fb fb fb fb fb

Penggemblengan belia, perkasa budaya tempatan

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang pesat membangun, sering kali dibandingkan dengan bandar-bandar lain seperti Bangkok dan Jakarta.

Bagi sesetengah pelancong Barat, terdapat persepsi bahawa Kuala Lumpur kekurangan identiti budaya tempatan yang autentik.

Tanggapan ini menimbulkan kebimbangan bahawa budaya Malaysia semakin terhakis di sebalik pembangunan pesat dan transformasi ke arah sebuah bandaraya moden.

Namun, adakah benar pembangunan infrastruktur dan ekonomi membawa kepada penghakisan budaya tempatan?

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berpendapat bahawa pendekatan placemaking iaitu satu konsep merancang dan mencipta ruang awam berkualiti dengan penyertaan komuniti merupakan salah satu cara terbaik untuk mengekalkan keunikan Kuala Lumpur.

Melalui placemaking, bukan sahaja pembangunan bandar dapat dijalankan secara mampan, namun identiti budaya tempatan juga dapat diperkukuh.

Dalam dunia globalisasi dan perubahan pantas, penglibatan belia menjadi kunci kepada kesinambungan budaya.

Belia bukan sahaja pewaris budaya tetapi juga agen perubahan yang boleh mencorakkan semula identiti Kuala Lumpur.

Bagi memastikan mereka terus memainkan peranan dalam usaha ini, beberapa cadangan telah diketengahkan.

1. Pendidikan dan Kesedaran Budaya

Untuk melibatkan belia secara berkesan, pendidikan tentang sejarah, seni, dan budaya tempatan perlu diperkukuh. Pendidikan ini tidak hanya terhad kepada bilik darjah, tetapi juga melalui program-program yang lebih interaktif. Kerjasama dengan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti boleh memupuk minat belia terhadap kebudayaan tempatan, membolehkan mereka memahami dengan lebih mendalam tentang warisan yang mereka miliki.

2. Projek Seni dan Festival Kebudayaan

Belia juga perlu diberi ruang untuk mengekspresikan diri melalui seni dan budaya. Di Indonesia, projek seperti S²Cities telah berjaya melibatkan belia dalam menghidupkan semula kawasan bandar. Di Kuala Lumpur pula, festival seperti KL Biennale dan Festival Kesenian Kuala Lumpur boleh dijadikan platform untuk belia memperkenalkan unsur-unsur budaya Malaysia yang unik kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

3. Program Mentor dan Inkubator Kreatif

Selain festival dan projek seni, program mentor dan inkubator kreatif dapat membantu belia mengembangkan idea mereka dalam bidang seni dan budaya. Dengan bimbingan serta sokongan kewangan daripada profesional, belia boleh menghasilkan karya yang lebih berimpak dan berinovasi, sekali gus memperkaya identiti budaya tempatan.

4. Kolaborasi Antara Belia dan Komuniti Tempatan

Usaha placemaking tidak dapat dicapai tanpa penyertaan komuniti tempatan. Kumpulan belia perlu bekerjasama dengan komuniti dalam melaksanakan projek-projek pemuliharaan budaya. Di Malaysia, program Think City telah berjaya menggabungkan usaha belia dan komuniti dalam ‘meremajakan’ ruang bandar. Inisiatif seperti ini perlu diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di Kuala Lumpur bagi memastikan kesinambungan budaya setempat.

5. Penggunaan Teknologi dan Media Sosial

Dalam dunia digital masa kini, penggunaan teknologi dan media sosial tidak dapat dinafikan sebagai alat penting untuk melibatkan belia. Media sosial boleh digunakan sebagai platform untuk mempromosikan projek-projek placemaking kepada khalayak yang lebih luas, termasuk generasi muda serta pelancong antarabangsa. Dengan cara ini, identiti budaya tempatan dapat dihidupkan kembali dalam konteks bandar moden.

Secara keseluruhannya, penglibatan belia dalam pelaksanaan placemaking boleh menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang moden, maju dan pada masa yang sama, tidak mengabaikan akar budayanya.

Dalam era urbanisasi yang pantas, usaha bersama ini dapat memastikan bahawa Kuala Lumpur bukan sahaja dikenali sebagai pusat perdagangan dan pelancongan, tetapi juga sebagai sebuah bandaraya yang kaya dengan budaya dan sejarah yang unik.

Sebagai penutup, masa depan Kuala Lumpur bukanlah terletak semata-mata pada infrastruktur atau pencakar langit yang menjulang tinggi.

Sebaliknya, ia terletak pada bagaimana kita memastikan budaya tempatan terus hidup dan relevan dalam landskap bandar moden yang semakin kompleks. Belia, dengan semangat dan inovasi mereka, adalah penggerak utama dalam mencapai matlamat ini.

PENULIS PROFESOR MADYA TS. DR. MOHD ZAIRUL MOHD NOOR merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) dan boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN