fb fb fb fb fb

Ibu bapa perlu kuasai kemahiran keibubapaan digital

Kemahiran keibubapaan digital sangat penting pada hari ini disebabkan ledakan teknologi digital yang membawa impak kepada semua lapisan usia/Foto RTM

SAUDARA PENGARANG

Konsep dan terma kemahiran keibubapaan digital muncul apabila kemajuan teknologi komunikasi maklumat berlaku dengan pantas sehingga ia sudah menjadi elemen penting dalam kehidupan kita pada hari ini.

Penggunaan teknologi yang meluas ini turut didedahkan kepada kanak-kanak sejak daripada awal usia lagi. Tidak dapat dinafikan, senario ini pastinya memberi pelbagai kesan kepada perkembangan kanak-kanak dan menuntut ibu bapa mempunyai sekurang-kurangnya pengetahuan asas mengenai keibubapaan digital.

Secara mudah, keibubapaan digital merujuk kepada bagaimana ibu bapa berperanan sebagai pembimbing dan pemantau anak-anak yang menggunakan teknologi digital ini dari segi jenis gajet atau peranti digunakan kanak-kanak, aplikasi yang dimuat turun, jenis-jenis permainan digital yang dimainkan mereka serta penggunaan Internet harian.

Menerusi pengetahuan tentang keibubapaan digital ini, mereka boleh membantu kanak-kanak melayari dunia digital dengan selamat dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi untuk pertumbuhan yang lebih sihat dan sejahtera.

Bagi memahami perkara-perkara asas mengenai keibubapaan digital ini, beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan masa skrin (screen time), keselamatan dalam talian dan kaedah pencegahan buli siber.

Bagi pengurusan masa skrin, ibu bapa perlu menetapkan masa penggunaan gajet atau peranti kepada anak-anak supaya disiplin dapat ditanam pada usia muda lagi dan dapat mengelak berlakunya ketagihan digital. Kanak-kanak juga perlu diberi maklumat tentang kandungan-kandungan bersifat pendidikan, pengetahuan dan juga kandungan hiburan. Menerusi cara itu, kanak-kanak dapat dilatih untuk mengimbangi masa pembelajaran dan hiburan.

Ibu bapa mempunyai peranan penting untuk memastikan kanak-kanak mengetahui tentang keselamatan dalam talian dan mereka perlu diberitahu untuk tidak berkongsi maklumat peribadi semasa menggunakan Internet, media sosial dan aplikasi digital lain. Ibu bapa bertanggungjawab mengajarkan anak-anak mereka tentang jejak digital selain memantau aktiviti dalam talian untuk membezakan pelbagai jenis kandungan dalam talian.

Di samping itu, kanak-kanak perlu mempunyai pengetahuan tentang kaedah pencegahan buli siber dan sebagai ibu bapa yang celik digital, perkara itu boleh dibincangkan bersama anak-anak mereka sebagai galakan kepada amalan komunikasi terbuka mengenai pengalaman penggunaan Internet kanak-kanak kepada penjaga. Selain itu, kanak-kanak juga perlu diajar mengenai tanda-tanda berlaku buli siber, pihak yang terlibat iaitu pembuli dan mangsa buli, dan langkah yang perlu diambil mereka jika berhadapan buli siber.

Aspek penting seterusnya bagi keibubapaan digital ini adalah membimbing anak-anak menjadi celik digital yang melibatkan usaha membina kemahiran-kemahiran asas berkaitan teknologi digital. Antaranya, mengajarkan anak-anak mengenai pentingnya keupayaan mengenal pasti sumber maklumat yang sahih, memahami semua risiko penggunaan Internet dan teknologi digital, memberi kefahaman kepada anak-anak mengenai pentingnya menggunakan teknologi secara produktif dan menjadi warga digital yang baik.

Perkara lain terkandung di bawah celik digital yang perlu difahami oleh kanak-kanak adalah keperluan peraturan penggunaan Internet dalam keluarga yang ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaga. Peraturan-peraturan ini pula mungkin berbeza mengikut tahap usia kanak-kanak terbabit seperti 3-5 tahun, 6-12 tahun dan seterusnya. Peraturan itu diwujudkan bagi mengelak kesan-kesan negatif teknologi kepada perkembangan kognitif, pembelajaran, sosial, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta lain-lainnya.

Di Malaysia, kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah memberi tumpuan kepada pentingnya kemahiran keibubapaan digital dalam usaha melahirkan kanak-kanak yang mempunyai daya tahan digital.

LPPKN dengan kerjasama dua penyelidik Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua pegawai LPPKN telah menjalankan penyelidikan selama 18 bulan bagi mengenal pasti ciri-ciri gaya keibubapaan digital yang membina daya tahan digital kanak-kanak di negara ini.

Kajian bertajuk “Hubungan Antara Gaya Keibubapaan Digital Dengan Daya Tahan Digital Kanak-kanak di Malaysia” itu menggunakan empat kaedah penyelidikan saintifik iaitu temu bual, pemerhatian, teknik Delphi dan tinjauan. Ia melibatkan 532 orang ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara 7 hingga 9 tahun bagi kaedah tinjauan.

Bagi teknik Delphi, seramai 7 orang pakar terlibat di dalam kajian ini dan mereka mengemukakan pandangan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Bagi sesi temu bual dan pemerhatian secara rakaman video pula, seramai 20 ibu bapa dan 20 kanak-kanak terlibat dalam sesi tersebut.

Penyelidikan ini mengkaji empat jenis gaya keibubapaan digital iaitu autoritarian, autoritatif, permisif dan pengabaian yang biasa diamalkan oleh ibu bapa di negara ini. Penyelidik meneliti empat jenis gaya ini untuk melihat sama ada ia menyumbang kepada pembentukan daya tahan digital kanak-kanak atau sebaliknya.

Hasil kajian tersebut menemukan bahawa gaya keibubapaan digital menjadi penyumbang penting kepada pembinaan daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, yang terdiri daripada lima elemen utama iaitu ketahanan mental, emosi, sosial, fizikal dan rohaniah (spiritual).

Penyelidik juga merumuskan bahawa kesedaran mengenai kemahiran keibubapaan digital dalam kalangan ibu bapa di Malaysia masih kurang memberangsangkan dan perlu dipertingkatkan ke arah membina daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak.

Dari segi maklumat dan kandungan pendidikan berkaitan kemahiran keibubapaan digital ini, didapati ia masih kurang dan tidak begitu menarik untuk mendidik dan meningkatkan pengetahuan para ibu bapa di Malaysia. Kurangnya sumber rujukan dan latihan berkaitan juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat diberi ilmu mengenai kemahiran keibubapaan digital ini.

Kesan daripada itu, ibu bapa mencipta pendekatan sendiri untuk memainkan peranan sebagai pembimbing dan pemantau anak-anak ketika mereka menggunakan peranti, teknologi digital atau melayari Internet.

Dari segi penyelidikan saintifik pula, didapati kajian berkaitan kemahiran keibubapaan digital dan pembinaan daya tahan digital kanak-kanak ini masih kurang di Malaysia. Kajian sedia ada hanya menjurus kepada penggunaan media digital dalam kalangan orang muda terutama selepas berlakunya pandemik COVID-19.

Ini berbeza dengan negara-negara maju yang lebih awal melakukan kajian mengenai keibubapaan digital dan pembentukan daya tahan digital kanak-kanak ketika dunia hebat dilanda fenomena ledakan arus teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Kemahiran keibubapaan digital sangat relevan dan kritikal di dalam era kemajuan yang didorong oleh pelbagai bentuk teknologi ini. Apabila ibu bapa menguasai kemahiran keibubapaan digital ini, kanak-kanak akan lebih memahami pentingnya menjadi pengguna teknologi digital yang peka kepada isu keselamatan dalam talian, mengamalkan tabiat digital yang sihat, membentuk pemikiran kritikal sejak usia muda, memanfaatkan teknologi untuk kejayaan dalam akademik, membantu pembentukan sosial, emosi dan sahsiah yang stabil, mengutamakan ikatan dan komunikasi kekeluargaan, memahami asas-asas etika dan perundangan apabila menggunakan teknologi digital serta menjadi celik ekonomi digital.

Hasil kajian “Hubungan Antara Gaya Keibubapaan Digital Dengan Daya Tahan Digital Kanak-kanak di Malaysia” ini telah diserahkan kepada pihak LPPKN dan diharap dapat menyumbang kepada penggubalan polisi berkaitan gaya keibubapaan digital dan daya tahan digital kanak-kanak dalam konteks Malaysia.

Pasukan penyelidik SMMTC UUM yang terlibat dalam kajian ini merancang untuk memperluaskan kajian dengan melibatkan ibu bapa, kanak-kanak, remaja dan warga emas dalam golongan rentan supaya penyelidikan dapat dihasilkan dengan lebih menyeluruh dan melibatkan semua lapisan masyarakat di negara ini.

Ini kerana, kemahiran keibubapaan digital bukan hanya berkaitan melindungi anak-anak tetapi lebih kepada memperkasa dan mempersiapkan mereka mengharungi dunia digital yang semakin berkembang pesat. Kanak-kanak yang terasuh sejak kecil, dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan mampu menangani risiko-risiko yang dibawa oleh teknologi ini.

PENULIS PROF. MADYA DR. NORSIAH ABDUL HAMID merupakan Pensyarah Kanan Program Teknologi Media Universiti Utara Malaysia (UUM) dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD