SAUDARA PENGARANG
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri iaitu di Kedah dan Perak.
Kejadian itu melibatkan hampir 10,000 mangsa daripada kawasan bencana dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) apabila kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berlanjutan selama empat hari.
Bencana alam ini diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar yang menyebabkan aliran air sungai ke laut menjadi lebih perlahan.
Terdapat juga insiden kematian apabila mangsa dihanyutkan arus deras semasa kejadian banjir menunjukkan betapa seriusnya impak bencana alam ini kepada masyarakat.
Ancaman banjir yang semakin meruncing dan mencetuskan kebimbangan akibat kurangnya pendedahan kepada masyarakat yang berada di kawasan yang berisiko tinggi dan terdedah kepada banjir.
Fenomena ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian tetapi juga memberi impak yang signifikan kepada ekonomi dan ekosistem di negeri-negeri yang terlibat. Malah ia turut menyebabkan kerosakan infrastruktur menyebabkan dana yang lebih banyak untuk membaik pulih kerosakan.
Oleh hal yang demikian, kesedaran awam berkaitan banjir merupakan antara elemen yang penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir.
Kejadian banjir baru-baru ini juga telah menyebabkan kemusnahan paling buruk dalam tempoh hampir dua dekad kerana memusnahkan tanaman padi di Kedah dan Perlis.
Anggaran kerugian bernilai RM50 juta atau AS$12.1 million yang melibatkan 6000 hektar sawah padi dan 30,000 metrik tan padi sekali gus menjejaskan sekuriti makanan negara.
Salah satu punca utama banjir adalah hujan lebat yang berterusan, terutamanya dalam musim monsun. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, intensiti dan frekuensi hujan lebat telah meningkat dengan drastik.
Beberapa kawasan mencatatkan jumlah hujan yang jauh melebihi purata iaitu 3500 mm hujan setiap tahun.
Keadaan ini menyukarkan sistem saliran yang ada untuk menangani aliran air yang berlebihan, seterusnya menyebabkan genangan dan banjir. Sabagai contoh yang berlaku di Kedah baru-baru ini iaitu banjir tidak surut walaupun selepas seminggu.
Ini diburukkan lagi dengan fenomena perubahan iklim yang semakin ketara juga turut menyumbang kepada kejadian banjir.
Peningkatan suhu global yang mengubah corak cuaca, menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti hujan yang lebih lebat dan lebih kerap serta dalam tempoh yang lama. Ini termasuk hujan lebat yang tidak dijangka dan kenaikan paras laut yang memberi kesan kepada kawasan pesisir.
Ketika fenomena air pasang besar berlaku, paras air laut melonjak dan menghalang aliran air dari daratan ke laut. Ini sering terjadi ketika bulan penuh atau bulan baharu, menyaksikan daya tarikan graviti bulan dan matahari berada dalam posisi paling kuat.
Air pasang yang tinggi menghalang sungai dan saluran air dari mengalir ke laut, menyebabkan air berkumpul di kawasan pesisir dan kawasan berelevasi rendah.
Kekurangan kawasan simpanan semulajadi yang dapat menampung peningkatan air hujan yang diterima dalam tempoh yang lama di dalam satu-satu kawasan lembangan sungai juga menyumbang kepada lebihan air permukaan dan menyebabkan banjir serta peningkatan tempoh banjir.
Konsep ‘room for water’ yang dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran merupakan pendekatan yang boleh digunakan sebagai penyelesaian isu lebihan air.
Kawasan lembah yang jauh dari penempatan di satu-satu lembangan sungai juga boleh dikenalpasti untuk direndahkan sebanyak 1 meter.
Lembangan sungai turut berperanan sebagai ‘dry-pond’ dan boleh dibina bagi dijadikan kawasan takungan sementara semasa lembangan mempunyai lebihan air.
Ia boleh digunakan bagi mengalihkan lebihan air sungai yang terkumpul di dalam kawasan banjir untuk mengelakkan genangan air berlaku lebih lama yang berpotensi menjadi punca kepada pelbagai masalah kepada penduduk setempat.
Pencemaran sumber air kerana banjir berpotensi untuk membawa bersama-sama pelbagai jenis pencemaran, termasuk bahan kimia, sisa domestik, dan lumpur. Ia menyebabkan penyakit berjangkit seperti leptospirosis, denggi, dan penyakit lain yang berpunca dari air tercemar.
Keadaan kebersihan yang terjejas menyebabkan risiko penyakit akan meningkat, dan boleh membebankan sistem kesihatan setempat. Air yang melimpah juga berupaya untuk mencemari sungai, tasik, dan sumber air bawah tanah, menjadikannya tidak selamat untuk digunakan dalam tempoh kejadian banjir berlaku.
Keadaan muka bumi kawasan yang terlibat dengan banjir yang kebanyakannya terdiri daripada kawasan rendah dan lembap juga menjadi faktor penyumbang kepada kejadian banjir.
Kawasan yang lebih rendah berisiko tinggi untuk mengalami genangan air, terutamanya ketika hujan lebat berlaku bersamaan dengan air pasang besar. Kelembapan tanah yang tinggi selepas hujan yang berterusan juga menyukarkan penyerapan air, menghasilkan lebih banyak air larian permukaan yang menyumbang kepada peningkatan paras air.
Keadaan ini juga menjadi lebih buruk sekiranya pembangunan di dalam kawasan ini tidak dirancang termasuk pembinaan bangunan dan jalan raya di zon penampan dan kawasan rendah.
Selain dari itu, kawasan gantian kepada kawasan yang telah dibangunkan perlu menjadi syarat bagi setiap aktiviti pembangunan yang dibuat di dalam kawasan lembangan sungai.
Ini dapat memastikan walaupun pembangunan dijalankan di dalam satu-satu kawasan, lebihan air yang terhasil masih mempunyai kawasan gantian untuk simpanan dan pengaliran serta dapat mengurangkan intensiti banjir.
Terdapat juga kawasan yang sepatutnya berfungsi sebagai penampan bagi air hujan telah dibangunkan tanpa mempertimbangkan risiko banjir. Ini mengakibatkan pengurangan kapasiti penyerapan tanah, meningkatkan aliran permukaan dan, seterusnya, mendorong kepada kejadian banjir.
Pembangunan di kawasan penampan sungai dan kawasan rendah sepatutnya dielakkan kerana kawasan ini merupakan kawasan berisiko tinggi untuk terdedah kepada kejadian banjir.
Perancangan bandar yang lebih tersusun boleh dibuat sekiranya menggunakan lembangan sungai sebagai satu unit pengurusan bagi merancang sebarang pembangunan. Selain daripada faktor ekonomi dan sosial, faktor pengurusan lebihan air semasa banjir juga perlu dipertimbangkan dengan merancang konservasi zon semulajadi yang mampu menyerap lebihan air larian permukaan seterusnya mengurangkan impak banjir.
Zon semulajadi ini juga bukan saja berperanan sewaktu lembangan mempunyai lebihan air tetapi juga berfungsi membekalkan air semasa musim kering atau kurang hujan kerana kadar simpanan yang tinggi berbanding guna tanah yang lain.
Selain dari itu, aktiviti pembersihan hutan untuk tujuan pertanian dan pembangunan juga mengurangkan kapasiti penyerapan air oleh tanah. Ini adalah kerana kawasan berkenaan telah kehilangan lapisan atas tanah yang melindungi permukaan tanah dari hakisan,menjadikannya keras kerana terdedah kepada matahari dan mampat.
Hutan berfungsi sebagai penampan semula jadi yang penting, membantu mengawal aliran air dan menstabilkan tanah. Apabila hutan dibersihkan, tanah menjadi lebih terdedah kepada hakisan dan tidak mampu menyerap air dengan berkesan, yang seterusnya meningkatkan risiko banjir.
Selain dari kaedah berstruktur seperti pembinaan ban banjir, pengadang pusuan ribut, daik dan ban, dan pembinaan kolam takungan, kaedah tidak berstruktur seperti pendekatan ekologi juga boleh dilaksanakan.
Sekiranya kawasan simpanan semulajadi dikekalkan atau program restorasi dijalankan di kawasan-kawasan berisiko banjir di dalam kawasan lembangan dan zon penampan, impak daripada kejadian banjir berpotensi untuk dikurangkan.
Kawasan simpanan semulajadi juga berperanan memperlahankan proses larian pada permukaan melalui sarap hutan di permukaannya seterusnya berupaya menyerap lebihan air yang mengalir dipermukaan dengan lebih berkesan berbanding permukaan tidak telap air.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai penapis pencemaran yang dibawa melalui pengaliran air pada permukaan dan dapat mengurangkan pencemaran air dan menyumbang kepada konservasi sumber air.
Kebanyakkan solusi berfokuskan kepada kawasan hilir sungai kerana terdapat kawasan penempatan, pertanian dan pembangunan yang lebih terkesan secara langsung dengan kejadian banjir.
Perhatian juga seharusnya diberikan kepada konservasi dan perlindungan kawasan hutan yang terletak di sebelah hulu lembangan yang bertindak sebagai ‘natural reservoir’.
Kawasan ini bukan saja menjamin keberadaan air bersih di waktu kurang hujan namun dalam konteks ini berperanan sebagai ‘flood mitigator’ semasa musim banjir di masa terdapat lebihan air di dalam lembangan.
Kesimpulannya,kaedah penyelesaian juga harus melihat pengurusan kawasan lembangan secara bersepadu dan menyeluruh bagi menyelesaikan isu banjir yang semakin mencabar.
PENULIS DR. SITI NURHIDAYU ABU BAKAR, Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, dan boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.