SAUDARA PENGARANG
Setiap tahun apabila tibanya musim haji, berjuta-juta umat Islam dari segenap pelosok dunia berhimpun di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima. Mereka hadir dengan hati yang penuh keinsafan dan harapan agar ibadah yang ditunaikan diterima di sisi Allah SWT.
Namun di sebalik perjalanan agung ini, terselit satu hakikat besar yang wajar direnungi bahawa peluang menunaikan haji bukan sekadar hasil kemampuan atau usaha manusia, tetapi merupakan rezeki terindah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Anugerah Ilahi Tidak Ternilai
Rezeki bukan hanya terhad kepada harta dan kemewahan hidup. Dalam pengertian yang lebih luas, rezeki juga bermakna peluang, kesihatan, ketenangan, serta keizinan Allah untuk melakukan amal soleh.
Menunaikan haji adalah antara rezeki paling berharga. Tidak semua yang mampu dari segi kewangan dan tenaga berpeluang menunaikannya dalam masa terdekat. Ramai yang masih menunggu giliran bertahun-tahun lamanya. Maka, apabila seseorang dipilih menjadi tetamu Allah, itu tanda kasih dan pilihan istimewa daripada-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud: βDan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang setiap unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh.β
Ayat ini menggambarkan bahawa setiap langkah menuju ke Tanah Suci adalah panggilan Ilahi. Bagi sesiapa yang menyahutnya sedang menunaikan perintah yang amat mulia.
Perjalanan Rohani dan Jasmani
Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal dari tanah air ke Makkah, tetapi juga satu perjalanan rohani. Perjalanan hati yang mendidik manusia supaya kembali kepada fitrah, tunduk dan pasrah kepada kekuasaan Allah SWT.
Setiap rukun dan amalan dalam haji membawa makna tersendiri. Ketika di Padang Arafah, terdapat jutaan manusia berhimpun dalam pakaian ihram serba putih tanpa sebarang perbezaan darjat, pangkat mahupun warna kulit. Semua berdiri sama di hadapan Tuhan Yang Maha Esa, menzahirkan nilai persaudaraan dan kesamarataan sejagat.
Bagi sesiapa yang telah melalui pengalaman ini, haji sering menjadi titik perubahan dalam kehidupan. Hati menjadi lebih lembut, jiwa lebih tenang dan langkah selepas pulang ke tanah air disulami dengan keinsafan serta tekad untuk memperbaiki diri.
Persediaan Diri dan Kesihatan
Menunaikan haji menuntut kekuatan fizikal, ketahanan mental serta kesediaan rohani yang tinggi. Justeru, setiap bakal jemaah perlu membuat persediaan awal dengan menjaga kesihatan, melakukan senaman ringan, mendapatkan vaksinasi, dan mendalami ilmu berkaitan manasik haji melalui kursus serta bimbingan.
Kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi tanpa kekuatan hati. Ibadah ini menguji kesabaran dan ketabahan, sama ada ketika berdepan cuaca panas, kesesakan jemaah termasuk cabaran kecil yang datang tanpa diduga. Dalam keadaan ini, sifat sabar, reda dan tawakal menjadi bekalan utama yang membantu jemaah menyempurnakan ibadah dengan tenang.
Nilai Pengorbanan dan Keinsafan
Haji juga mendidik erti pengorbanan. Jemaah perlu meninggalkan keluarga, pekerjaan, serta keselesaan hidup demi memenuhi panggilan Allah. Pengorbanan ini bukan sia-sia. Akan tetapi di sebaliknya tersimpan kemanisan rohani yang tidak terungkap dengan kata-kata.
Ramai jemaah yang pulang membawa kenangan yang amat mendalam. Contohnya peluang dan pengalaman detik pertama menatap Kaabah, gema talbiyah yang menyentuh jiwa, dan suasana penuh syahdu ketika wukuf di Arafah. Semua itu adalah anugerah yang tidak ternilai dan menjadi tanda kebesaran Allah SWT.
Doa Menjadi Tetamu Allah
Menunaikan haji adalah lambang kemuncak keimanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT. Ini satu rezeki yang tidak semua insan berpeluang mengecapinya.
Bagi yang telah menunaikannya, peliharalah nikmat itu dengan terus istiqamah dalam ketaatan. Bagi yang masih menanti, jangan pernah berputus asa. Teruskan berdoa, berusaha dan bersabar, kerana setiap doa yang tulus pasti didengari oleh-Nya.
Mudah-mudahan, suatu hari nanti, kita semua akan dijemput menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Penulis merasai sendiri hakikatnya bahawa sesungguhnya βMenunaikan Haji Adalah Rezeki Terindah Anugerah Allah SWT.β
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ayu Nor Azilah Mohamad
Pensyarah Jabatan Pengajian Sosial & Kemanusiaan
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: