fb fb fb fb fb

Ikrar serumpun Anwar-Jokowi ke arah dimensi baharu

Majlis penyerahan 11 pucuk surat hasrat atau 'letter of intent' diserahkan kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi/FOTO Rasmi Perdana Menteri

ULASAN BERITA

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia baru-baru ini membawa hubungan Malaysia-Indonesia yang sememangnya sedia erat, ke dimensi baharu.

Lawatan berprofil tinggi itu mengundang rasa optimis luar biasa, bagi kedua-dua belah pihak.

Kuala Lumpur dan Jakarta sama-sama berikrar memulakan komitmen baharu.

Bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua negara jiran serumpun, tetapi juga menyelesaikan isu-isu tertunggak.

Daripada isu sempadan darat dan maritim yang telah berlarutan selama 60 tahun, hinggalah isu berkaitan pekerja warga Indonesia di Malaysia.

Keakraban hubungan PM-10 dengan Presiden Joko Widodo atau Jokowi, memudahkan perbincangan hati ke hati.

Turut diketengahkan, hubungan ekonomi dan pelaburan dua hala.

Termasuk hasrat Malaysia melabur dalam projek pembangunan ibu negara baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara di Kalimantan Timur berdekatan Sarawak.

11 pucuk surat hasrat atau 'letter of intent' bernilai lebih RM11 bilion daripada 10 syarikat Malaysia telah diserahkan kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Komitmen Malaysia disambut baik oleh Indonesia atas faktor kewangan dan ekonomi.

Bagi Malaysia, pembangunan di Kalimantan Timur pastinya turut memberi manfaat kepada Sarawak dan Sabah.

Apa tidaknya, Nusantara merupakan projek mega yang mempunyai potensi besar mengangkat kedudukan Borneo di peta dunia.

Dijadual siap pada 2045, projek jangka panjang itu dianggar menelan belanja sekitar RM141 bilion.

Fasa pertama melibatkan pembinaan infrastruktur utama seperti Istana Presiden, Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat dan rumah kediaman, dijangka siap tahun depan.

Sembilan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai syarikat swasta Malaysia dan Indonesia dengan 'pelaburan berpotensi' berjumlah lebih RM1.66 bilion.

Melibatkan bidang kejuruteraan perkapalan, perbankan, teknologi pembuatan bateri, penerokaan tenaga hijau dan pembangunan Nusantara, serta sains dan teknologi.

Namun begitu, paparan berita utama kebanyakan media antarabangsa ialah persetujuan kedua-dua pemimpin meningkatkan kerjasama memerangi diskriminasi Barat, terhadap minyak sawit.

Bermula dengan pemerkasaan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Seperti kata Perdana Menteri, walaupun sudah diwujudkan sejak 2015, tetapi CPOPC tidak berkembang.

Sedangkan badan itu sebenarnya berpotensi menjadi pertubuhan berpengaruh, seperti OPEC yang dianggotai negara-negara pengeluar minyak.

CPOPC ditubuhkan pada 21 November 2015 oleh Indonesia dan Malaysia yang merupakan pengeluar terbesar minyak sawit dunia.

Bagi mengukuhkan kerjasama dan muafakat dalam industri sawit, empat negara pemerhati -- iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea akan diterima menjadi ahli penuh.

Sebagai langkah segera, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan berlepas ke Indonesia dalam masa terdekat.

Beliau bersama rakan sejawatannya dan pihak berkepentingan lain akan menyusun strategi dan memperkukuh usaha memerangi kesan negatif yang menyelubungi komoditi sawit.

Menurutnya, mungkin terdapat keperluan untuk mempertimbangkan penglibatan pakar bagi menentang tuduhan Barat.

Pilihan lain ialah langkah drastik, menghentikan terus eksport ke Eropah dan menumpukan pada negara-negara lain.

Perkara ini perlu dibincangkan dengan Indonesia.

Dalam pertemuan khas dengan Presiden Jokowi, Datuk Seri Anwar juga menyatakan komitmen Malaysia memberi sokongan penuh kepada Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Termasuk dalam menangani isu Myanmar. Seperti kita sedia maklum, Malaysia merupakan anggota ASEAN paling lantang bersuara mengenai situasi di Myanmar sejak berlakunya rampasan kuasa pada Februari 2021.

Kedua-dua pemimpin sepakat untuk meningkatkan tekanan terhadap junta Myanmar supaya melaksanakan pelan damai, Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Mereka berpandangan, ASEAN mesti terus memainkan peranan utama dalam menjadikan rantau Indo-Pasifik aman, makmur dan stabil.

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Indonesia walaupun singkat, menggambarkan semangat kebersamaan yang padu antara dua pemimpin negara berjiran.

Saling hormat menghormati, penuh empati.
Berinduk bak ayam.
Rumpun bak serai.
Junjung bak sirih.
Bak kata Sheqal .... itulah kita di nusantara

PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Ulasan ini merupakan pandagan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu