ULASAN BERITA
Penularan pandemik COVID-19 memberikan cabaran besar kepada rantaian bekalan makanan di seluruh dunia.
Penutupan sempadan sebagai satu langkah pencegahan COVID-19 telah mengakibatkan aliran bahan mentah dan barangan siap terjejas.
Impaknya, harga barang dan kos sara hidup terus meningkat dan semakin meruncing mutakhir ini.
Sekali gus menjadikan tahun 2023 lebih mencabar.
Berdasarkan unjuran kadar inflasi meningkat 6 hingga 7 peratus, harga barangan dijangka meningkat sehingga 10 peratus.
Malah, ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka di ambang kemelesetan tahun ini, terus memberikan tekanan kepada negara yang mengamalkan ekonomi terbuka seperti Malaysia.
Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk menangani inflasi dan kesan terhadap harga barangan keperluan asas.
Ini termasuk mewujudkan rantaian bekalan makanan dalam negara dengan menggalakkan aktiviti pertanian bahan mentah yang boleh menggantikan sumber import seperti cili.
Beberapa keputusan penting turut diambil terutama mengekalkan tarif elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri.
Perkara tersebut diputuskan atas kesedaran kenaikan tanpa program sokongan dan bantuan lain akan memberi kesan terhadap kos operasi pengeluar yang akhirnya memberi impak terhadap harga barangan pengguna.
Bagi membantu pesawah dalam menguruskan kos sara hidup, BERNAS akan menyalurkan peruntukan RM60 juta.
Kerajaan turut memutuskan kawalan harga dan subsidi ayam standard serta telur Gred A, B dan C diteruskan sehingga suatu tempoh yang ditetapkan.
Selain memperincikan pelaksanaan Harga 2 Peringkat bagi minyak sawit mentah.
Ini supaya harga minyak masak tulen kemasan botol di pasaran domestik dijual pada harga lebih rendah.
Selain itu, inisiatif Payung Rahmah diperkenal bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.
Ia melibatkan penyediaan bakul makanan, pakej barangan, menu dan Kafe Rahmah.
Pakej Barangan Rahmah merangkumi 12 jenis barangan asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan.
Manakala, Kafe Rahmah menyediakan makanan tengah hari secara percuma kepada penuntut universiti serta sarapan dan makanan malam pada harga diskaun sehingga 50 peratus.
Menu Rahmah pula menyediakan makanan tengah hari atau malam yang seimbang pada harga maksimum RM5.
Program Payung Rahmah merupakan langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan.
Ia dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
(Menu Rahmah)
Sementara itu, langkah jangka panjang sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan, memenuhi permintaan, seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.
Bagaimanapun, setiap langkah yang diambil kerajaan perlu dipastikan tidak menjejas kedudukan ekosistem perniagaan dan industri yang masih dalam tempoh pemulihan pascapandemik COVID-19.
Ini kerana kerajaan sedar penyelesaian bekalan harus dibuat dengan teliti tanpa memberi impak negatif kepada pengeluar terutama peniaga kecil, sederhana dan mikro.
Apapun, usaha mengawal inflasi dan kos sara hidup sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak yang terbabit seperti kerajaan, pengeluar, peniaga dan rakyat.
Kos sara hidup bukan sahaja berlegar mengenai harga murah tetapi harga adil kepada pengeluar, peniaga dan pengguna.
Diharapkan segala langkah yang diambil akan memudahkan pengurusan kos untuk memastikan segala penjimatan dapat dialirkan kepada pengguna sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
Pengguna pula perlu terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pengguna bijak.
Pengguna perlu merancang perbelanjaan dengan baik sebelum melakukan pembelian, menyesuaikan kecenderungan sekiranya terdapat barang pengganti kepada barang yang telah meningkat harganya dan sentiasa membuat perbandingan harga.
Selain membeli dalam kuantiti yang diperlukan dan tidak mengamalkan pembelian panik.
Sekali gus bersama-sama kerajaan dalam mengharmonikan semula ekonomi domestik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
HASLINDA HASSAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.