fb fb fb fb fb

Ini ibadat sering dianggap remeh, sedangkan ada fadilat besar

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Keghairahan kita dalam melaksanakan ibadat seperti mengkhatam al-Quran, bertadarus, bertarawih adalah suatu yang dipuji, namun terdapat beberapa ibadat yang sering kali dianggap remeh dan terlepas pandang dalam pengamalannya namun mempunyai fadilat besar di sisi Allah SWT.

Di sini penulis ingin menyenaraikan enam perkara atau kesalahan kecil yang perlu diberi perhatian dalam menyemarakkan lagi semangat dalam pesta ibadat Ramadan supaya kita tidak terlepas meraih fadilat berganda di dalam bulan yang mulia ini.

1) Meninggalkan jemaah tarawih sebelum imam selesai

Di Malaysia, terdapat kebiasaan dalam pengurusan masjid bagi penunaian ibadat solat tarawih iaitu 20 rakaat dengan 3 rakaat witir atau 8 rakaat dengan 3 rakaat witir. Antara kesalahan yang sering berlaku dalam menunaikan ibadat ini; mereka yang solat di Masjid dan melaksanakan solat tarawih 8 rakaat.

Mereka meninggalkan jemaah ketika Imam selesai solat tarawih pada rakaat kelapan dengan tujuan menyambung semula solat tarawih untuk mencukupkan 20 rakaat.

Sekali pandang, niat pelaku ini adalah baik kerana hendak melaksanakan rakaat tarawih lebih banyak, namun dalam masa sama beliau terlepas fadilat Qiyam sepanjang malam.

Hal ini sebagaimana yang diungkapkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi: “Barangsiapa yang qiyam bersama imam sehingga imam selesai, maka ditulis pahala nya qiyam sepanjang malam.”

Justeru bagi mendapatkan pahala qiyam sepanjang malam, afdalnya para jemaah solat bersama imam sehinggalah imam selesai solat witir. Bagi mereka yang ingin menambah solat tarawih atau ingin mengerjakan solat tahajjud di rumah dan ingin menjadikan solat witir adalah solat terakhir di penghujung malam sebagaimana saranan baginda SAW, maka mereka ini hanya perlu berniat solat tarawih sahaja dengan mengikuti imam yang solat witir.

Ketika mana imam selesai solat witir, jemaah boleh bangun menggenapkan rakaat seterusnya sama ada membuat witir menjadi genap atau solat tarawih yang diniatkan (bergantung apa yang diniatkan pada awal solat). Dengan demikian, mudah-mudahan fadilat qiyam sepanjang malam akan turut diraih khususnya dalam pecutan mencari lailatul qadar.

2) Masuk masjid tetapi tidak niat iktikaf

Menurut Imam Ramli, iktikaf merujuk menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan.

Terdapat empat rukun iktikaf iaitu orang yang melaksanakan iktikaf, masjid, niat dan menetap di dalam masjid. Menurut mazhab Syafii iktikaf akan terhasil apabila seseorang menetap di masjid walaupun sebentar dengan kadar thoma’ninah di dalam rukuk.

Amalan beriktikaf merupakan amalan angat dituntut untuk dilakukan lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan dan terutama pada 10 malam terakhir. Berdasarkan perbincangan iktikaf, kita ketahui pahala iktikaf ini dapat dicapai apabila kita memasuki masjid dengan tujuan menetap di masjid walaupun sebentar namun tidak boleh tidak perlu berniat iktikaf iaitu “sahaja aku beriktikaf di masjid ini kerana Allah SWT.”

Menjadi suatu kerugian apabila seseorang yang masuk masjid untuk menunggu waktu solat, atau untuk menunaikan solat fardu atau amalan-amalan lain tidak berniat iktikaf kerana terlupa atau disebabkan ketidakbiasaan melakukan perkara tersebut.

Iktikaf di masjid merupakan suatu bonus yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi mereka yang sering kali memakmurkan rumah-rumah Allah. Rahmat Allah SWT akan sentiasa turun kepada orang yang beriktikaf di rumah-Nya.

Justeru sama-sama lah kita melazimi niat iktikaf ketika mana kita memasuki masjid bagi memaksimakan ganjaran dalam melaksanakan ibadat terutamanya pada bulan mulia ini.

3) Bangun sahur tetapi tidak solat sunat malam

Antara amalan yang sangat dituntut bagi mereka yang berpuasa adalah bersahur. Sahur merujuk kepada perbuatan makan awal pagi sebelum waktu fajar (subuh) dengan niat untuk berpuasa. Sahur dapat dicapai walaupun dengan seteguk air.

Sudah menjadi kelaziman buat umat Islam bersahur kerana pada sahur itu terdapat keberkatan sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan”.

Namun pada masa sama juga, waktu sahur antara waktu keemasan untuk menunaikan solat malam. Solat sunat malam merupakan bahagian daripada qiyamulail. Bahkan sebahagian para fuqaha menyatakan sebaik-baik solat sunat setelah solaf fardu adalah solat malam.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Puasa yang paling utama setelah Ramadan adalah puasa pada bulan Muharram. Sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat malam”.

Solat malam mempunyai fadilat besar sehingga ianya direkodkan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat ke 79: “Dan pada sebahagian malam hari, bertahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji” (QS Al-Isra’: 79)

Maka rugilah mereka yang bangun sahur tanpa menunaikan solat malam. Kelebihan solat malam ini dapat dicapai dengan sekurang-kurangnya mendirikan solat sunat tahajjud dua rakaat. Mudah-mudahan amalan ini dapat istiqamah sepanjang bulan Ramadan dan selepas Ramadan.

4) Solat sunat dua rakaat sebelum fajar

Solat sunat dua rakaat sebelum fajar merujuk kepada solat sunat qabliah sebelum subuh atau turut dikenali solat sunat rawatib bagi solat subuh. Ia merupakan salah satu dari solat sunat Muakkadah; sangat dianjurkan dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW untuk dilaksanakan secara rutin. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, baik ketika berada di rumah maupun dalam perjalanan.

Ia terdiri daripada dua rakaat yang dilaksanakan dengan niat khusus untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dari segi fadilat atau keutamaan, solat sunat dua rakaat sebelum fajar memiliki nilai sangat tinggi sebagaimana disabdakan oleh baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim; bermaksud: “Solat dua rakaat sebelum solat Subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” (Riwayat Muslim)

Jika dilihat kepada fadilat dan keutamaan solat ini menunjukkan ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai kepada hambanya yang berusaha mencari redhanya. Seandainya seseorang terlewat ke masjid dan mendapati imam telah pun memulakan solat subuh, maka solat tersebut boleh di qada’ setelah selesai menunaikan solat subuh. Mudah-mudahan kita dapat terus istiqamah dalam menunaikan solat sunat sebelum fajar.

5) Mengutamakan orang lain untuk berada di saf hadapan

Di antara kesalahan yang dianggap kecil tetapi mempunyai fadilat besar dan sering kali berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini adalah mengutamakan seseorang lain untuk berada di saf hadapan.

Sedangkan memuhi saf hadapan merupakan sebahagian daripada perkara taqarrub yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Sabda baginda SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.”

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadilat solat di saf pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama.

Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.

Antara kelebihan saf pertama juga adalah mendapat selawat dari Allah SWT dan para malaikat sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.”

Sikap mengutamakan orang lain ke saf hadapan atau tidak mengambil endah terhadap keutamaan saf dihadapan ketika mana solat dihukumkan sebagai makruh berdasarkan kaedah feqah “mendahulukan seseorang lain dalam perkara mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah makruh”.

Justeru suatu kerugian apabila seseorang yang telah hadir ke masjid, menunggu untuk solat dan ketika mana iqamah dilaungkan, mengekalkan diri untuk solat disaf belakang umpama bonus yang tidak dihidangkan tetapi tidak diendahkan.

6) Solat musafir meninggalkan solat jemaah

Solat musafir merujuk kepada dua bentuk solat iaitu: Pertama menjamakkan solat iaitu menggabungkan di antara zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Kedua menqasarkan solat iaitu memendekkan solat empat rakaat (zohor, asar dan isyak) kepada dua rakaat.

Musafir merujuk kepada seseorang yang menjalani perjalanan melebihi dua marhalah iaitu sekitar 81 kilometer dengan tujuan yang diharuskan oleh syarak. Permusafiran pada masa kini adalah suatu perkara yang tak dapat dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan menuju Syawal.

Semangat muhibbah untuk berbuka puasa bersama sanak saudara sudah menjadi tradisi dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Ada yang ingin berbuka puasa bersama ibu ayah di kampung, bersama-sama mertua, sanak saudara, rakan-rakan adalah suatu perkara yang dipuji.

Allah SWT telah menganugerahkan kepada mereka yang melakukan permusafiran suatu kemudahan bagi mendirikan solat fardu secara jamak dan qasar. Namun jika dilihat pada hari ini sering kali dapat diperhatikan sebahagian umat Islam yang solat di hentian rehat dan rawat mereka solat secara sendirian dan berpecah-pecah.

Sedangkan kita sedia maklumkan keutamaan solat secara berjemaah adalah 27 kali ganda lebih baik daripada solat sendirian bahkan sebahagian ulama menghukumkan solat berjamaah bagi solat fardu dihukumkan umpama wajib bagi menunjukkan keutamaan solat secara berjamaah.

Mungkin ada di antara mereka yang berfikiran bahawa mereka hendak menqasarkan solat dan dibimbangkan mereka yang lebih awal mengerjakan solat adalah secara tamam. Permasalahan ini dapat diselesaikan melalui feqah dengan cara kita turut menyempurnakan solat secara tamam dan diikuti secara qasar bagi solat yang kedua didirikan. Ini dapat memaksimunkan lagi mutu ibadat kita walaupun berada dalam keadaan permusafiran.

Dalam menjalani pecutan akhir Ramadan ini, marilah kita tidak mengabaikan ibadat yang sering dianggap remeh, namun memiliki fadilat yang besar di sisi Allah SWT. Semoga kita semua dapat memanfaatkan setiap peluang dan ruang dalam meningkatkan amal ibadat dengan sebaik-baiknya dan mendapatkan keberkahan serta ampunan-Nya. Amin.

PENULIS DR SYED MOHD JEFFRI SYED JAAFAR merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI