fb fb fb fb fb

WhatsApp: Antara produktiviti kerja dan keutuhan silaturahim

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era digital ini, WhatsApp bukan lagi sekadar aplikasi komunikasi biasa. Ia telah menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat, bukan sahaja untuk berkomunikasi dan bersosial, malah turut digunakan secara meluas dalam urusan kerja. Kemudahan ditawarkan menjadikan komunikasi antara pekerja dan majikan lebih cepat dan efisien. Namun, di sebalik kemudahan ini, tersembunyi satu dilema yang semakin ketara, khususnya apabila tiba musim perayaan.

Kajian dijalankan oleh pensyarah kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya mendapati bahawa penggunaan WhatsApp sebagai saluran komunikasi kini telah menjadi satu budaya dalam organisasi moden. Komunikasi kerja boleh berlaku pada bila-bila masa, seawal pagi selepas bangun tidur sehingga lewat malam sebelum tidur, memudahkan pekerja dan majikan mendapatkan maklum balas segera, terutama ketika berada di luar pejabat.

Walaupun budaya ini sering dianggap sebagai norma dalam meningkatkan produktiviti harian, ia boleh menjadi isu sensitif apabila melibatkan waktu cuti atau musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, penting untuk memastikan segala tugasan diselesaikan dengan baik sebelum bercuti. Ini termasuk memastikan maklumat diperlukan diserahkan kepada rakan sekerja dan memastikan segala urusan kerja disiapkan mengikut jadual. Dengan cara ini, pekerja dapat menikmati cuti dengan tenang tanpa gangguan, sekali gus memastikan kelancaran operasi syarikat semasa ketiadaan mereka.

Di pihak majikan, amat penting untuk memahami keperluan pekerja untuk berehat dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, terutamanya semasa musim perayaan. Cuti adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan untuk menyegarkan diri dan menikmati detik-detik berharga bersama orang tersayang. Oleh itu, memberi ruang kepada pekerja untuk benar-benar berehat tanpa gangguan kerja bukan sahaja membuatkan mereka berasa dihargai, tetapi juga akan membantu mereka kembali dengan semangat dan motivasi segar.

Namun begitu, dalam membincangkan tekanan kerja semasa cuti, kita tidak harus melupakan peranan penting WhatsApp semasa raya sebagai jambatan hati untuk menyambung kembali hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang mungkin sudah lama terputus. WhatsApp memudahkan kita berhubung, berkongsi kegembiraan, dan memperbaharui tali silaturahim, sekali gus mengingatkan kita bahawa hubungan tulus tidak semestinya bergantung pada pertemuan fizikal.

Ia menjadi saluran dan memberi ruang untuk kita menyampaikan ucapan raya, bertanya khabar, berkongsi gambar dan video suasana Aidilfitri, serta melakukan panggilan video dengan insan tersayang yang jauh. Ia mengingatkan kita bahawa hubungan yang tulus tidak semestinya bergantung pada pertemuan fizikal.

Walaupun hanya melalui skrin telefon, mesej raya tetap membawa sentuhan emosi yang mendalam. Ia membuktikan bahawa teknologi bukan penghalang untuk menyampaikan kasih sayang. Malah, ia menjadi alat penting dalam menyemai kembali nilai kekeluargaan dan persaudaraan yang kadangkala terabai dek kesibukan hidup.

Apa yang penting adalah bagaimana kita menggunakan teknologi ini secara bijak. WhatsApp boleh menjadi sumber tekanan jika digunakan secara tidak beretika dalam konteks kerja, tetapi ia juga boleh menjadi sumber kasih sayang dan penghubung jiwa dalam konteks kekeluargaan dan perayaan. Keseimbangan inilah yang perlu dicapai.

Organisasi boleh memainkan peranan dengan menetapkan garis panduan komunikasi kerja semasa cuti, manakala individu pula harus belajar untuk mengurus masa dan emosi dengan lebih berkesan. Pada masa sama, kita semua boleh mengambil peluang sempena Aidilfitri ini untuk mengeratkan hubungan dengan menghantar mesej raya yang ikhlas kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup kita.

Mungkin, inilah masanya untuk anda mulakan langkah. Pilih satu nama dalam senarai kenalan anda iaitu seorang rakan lama, saudara jauh, atau sesiapa yang pernah rapat dengan anda. Hantarlah satu mesej raya ingkas tetapi penuh makna. Siapa tahu, mesej itu menjadi jambatan untuk menyambung kembali hubungan yang semakin pudar.

Kadang-kadang, satu mesej kecil mampu membawa perubahan yang besar. Aidilfitri adalah masa untuk menghargai, memaafkan dan menyambung silaturahim. Maka, dalam kesibukan dunia digital hari ini, ayuh kita jadikan WhatsApp bukan sekadar alat kerja, tetapi juga medium penghubung kasih sayang yang sejati.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NUR SYAZWANI
Dr Nur Syazwani
Pensyarah Kanan
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI