan sahaja dilakukan bagi membantu pasukan siasatan dalam merungkai kes-kes melibatkan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah, malah turut digunakan dalam proses saringan kepada Pegawai baru SPRM sejak tahun 2021.
Pendekatan saringan kepada pegawai yang baru menyertai agensi penguat kuasa juga telah diaplikasikan secara meluas di Amerika Syarikat dan lain-lain negara.
Hasil dari pengalaman SPRM sejak tahun 1990-an, pemeriksaan poligraf juga dilihat sebagai alat yang berpotensi dalam mengurus tadbir isu-isu berkaitan integriti dan kejujuran.
Sebagai contoh, jika seseorang telah melakukan jenayah, tetapi tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang, ujian ini mampu mengesan perlakuan tersebut sekali gus dapat meningkatkan ketepatan profiling kepada calon yang disaring. Proses saringan ini antaranya, termasuklah penglibatan calon dalam penyalahgunaan dadah, jenayah berat, keganasan, isu-isu moral dan penipuan dalam permohonan jawatan.
Dari aspek yang berbeza, pemeriksaan poligraf juga boleh digunakan untuk membuat saringan dalam mengesan sejarah membuat tuntutan palsu, pengecaman barang kes, kes bersindiket, aktiviti espionaj, gangguan seksual, aduan palsu dan lain-lain kesalahan jenayah.
Apa yang menarik, pemeriksaan poligraf juga boleh digunakan sebagai syarat Program Pembebasan Banduan Berlesen seperti yang diamalkan di United Kingdom sejak 2014 bagi pelaku jenayah seksual.
Menyentuh berkaitan pemeriksan poligraf dalam konteks penyiasatan rasuah, berdasarkan kes-kes yang pernah disiasat sebelum ini, ujian poligraf telah membuktikan keberkesanannya dalam membantu mengecilkan skop siasatan dan mengesahkan penglibatan suspek.
Contohnya, terdapat satu kes yang mana pada peringkat awal siasatan, pasukan siasatan gagal menemukan wang tunai yang disorok oleh suspek. Namun, melalui penggunaan pemeriksaan poligraf, lokasi wang tunai yang disembunyikan tersebut akhirnya diperolehi dan wang tunai tersebut dijumpai dalam sebuah akuarium di pejabatnya.
Namun begitu, dalam konteks undang-undang di Malaysia, walaupun hasil pemeriksaan poligraf belum diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah, ia digunakan sebagai proses siasatan yang membantu pegawai penyiasat mempercepatkan proses mendapatkan bukti kukuh.
Meskipun pemeriksaan poligraf telah digunakan di SPRM sejak awal 1990-an, perkembangan yang ketara hanya bermula sekitar 2015 hingga 2018. Dalam tempoh tersebut, terdapat peningkatan bilangan pemeriksa poligraf daripada tiga kepada tujuh orang dan menjelang tahun 2024, pasukan tersebut terus berkembang dengan 16 pegawai dilatih oleh agensi latihan Akademi pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Latihan ini turut melibatkan kerjasama antarabangsa dengan tenaga pengajar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom meliputi modul pengendalian peralatan, teknik ujian, fisiologi, psikologi dan teknik temu bual sekali gus menunjukkan komitmen SPRM untuk memperkukuh teknik siasatan melalui penggunaan pemeriksaan poligraf.
Dalam hal ini, Akademi pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur juga dilihat berpotensi menjadi hub latihan utama bagi melatih pemeriksa poligraf yang mahir dalam teknik ini di masa hadapan. Melalui kerjasama dengan American Polygraph Association (APA), MACA mampu memperluaskan pengaruh Malaysia dalam penggunaan poligraf dalam siasatan rasuah sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab untuk latihan sains siasatan.
Pada sudut pandang lain ujian poligraf sebenarnya menawarkan peluang kepada suspek atau saksi untuk membuktikan kebenaran pengakuan mereka dan hal ini sangat penting dalam siasatan rasuah yang semakin kompleks yang boleh dirungkaikan melalui pemeriksaan poligraf kini menjadi simbol ketelusan dan keadilan dalam usaha SPRM untuk membanteras rasuah di Malaysia.
PENULIS adalah Penyelaras, Pasukan Poligraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.