fb fb fb fb fb

Tragedi Khojaly: Pedoman untuk sejarah kemanusiaan dan kuasa dunia

 

SAUDARA PENGARANG

Perang, konflik dan perebutan kuasa mengakibatkan dunia tidak aman. Peristiwa sebegini membuatkan sesebuah negara tidak terlepas daripada krisis kemanusiaan. Perang membawa kesengsaraan dan kematian. Sejarah menunjukkan jiwa dan kemanusiaan seperti tidak bernilai lagi. Seperti mana perang pada abad ini dan pada era sebelumnya, menjadikan nilai kemanusiaan dan nyawa semakin murah.

Dunia telah menyaksikan terlalu banyak kekejaman terhadap mangsa peperangan sehingga kini. Kekejaman dan penderaan terutamanya kepada mangsa yang lemah seperti wanita, kanak-kanak dan juga warga emas adalah sebagai taktik peperangan sahaja. Realiti perang mempamerkan impak negatif terhadap kesihatan mental mangsa akibat dari kekejaman dan penderaan, yang sukar dilupakan dan terpahat sepanjang hayat.

Setiap tahun, penduduk Azerbaijan memperingati peristiwa pilu yang berlaku pada 26 Februari, 1992. Ulang tahun tragedi Khojaly mengenangkan peristiwa pembunuhan beramai-ramai terbesar dalam sejarah konflik Nagorno-Karabakh yang paling mengerikan di akhir abad ke-20. Tragedi pembunuhan orang awam etnik Azerbaijan oleh askar Armenia secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sejarah konflik Armenia dan Azerbaijan bertambah hangat pada 1988, tiga tahun sebelum pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991. Konflik ini merupakan kesinambungan dasar penghapusan etnik yang dijalankan secara berterusan oleh nasionalis Armenia terhadap Azerbaijan selama lebih kurang 200 tahun yang lalu.

Konflik demi konflik antara Armenia dan Azerbaijan berlandaskan tuntutan wilayah Nagorno-Karabakh Azerbaijan oleh Armenia. Konflik awal yang tercetus menyebabkan Armenia menguasai wilayah Nagorno-Karabakh termasuklah beberapa wilayah lain di Azerbaijan.

Persefahaman dan perdamaian tidak dapat dicapai antara Armenia dan Azerbaijan.

SERANGAN KONFLIK PALING KEJAM BERMULA, 613 ORANG AWAM TERBUNUH

Pada 26 Februari 1992, serangan paling kejam fasa konflik telah dilancarkan oleh askar Armenia terhadap orang awam Azerbaijan di bandar Khojaly. Khojaly menjadi sasaran disebabkan oleh lokasi yang strategik dan bertujuan untuk menghapuskan warisan sejarah Azerbaijan di bandar itu. Kota purba Azerbaijan ini telah dibakar dan dimusnahkan dalam hanya satu malam.

Seramai 613 orang awam telah dibunuh oleh tentera Armenia di Khojaly. Turut terbunuh termasuklah 106 wanita, 70 warga emas dan 63 kanak-kanak. Tragedi itu juga telah mengorbankan lapan keluarga; 130 kanak-kanak kehilangan bapa mereka, dan kira-kira 25 kanak-kanak menjadi yatim piatu. Sebanyak 487 yang lain cedera parah dalam tragedi hitam itu. Pada malam yang menyayat hati itu juga seramai 1,275 etnik Azerbaijan telah dijadikan tebusan manakala nasib 150 lagi tidak diketahui.

Kenyataan daripada 2,000 saksi yang terselamat dari tragedi tersebut menggambarkan pengalaman pahit dan ngeri pada malam yang pilu itu. Hanya bunyi ledakan senjata api dan bedilan meriam yang kuat didengari pada malam tersebut, menenggelami jeritan wanita, tangisan kanak-kanak yang ketakutan kerana kehilangan ibu bapa.

Malam yang gelap dan sejuk itu, diterangi api daripada kebakaran yang memusnahkan bandar Khojaly. Sepanjang malam, mangsa pelarian menyaksikan mayat bergelimpangan dalam perjalanan menyelamatkan nyawa mereka. Hanya maut berlegar dalam fikiran, sama ada ditembak mati oleh askar Armenia atau mati beku ketika cuba melarikan diri. Menjadi tawanan askar Armenia, bermaksud keberangkalian nyawa bakal berakhir, diseksa dan penderitaan yang amat tinggi.

Penduduk etnik Azerbaijan di Khojaly melarikan diri ke arah wilayah Aghdam dalam cuaca sejuk dan bersalji. Mangsa terpaksa berjalan berpuluh-puluh kilometer mencari perlindungan. Mereka terpaksa melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran dan perlu mengharungi sungai meskipun cuaca ketika itu pada musim sejuk. Oleh sebab itu, kebanyakan mereka mati akibat hiportemia.

Usaha untuk menyelamatkan diri semakin mencabar dan harapan untuk hidup semakin tipis dengan halangan tentera Armenia, mula menembak orang awam yang tidak bersalah. Wanita, kanak-kanak dan orang tua telah dibunuh dengan kejam. Isteri dan anak-anak hanya mampu menyaksikan suami, bapa dan ahli keluarga lelaki mati ditembak di hadapan mata.

(Gambar fail tragedi Khojaly pada tahun 1992/FOTO azerbaijan.az)

KEKEJAMAN DAN KERAKUSAN TENTERA ARMENIA

Tentera Armenia juga telah menyeksa tawanan orang awam etnik Azerbaijan dengan membakar dan menyembelih mereka hidup-hidup. Tidak cukup dengan itu, mangsa tawanan juga disiat kulit kepala, dipotong telinga, hidung dan anggota badan, dikorek mata mereka dan dibunuh beramai-ramai.

Dilaporkan mangsa yang terselamat amat sukar untuk melupakan keganasan dan kekejaman askar Armenia seolah-olah peristiwa tersebut baru berlaku semalam. Tragedi Khojaly tidak mudah luput dari ingatan mangsa yang terselamat. Mereka melalui detik amat getir dan ngeri sepanjang malam tragedi. Peristiwa ngeri itu juga terus menghantui mangsa sepanjang hayat mereka. Melalui hari-hari yang perit, dipukul dan diseksa merupakan antara kenangan pahit yang amat sukar dilupakan.

Menurut kerajaan Azerbaijan, askar Armenia melakukan keganasan yang amat dahsyat dalam sejarah perang. Kekejaman ini termaktub dalam sejarah peperangan sebagai pembunuhan beramai-ramai orang awam yang menggemparkan dunia pada akhir abad ke-20, sebagai jenayah paling ngeri terhadap kemanusiaan.

Tragedi Khojaly disamakan dengan tragedi ngeri seperti Holocaust, Rwanda, Srebrenica dan seumpamanya yang terukir dalam sejarah dunia untuk selama-lamanya.

Pembunuhan beramai-ramai adalah tindakan menentang keamanan dan kemanusiaan, dan dianggap jenayah paling serius bawah undang-undang antarabangsa.

Susulan itu, pada Februari 2009, Kempen Justice for Khojaly, telah dikuatkuasakan. Kempen itu diadakan di seluruh dunia untuk memberi kesedaran dan mendapat pengiktirafan antarabangsa terhadap pembunuhan beramai-ramai di Khojaly.

Kempen seumpama itu juga dapat membuka mata dunia mengenai pembunuhan beramai-ramai Khojaly supaya lebih diketahui oleh masyarakat dunia. Cara ini dapat memastikan pengiktirafan moral dan politik terhadap peristiwa pembunuhan beramai-ramai di peringkat antarabangsa sekali gus memperingati mangsa tragedi.

Dunia merasai keperitan terhadap keganasan yang berlaku di hadapan mata. Malangnya, masyarakat antarabangsa memilih untuk memejam mata terhadap isu seperti tragedi Khojaly, yang ditulis sebagai satu aib dalam sejarah kemanusiaan, apatah lagi bertindak sebagai pembela isu kemanusiaan.

Kuasa besar sepatutnya, berusaha lebih kuat untuk mengekalkan pembunuhan beramai-ramai seperti di Khojaly dalam agenda antarabangsa seterusnya menggesa agar pelaku pembunuhan beramai-ramai bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan.

Kerajaan yang bertanggungjawab akan mempertimbangkan cara untuk mencegah peperangan, dengan mempertimbangkan isu yang lebih luas untuk menggantikan sistem perang dengan sistem keamanan.

Sememangnya, perang tidak menguntungkan sesiapa, sedangkan hidup perlu diteruskan dengan mendoakan keamanan. Keamanan adalah kunci kesejahteraan manusia sejagat.


(Sekumpulan askar etnik Armenia dalam kenderaan mereka semasa bertempur dengan tentera
Azerbaijan di wilayah Nagorno-Karabakh pada 29 September tahun lalu/FOTO REUTERS)
 

Maklumat dalam artikel telah disahkan oleh pihak Kedutaan Azerbaijan.

PENULIS ASMAHAN ABD RAZAK merupakan penulis bebas, bekas pensyarah dan juga Pegawai Perhubungan dan Antarabangsa, Jabatan Antarabangsa UiTM Global.

Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu