SAUDARA PENGARANG
Baru-baru ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemain industri apabila pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadikan salah satu syarat kepada pembentangan cadangan (pitching) kandungan program televisyen kepada RTM oleh penerbit adalah sijil notifikasi hakcipta MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia).
Sijil notifikasi hakcipta daripada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) ini adalah satu pemberitahuan sukarela (notifikasi) tentang hak cipta (copyright) sesuatu karya itu kepada MyIPO bagi membuktikan hak cipta kandungan tersebut dimiliki oleh pengkarya dan juga pemegang hak cipta komersial terhadap karya tersebut.
Apa yang cuba dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah langkah baik demi pembangunan industri kandungan kreatif dalam memastikan harta intelek melalui hak cipta ini dilindungi dan tidak dieksploitasi agar tidak timbul di kemudian hari masalah tentang pemilikan hak pengkarya serta hak komersial kandungan kreatif.
Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup mencuba melaksanakan satu sistem di mana pengkarya dan penerbit membuat pemberitahuan (notifikasi) dan pendaftaran tentang hak milik karya mereka agar pemilikan hakcipta direkod secara teratur sebelum sebarang aktiviti pengkomersialan secara persendirian atau bersama penerbit itu dilaksanakan.
Pengarang terutama golongan pengkarya dan industri seharusnya berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif ini bagi memastikan semua karya dilindungi sebelum pengkomersialan.
Kita telah mendengar terlalu kerap di dalam media pengkarya seperti penulis, pengarah seperti Allayarham Tan Sri P Ramlee berhadapan masalah apabila karya mereka dikaut keuntungan secara berat sebelah oleh penerbit dan syarikat yang mempunyai hak komersial ke atas filem dan ciptaan mereka.
Akibatnya pemain industri kreatif seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee tidak dapat mewariskan hasil titik peluh idea kreatif dalam bentuk harta yang bernilai kepada ahli keluarga dan generasi mereka. Mereka hanya kaya dalam limpahan lampu di pentas glamor tetapi hidup susah dan melarat di akhir usia.
Zaman dahulu mungkin kesedaran atau literasi pemain industri kreatif kita terhadap perlindungan hak cipta agak terbatas. Tiada saluran maklumat serta kefahaman tentang isu ini.
Mereka tidak menyedari tentang kewujudan Konvensyen Antarabangsa seperti Bern Convention 1886 yang diperkenalkan di Switzerland dan diratifikasi oleh kerajaan Malaysia pada 28 Jun 1990 melalui Konvensyen Berne untuk Perlindungan Karya dan Kerja Artistik (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works).
Konvensyen ini memberi perlindungan kepada perkarya selama 50 tahun hak cipta sebagai pengarang (author right). Manakala kepada hak komersial (commercial right) kepada penerbit untuk memperdagangkan karya tersebut dalam tempoh tertentu mengikut perundingan dan juga kontrak persetujuan kedua-dua belah pihak.
Menurut konvensyen antarabangsa hak pengkarya sebagai penghasil dan pencipta idea tidak boleh dipadam atau dipinda tanpa mendapat kebenaran dan persetujuan mereka. Setiap kandungan idea dalam bentuk nama, logo, watak yang dicipta boleh didaftarkan sebagai harta intelek yang dilindungi Akta Hak Cipta.
Kesedaran hak cipta ini perlu selanjutnya diperkukuhkan kepada pemain industri kandungan kreatif termasuk individu dan syarikat agar berunding dan bersetuju sedari awal lagi tentang hak pengkarya dan hak komersial penerbit tentang pembahagian royalti serta komisyen (comissioning).
Apa yang perlu difahami oleh setiap pengkarya bahawa walaupun dia telah menyerahkan hak komersial karya tersebut kepada syarikat hak pengkarya (author right) tetap kekal selama 50 tahun di mana nama beliau sebagai pengkarya asal tidak boleh dipadam oleh penerbit sekiranya karya tersebut dikembangkan kepada penerbitan berikutnya. Langkah kerajaan menyusun dengan sistem teratur mengikut konvensyen antarabangsa melalui agensi Badan Perlindungan Harta Intelek (MyIPO) bukan bertujuan menyusahkan tetapi demi mengangkat dan melindungi karya kreatif ini daripada diekploitasi secara tidak adil oleh mana-mana pihak.
Cuma lebih kemas lagi kerajaan perlu bersama memastikan setiap agensi kerajaan seperti stesen televisyen swasta dan kerajaan serta penerbit memastikan juga bukan sekadar hak pengkarya (author right) itu dihormati malah diagihkan keuntungannya melalui royalti dan juga sistem komisyen (commisioning) yang adil dan saksama tanpa merugikan sesiapa.
Sudah tiba masanya stesen televisyen kerajaan dan swasta berunding dari semasa ke semasa dengan pemain industri kreatif tempatan termasuk persatuan penerbit, persatuan artis pekerja kandungan kreatif terma yang lebih bersifat menang menang kepada setiap pemain industri. Di negara maju seperti di Hollywood Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropan mereka sentiasa mengadakan perbincangan semula terma (negotitiation) tentang perkongsian dan pembahagian royalti dan komisyen kepada pihak terlibat dalam hasil usahama kandungan kreatif filem dan video.
Usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa intervensi dan polisi kerajaan dan agensi kerajaan seperti MyIPO dan Finas sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pembangunan industri kandungan kreatif.
Dalam era digital kerajaan perlu memperkukuhkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan juga analisis big data yang boleh mengesan setiap hak royalti dan komisyen semua pihak yang mempunyai hak terhadap karya tersebut dengan cepat, pantas dan dipercayai integriti maklumatnya.
TS DR MEGAT AL IMRAN YASIN penulis, merupakan pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mantan Timbalan Ketua Pengarah Finas.
Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.