fb fb fb fb fb

SEGiM mekanisma kawal selia ekonomi gig yang tepat

SAUDARA PENGARANG

Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini menyarankan supaya Jemaah Menteri mempertimbang dan meluluskan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM), sebagai badan kawal selia utama bagi memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mapan.

Langkah ini dianggap sebagai langkah penting dalam menangani dinamik industri gig yang semakin mendominasi pasaran pekerjaan Malaysia. Menurut TPM, SEGiM akan berfungsi sebagai badan pengawal selia untuk melindungi hak pekerja gig, memastikan keseimbangan antara fleksibiliti pekerjaan dan jaminan sosial, serta menyokong matlamat ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Dalam suatu kajian yang dijalankan,pengumuman ini disambut positif oleh 96% responden dalam tinjauan terkini, mencerminkan harapan tinggi rakyat terhadap peranan suruhanjaya ini. Suruhanjaya, menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu, merujuk kepada badan bebas yang ditubuhkan kerajaan atau parlimen untuk melaksanakan tugas khusus secara adil dan berkecuali.

Ciri utama suruhanjaya ialah kebebasannya daripada pengaruh mana-mana pihak, memastikan keputusan yang diambil berpaksikan kepentingan awam. SEGiM, sebagai entiti baharu, dijangka mengamalkan prinsip ini dengan menyediakan rangka kerja perundangan yang jelas bagi pekerja gig, termasuk isu upah, perlindungan sosial, dan keselamatan kerja.

Dalam konteks sejarah, penubuhan suruhanjaya di Malaysia bukanlah perkara asing. Suruhanjaya Reid 1956, misalnya, menjadi asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mengimbangi hak pelbagai kaum dan institusi sebelum kemerdekaan.

Kejayaan Suruhanjaya Reid dalam mewujudkan dasar inklusif menjadi inspirasi kepada SEGiM untuk menyelesaikan isu ekonomi gig secara holistik. Seperti Suruhanjaya Reid yang mengutamakan kestabilan politik, SEGiM diharap dapat menjadi tulang belakang dalam membentuk ekosistem gig yang adil, terutamanya dalam menangani kelopangan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955 yang tidak mengiktiraf status pekerja gig.

Namun, SEGiM bakal berdepan cabaran kompleks. Pertama, suruhanjaya ini perlu menyeimbangkan fleksibiliti pekerja gig yang merupakan salah satu daya tarikan utama ekonomi gig dengan jaminan hak asasi pekerja gig ini seperti insurans, simpanan persaraan, dan upah tetap.

Kedua, kekurangan data menyeluruh mengenai jumlah dan profil pekerja gig menyukarkan perancangan polisi berkesan.

Ketiga, tentangan daripada syarikat penyedia platform yang mungkin menganggap peraturan baharu sebagai ancaman kepada model perniagaan mereka. Selain itu, kos operasi dan pembiayaan SEGiM juga perlu ditangani secara bijak agar tidak membebankan perbelanjaan kerajaan.

Bagi mengukuhkan kerangka pengawalseliaan, SEGiM boleh mengambil contoh kejayaan Fair Work Commission (FWC) di Australia. Melalui pindaan Fair Work Act 2009, Australia mengklasifikasikan pekerja gig sebagai "pekerja seperti pekerja formal", memberikan mereka akses kepada perlindungan sosial, insurans pengangguran dan hak berunding kolektif.

Pendekatan ini berjaya menyeimbangkan keperluan pekerja dan syarikat tanpa menjejaskan fleksibiliti industri. SEGiM perlu meneliti model ini sambil menyesuaikannya dengan konteks tempatan, terutamanya dalam memperkenalkan akta khusus yang mengiktiraf status pekerja gig dan menyelesaikan isu seperti pengurusan data dan ketiadaan kontrak jelas.

Dengan sokongan majoriti rakyat, SEGiM berpotensi menjadikan Malaysia sebagai perintis global dalam pengawalseliaan ekonomi gig. Kejayaannya bergantung pada kerjasama erat antara kerajaan, penyedia platform, dan pekerja gig sendiri.

Jika dilaksanakan dengan telus, suruhanjaya ini bukan sahaja akan melindungi hak pekerja tetapi juga mengukuhkan daya saing ekonomi negara. Langkah ini selari dengan aspirasi RMK-12 untuk membangunkan ekonomi mapan dan inklusif, sekaligus membuka peluang kepada semua golongan, termasuk belia, suri rumah, dan kumpulan rentan, untuk menyumbang secara produktif kepada kemajuan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NURHIDAYAH ABDULLAH
Prof Madya Dr Nurhidayah
Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang
Universiti Malaya
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

TETITIA YUSOFF