SAUDARA PENGARANG
Perkataan ‘healing’ kini tidak lagi menjadi asing dalam masyarakat terutamanya golongan remaja. ‘Healing’ itu sendiri merupakan satu perkataan yang membawa maksud “the process of making or becoming sound or healthy again” dan yang dapat diberi makna sebagai menyembuhkan, atau perihal yang membawa kepada penyembuhan atau pemulihan.
Manusia merupakan makhluk sosial yang setiap hari pasti akan melakukan interaksi dengan orang lain. Semakin kerap melakukan interaksi dengan orang lain, semakin banyak informasi akan diterima.
Bahkan, kerapkali informasi tersebut menimbulkan emosi positif mahu pun negatif. Emosi ini juga dapat mempengaruhi; sama ada sudut fizikal juga psikologi seseorang. Ketika seseorang merasakan emosi positif mahu pun negatif, maka akan membawa perubahan secara fizikal mahu pun secara psikologi.
Hal ini berikutan teknologi multimedia hanya di hujung jari, sudah tentu menjadi sebagai suatu trend kepada pengguna, terutamanya para remaja. Ramai kalangan mereka suka menampilkan gambar atau video di suatu tempat seperti kelab, konsert dan sebagainya beserta caption ‘healing’.
Adakah situasi tersebut benar-benar boleh diertikan sebagai ‘healing’, atau pun sebenarnya mereka sudah ‘hilang’?
‘Healing’ sebagaimana yang didefinisikan adalah penyembuhan diri sama ada fizikal mahu pun mental. Jika dilihat dalam aspek fizikal, erti penyembuhan itu dapatlah dikatakan sebagai satu proses seseorang berehat untuk memulihkan diri daripada suatu kecederaan.
Sebagai contoh, kecederaan pada tisu lembut seperti kontusi (lebam), terseliuh dan sebagainya. Cara pemulihannya adalah berehat, pembedahan dan seumpamanya. Oleh kerana itu, kesakitan pada bahagian fizikal mampu untuk diubati dengan segera dan cuma memerlukan sedikit waktu untuk melalui proses pembaikan semula.
Dari sudut mental pula, terdapat pelbagai cara boleh dijadikan sebagai proses ‘healing. Antaranya melakukan aktiviti sosial secara sihat, beriadah, bersukan atau seumpamanya.
Namun terdapat sekelompok masyarakat yang melakukan aktiviti ‘healing’, bercanggah dengan syariat Islam seperti tidak berakhlak baik, mengambil minuman keras, menggunakan dadah, bersosial tanpa batas sehingga berlakunya penzinaan dan sebagainya.
Islam sangat menekankan unsur usaha dalam menyembuhkan sesuatu penyakit, termasuklah ‘healing’, tetapi perlulah dengan cara atau kaedah yang betul serta mengikut syariat yang telah ditentukan.
Seseorang itu tidak boleh untuk melakukan ‘healing’ dengan perkara yang tidak membawa manfaat dan bertentangan dengan tuntutan agama. Semua perkara keji ini jika tetap dilakukan; akhirnya hanya membawa usaha ‘healing’ itu menjadi ‘hilang’.
Penulis maksudkan menjadi rosak serta memudaratkan diri sendiri dan masyarakat. Lebih buruk, perlakuan itu sebenarnya menjadikan mereka semakin tidak keruan dan dan dijauhkan dari ketenangan yang dicari.
Sebenarnya, Islam telah mengajar kepada kita pelbagai kaedah untuk ‘healing’ dan menenangkan fikiran. Antaranya mendirikan solat secara khusyuk atau dengan penuh kesedaran; dilakukan hanya semata-mata untuk Allah SWT.
Menerusi cara ini juga, intipati hubungan antara hamba dan pencipta dapat dicapai melalui tiga elemen penting iaitu spiritual, mental dan fizikal, dan akhirnya melahirkan kedamaian dan ketenangan sebenar dalam diri.
Allah SWT telah befirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 bermaksud; “Laksanakan solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar”.
Seterusnya, seruan untuk sentiasa mengingati Allah SWT melalui amalan zikir sebagai makanan untuk jiwa (spiritual). Firman Allah SWT seterusnya dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram”.
Ayat tersebut jelas menunjukkan janji Allah bila mana seseorang yang kembali kepada-Nya akan dikurniakan rasa ketenangan dan kedamaian.
Selain daripada itu, kita juga boleh memilih untuk melakukan ‘healing’ menerusi terapi diri dengan alam. Terapi alam dapat menjadikan seseorang individu menghargai setiap makhluk ciptaan Allah; masing-masing mempunyai fungsi dan keunikan tersendiri.
Alam ciptaan Allah yang dihiasi dengan gunung ganang, pokok-pokok yang menghijau, lautan luas dengan kepelbagian jenis ikan dan tumbuhan, sememangnya mampu untuk menginsafkan diri. Ini adalah kerana ia menyedarkan kita bahawa diri ini hanyalah salah satu ciptaan dari beribu, berjuta, bahkan infiniti, makhluk-Nya.
Hal ini sepatutnya dapat menimbulkan rasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Rasa syukur tersebut perlu diterapkan dengan memperlihatkan atau menzahirkan nikmat atau rasa berterima kasih kepada pemberi nikmat melalui lisan dan hati.
Dalam usaha kita untuk mencapai kesihatan yang baik, haruslah sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada-Nya serta mejadikan laluan agama sebagai solusi dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kehidupan.
Islam menggalakkan pendekatan holistik dalam penyembuhan; merangkumi aspek rohani dan jasmani termasuklah menjaga diet sihat, melakukan senaman secara berkala, mendapatkan rehat mencukupi dan menjaga kebersihan diri serta persekitaran.
Oleh itu, dalam usaha kita untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, jangan sampai kita ‘healing’; akhirnya menjadikan kita ‘hilang’.
PENULIS AMIR SYAZWAN ABDUL SAMAD, DR. SHARIFAH BASIRAH SYED MUHSIN, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.