SAUDARA PENGARANG
Zakat fitrah merupakan ibadat kehartaan yang wajib dibayar ketika dalam bulan Ramadan. Ia difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua Hijrah dalam bulan Sya'ban. Ia hanya diwajibkan khusus pada bulan Ramadan sahaja.
Sebagai umat Islam, zakat fitrah perlu dikeluarkan oleh mereka yang memenuhi kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh syarak seperti mereka yang beragama Islam dan merdeka di samping mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaan bagi dirinya dan orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.
Kefarduan zakat fitrah adalah sabit berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 103, maknanya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). Dalam hadis Nabi SAW, daripada Ibnu Umar, maknanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menfardukan zakat Fitrah pada bulan Ramadan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada barli ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan dalam kalangan orang-orang Islam (HR Muslim).
Jelaslah bahawa mereka yang mengingkari hukum wajib membayar zakat akan dihukum sebagai kafir. Adapun mereka yang enggan mengeluarkan zakat tanpa mengingkari hukumnya akan berdosa besar kerana sudah jelas dari nas-nas yang menerangkan berkaitan kewajipan membayar zakat.
Di Malaysia, terdapat pelbagai kadar zakat fitrah yang telah ditetapkan pihak berautoriti agama negeri masing-masing. Kadar satu gantang Baghdad ini biasanya dinilai dalam bentuk wang ringgit. Ada negeri yang menetapkan satu kadar sahaja, iaitu RM7.50 seperti Sabah dan Sarawak dan RM9.00 bagi negeri Perlis.
Majoriti negeri lain meletakkan tiga kadar zakat yang berbeza, iaitu bermula dari serendah RM7.00 hinggalah ke RM27.00. Ia dikira berdasarkan jenis beras yang dimakan oleh pembayar secara konsisten dan dominan sepanjang tahun. Umpamanya di negeri Kedah, hanya dua kadar sahaja iaitu RM7.00 dan RM14.00 berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Kedah.
Selain itu, setiap negeri melantik amil dan penolong amil secara rasmi mengikut kawasan masing-masing . Ini bagi melancarkan kutipan zakat fitrah yang lebih bersistematik dan berkesan demi maslahat dan pembayar zakat serta pihak berautoriti. Dalam era revolusi industri 4.0, kita menyaksikan pembayaran zakat kini boleh dibuat secara dalam talian. Jadi, umat Islam boleh membayar zakat fitrah kepada amil yang telah dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri bagi mengumpulkan kutipan dalam jumlah yang besar dan proses agihan boleh dilakukan lebih sistematik berdasarkan data penerima yang berdaftar dengan pusat zakat.
Muzakarah Jawatan kuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 pada tahun 2006 menyatakan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian adalah sah tetapi melanggar peraturan dan undang-undang adalah berdosa kerana umat Islam wajib patuh dan taat kepada ulil amri dalam perkara kebaikan. Begitu juga dengan kutipan yang merentasi sempadan negeri adalah dilarang tegas kerana ia boleh mengalihkan dan mengurangkan hak mereka memerlukan di negeri berkenaan.
Secara umumnya, waktu untuk melakukan pembayaran zakat fitrah terbahagi kepada lima. Pertama, adalah waktu yang wajib iaitu apabila seseorang itu mencapai sebahagian daripada bulan Ramadan dan sebahagian daripada bulan Syawal.
Sebagai contoh, seseorang itu hidup dan cukup segala syarat wajib zakat ketika terbenam matahari pada malam Aidilfitri. Kedua, adalah waktu afdal iaitu pada hari raya Aidilfitri selepas terbit fajar dan sebelum solat Aidilfitri. Ketiga pula adalah waktu harus iaitu bermula dari awal Ramadan.
Keempat adalah waktu makruh iaitu melewatkan pembayaran zakat fitrah selepas solat Aidilfitri sehingga terbenam matahari melainkan ada maslahah yang lain. Kelima adalah waktu haram iaitu melewatkan pembayaran zakat selepas hari raya Aidilfitri kecuali ketika ada keuzuran.
Asasnya, pembayaran zakat fitrah mempunyai pelbagai hikmah dan manfaat sama ada kepada para pembayar atau penerima bantuan zakat.
Bagi pembayar zakat fitrah, wang yang dikeluarkan adalah untuk penyucian harta dan juga jiwa pemberi. Pembayaran zakat fitrah juga adalah manifestasi rasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT atas segala pemberian segala nikmat dan kecukupan rezeki.
Sebagai menzahirkan rasa syukur itu, zakat fitrah dikeluarkan kepada mereka yang layak menerimanya bagi meringankan sedikit beban asnaf dan faqir miskin yang dipikul untuk meraikan hari raya aidilfitri serta mengembirakan mereka dengan sedikit pemberian.
Di samping itu, bulan Ramadan juga merupakan titik tolak untuk umat Islam kembali kepada fitrah dan suci dari dosa. Di samping menahan lapar dan dahaga di siang hari, mereka turut menjauhi segala sifat mazmumah dan keji serta menjaga segala kelakuan daripada dosa dan maksiat. Akan tetapi, pastinya akan terdapat ketergelinciran lidah dan perbuatan ketika berpuasa. Dalam hal ini, hadis Nabi SAW, maknanya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin” (HR Abu Daud).
Dengan membayar zakat fitrah, ibarat seseorang itu dapat menebus diri mereka dari kekurangan yang dilakukan ketika berpuasa. Ia menjadi penebus untuk menampung kelemahan orang yang berpuasa.
Selain itu, dengan membayar zakat fitrah, para pembayar akan banyak membantu umat Islam lain yang lebih memerlukan bantuan demi kelangsungan kehidupan dan keterjaminan makanan mereka.
Golongan penerima dapat menarik nafas lega menjelang sambutan hari raya Aidilfitri. Sejajar dengan itu juga, ia dapat mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Islam kerana nasib golongan asnaf terbela baik di samping kesejahteraan sosial juga dapat dibentuk.
Tuntasnya, membayar zakat fitrah merupakan satu kewajipan kepada umat Islam yang memenuhi semua syarat dan kriteria yang telah ditetapkan syarak. Oleh itu, pembayaran zakat fitrah tidak boleh diabaikan kerana hukumnya adalah berdosa besar apabila mereka gagal membayar zakat bahkan boleh menjadi kufur sekira mengingkari kewajipannya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Emel: