fb fb fb fb fb

Ramadan bulan terbaik pupuk perpaduan masyarakat majmuk

Pengunjung di restoran berkonsepkan Baba dan Nyonya menikmati pelbagai juadah dalam satu majlis berbuka puasa /Foto Bernama

SAUDARA PENGARANG

Kedatangan bulan Ramadan sememangnya dinantikan oleh umat Islam saban tahun lantaran begitu banyak keistimewaan dan kemuliaan yang dijanjikan bersamanya. Namun, tidak semua dari kita berkesempatan bertemu dengan Ramadan seterusnya.

Barangkali tahun ini adalah peluang terakhir untuk kita nikmati keindahan bulan Ramadan. Justeru, sebagai umat Islam kita mestilah memanfaatkan sebaik mungkin bulan Ramadan dengan memperbanyakkan dan menggandakan amalan kebaikan.

Kebaikan ini bukan sahaja merujuk kepada kegiatan ibadah yang memberikan manfaat untuk diri sendiri, tetapi juga kebaikan yang turut dikongsi bersama dengan insan lain atau makhluk di sekeliling.

Saranan berbuat baik ini jelas dapat dihayati melalui sabdaan Nabi SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud “Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (Hadis Riwayat Ibn Hibban).

Landskap Malaysia secara jelas diwarnai oleh masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk merujuk kepada sebuah masyarakat yang hidup bersama di suatu tempat namun terpisah disebabkan oleh perbezaan bangsa, agama, kaum, budaya dan etnik.

Hakikatnya kepelbagaian ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang begitu unik. Meskipun memiliki perbezaan, namun setiap kali tiba musim perayaan atau peristiwa tertentu kemeriahannya akan tetap dirasai bersama terutamanya ketika cuti menjelang perayaan atau peristiwa tertentu.

Begitu juga setiap kali tibanya bulan Ramadan di negara ini, ia bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada penganut agama Islam, bahkan turut memberikan keterujaan kepada penganut agama lain.

Melihat keunikan itu, ia seharusnya dimanfaatkan untuk menyuburkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Justeru, Ramadan adalah masa yang tepat bagi merealisasikan misi perpaduan tersebut.

Kewujudan bazar ramadan yang menghidangkan pelbagai menu mengikut cita rasa rakyat Malaysia umpamanya dilihat mampu menarik minat bangsa lain untuk sama-sama berbelanja dan berurusan jual beli.

Antara perkara lain yang boleh dilakukan adalah saling berkongsi dan bertukar-tukar juadah antara satu sama lain, bergotong royong membersihkan tempat awam serta menganjurkan program berbuka bersama-sama.

Budaya seumpama ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan sesama masyarakat tetapi juga memupuk rasa kasih sayang, saling meghargai, hormat menghormati dan dapat mengenali dengan lebih mendalam antara anggota masyarakat.

Hakikatnya, perpaduan masyarakat adalah agenda utama yang telah diberikan tumpuan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah. Hal ini kerana, perpaduan adalah asas yang akan membentuk kesejahteraan dan kestabilan hidup bermasyarakat dalam sesebuah negara.

Sekiranya matlamat perpaduan dapat dicapai maka ia secara tidak langsung akan dapat menghapuskan nilai-nilai tidak baik seperti sikap suka berprasangka, prejudis, skeptikal, rasis, pentingkan diri dan seumpamanya yang boleh merosakkan atau mengeruhkan hubungan antara masyarakat.

Umum mengetahui, umat Islam yang mencukupi syarat yang ditetapkan wajib menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun, pemahaman kepada falsafah puasa sebenar yang akan menjadikan puasa lebih sempurna.

Matlamat puasa dalam Islam bukan sekadar melafazkan niat dan menahan mulut dari makan dan minum, tetapi juga menahan seluruh anggota zahir dan batin dari melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan akhlak Islam.

Justeru, ketika berpuasa umat Islam seharusnya lebih berhati-hati dan menahan diri dan anggota dari mengeluarkan perkataan atau berperilaku tidak baik yang boleh menyakiti sesama manusia.

Gesaan membuat kebaikan dan meninggalkan perilaku tidak baik dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-‘Imran ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Ayat ini secara jelas menyebut bahawa umat Islam adalah umat terbaik yang diamanahkan untuk menjalankan kerja-kerja kebaikan. Justeru, menjadi tanggunggjawab kepada semua warga masyarakat beragama Islam untuk sentiasa menterjemahkan nilai-nilai yang baik untuk dijadikan contoh teladan.

Tuntutan menjadi contoh terbaik sememangnya perlu dilaksanakan sepanjang masa, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Mutakhir ini, telah tular beberapa aksi dan gelagat masyarakat yang mengaku beragama Islam namun dilihat tidak selari dengan ajaran Islam. Segala kontroversi yang sengaja dicetuskan dilihat telah mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan.

Tidak kurang juga terdapat pengguna media sosial Muslim yang masih gagal; mengeluarkan kata-kata kesat sama ada secara verbal atau bertulis di platform maya.

Hal ini sangat mendukacitakan dan telah membentuk tanggapan tidak baik dalam kalangan masyarakat majmuk terutamanya masyarakat bukan Islam.

Perlakuan tidak bermoral tersebut bukan sahaja memberikan impak negatif kepada agama Islam bahkan dalam sesetengah situasi boleh mencetuskan perbalahan, persengketaan dan budaya keji mengeji dalam masyarakat majmuk.

Semua yang telah berlaku menjadi penanda aras bagi kualiti puasa segelintir umat Islam ketika ini. Ini bermaksud, puasa yang dilakukan masih belum memenuhi matlamat puasa sebenar. Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya”(Hadis Riwayat Bukhari).

Berbalik kepada kemuliaan bulan Ramadan, umat Islam khususnya perlu mengambil peluang sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri kerana mereka adalah duta kepada Islam. Justeru, dalam konteks memupuk perpaduan, masyarakat muslim perlu sentiasa memastikan falsafah puasa dapat dihayati sebaiknya serta berusaha menjadi umat yang terbaik dan boleh diteladani.

Ramadan bukan sahaja bulan umat Islam berpesta ibadah, akan tetapi seleuruh masyarakat majmuk juga boleh diajak bersama untuk mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Selain bergotong royong dan bertukar juadah, bersempena dengan keberkatan Ramadan juga, perpaduan masyarakat majmuk boleh dipupuk melalui pelbagai aktiviti keilmuan sama ada melalui wacana, forum, dialog dan sebagaianya.

Sekurang-kurangnya inisiatif ini akan membantu semua pihak membentuk persefahaman dan kesepakatan terhadap isu-isu tertentu yang sedang melanda Masyarakat. Masyarakat majmuk ibarat sebuah keluarga, justeru sifat saling menghormati dan mengasihi perlu sentiasa diterapkan.

Bagi merancakkan lagi misi perpaduan masyarakat majmuk, institusi agama seperti masjid dan organisasi Islam lain perlu lebih progresif menjadi tuan rumah dengan membuka pintu seluasnya kepada seluruh masyarakat agar turut sama-sama mengimarahkan Ramadan.

Keterbukaan, sikap berlapang dada dan bertoleransi dalam hal-hal yang dibenarkan agama secara tidak langsung akan memperlihatkan keindahan Islam di mata umum. Maka seluruh masyarakat akan terhindar daripada sebarang prasangka, seterusnya dapat menyemai semangat kebersamaan kea rah membangunkan negara yang harmoni dan sejahtera.

Sebagai penutup, meskipun Ramadan bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi, namun apa jua kebaikan yang sedang diusahakan perlu diteruskan agar tidak berlalu pergi bersama Ramadan.

Sesungguhnya Ramadan adalah anugerah untuk semua manusia tanpa mengira latarbelakang, hanya mereka yang pandai mengambil peluang sahaja yang akan memperoleh kebaikan darinya.

PENULIS DR. NURUL HUSNA MANSOR adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI