SAUDARA PENGARANG
Bulan Ramadan menjanjikan pahala berlipat ganda kepada umat Islam tanpa mengira sama ada ia adalah amalan wajib atau sunat. Umumnya terdapat pelbagai amalan sunat yang digalakkan ketika bulan Ramadan seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, bersedekah dan pelbagai amalan kebajikan lain.
Tidak kurang juga, dalam bulan Ramadan wujud golongan peminta derma, pengemis dan scammer derma yang berkembang biak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini berlaku kerana sifat pemurah masyarakat Islam untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda, namun tiada sistem yang dapat menyusun atur segmen sedekah dan derma secara sistematik berbanding segmen zakat.
Biasanya jumlah sedekah lebih besar daripada jumlah zakat fitrah yang dikeluarkan. Ini disebabkan sedekah atau derma tiada batasan jumlah, bersifat sukarela dan tiada batasan penerima secara khusus, sedangkan zakat fitrah menetapkan kadar tertentu, bersifat wajib manakala hanya mereka yang layak sahaja boleh menerima zakat.
Situasi ini mendorong banyak pihak untuk mengambil kesempatan dengan menjadikan peminta sedekah sebagai profesion menguntungkan; mampu memperolehi wang dalam tempoh singkat dan mudah, malah mampu memiliki kereta dan rumah hasil daripada aktiviti mengemis.
Sikap pemurah masyarakat ini telah menggalakkan budaya peminta sedekah sedangkan sebahagian besar masyarakat Islam terpaksa bekerja keras membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki halal.
Peminta sedekah terdiri daripada kalangan warganegara Malaysia dan warga asing seperti Thailand, Pakistan, Myanmar dan pelbagai negara. Mereka melakukan pelbagai modus operandi bagi menjayakan misi meminta sedekah, umpamanya berpakaian lusuh, tidak sempurna anggota badan atau kudung, tampil buta dan cacat dengan menyertakan laporan kesihatan. Ada juga yang membawa anak kecil, menggunakan surat memohon bantuan pembinaan masjid dan madrasah dan sebagainya.
Kadangkala terdapat sindiket yang menaungi aktiviti meminta sedekah. Selain golongan peminta sedekah secara fizikal, terdapat juga pihak yang menggunakan platform media sosial dan iklan-iklan berbayar untuk mengumpul sumbangan dan derma daripada orang ramai secara digital. Mereka memanfaatkan teknologi untuk mengaut keuntungan berlipat ganda pada bulan Ramadan.
Memang benar kita digalakkan untuk bersedekah pada bulan Ramadan terutamanya, juga bersedekah di luar bulan Ramadan. Banyak ruang dan peluang ditawarkan oleh pelbagai pihak, umpamanya tajaan majlis berbuka puasa, majlis moreh, program sahur, bantuan raya dan sebagainya. Buatlah pilihan tepat dalam menyalurkan sedekah agar manfaat dapat diterima oleh mereka yang benar-benar layak, dan bukan kaki penipu.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 274, Allah SWT telah berfirman: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 261, Allah SWT berfirman: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Nabi SAW juga bersabda: Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud. (HR al-Tirmizi)
Jelas, bersedekah dan membelanjakan harta pada jalan Allah merupakan satu tuntutan dan dijanjikan pahala dan kebaikan. Namun, pihak yang meminta sedekah atau menipu derma orang ramai perlu ingat kepada pesanan Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.
Nabi SAW telah memperingatkan umatnya: Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram sesungguhnya api neraka lebih utama baginya. (HR Muttafaq ‘alaih).
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak. (HR Muslim)
Sebaliknya Nabi SAW menggalakkan umat untuk mencari rezki dengan tangan sendiri. Rasulullah SAW telah ditanya: “Ya Rasulullah, apakah pekerjaan yang paling baik?” Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya dan tiap-tiap jual beli yang baik (iaitu perniagaan yang halal, jujur dan bersih),” (HR Ahmad)
Sehubungan itu, jangan cemari kemuliaan bulan Ramadan dengan perbuatan penipuan dan penyamaran untuk meminta sedekah dan derma tidak selayaknya. Kemurahan hati masyarakat Islam jangan dimanfaatkan untuk mengaut keuntungan peribadi dan diselewengkan.
Kepada masyarakat Islam, pilihlah penerima sedekah dan derma yang betul-betul layak agar ia menjadi pahala yang sentiasa mengalir. Jangan suburkan gejala meminta sedekah dan jangan biarkan profesion ini berkembang biak dalam masyarakat kerana Nabi SAW lebih berbangga dengan umatnya yang membanting tulang empat kerat dalam mencari rezeki halal.
Justeru, di samping galakan memperbanyakkan bersedekah pada bulan Ramadan, kita dituntut untuk bersedekah kepada golongan yang layak dan berhak serta benar-benar memerlukan bantuan agar objektif sedekah dapat dicapai dan pahala mampu diraih berlipat kali ganda.
PENULIS PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui emel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.