fb fb fb fb fb

Inklusifkah teknologi kita? Realiti pelajar OKU di IPT

Foto RTM

SAUDARA PENGARANG

Di sebalik arus kemajuan teknologi pendidikan yang semakin pesat di institusi pengajian tinggi (IPT), masih wujud golongan pelajar yang tercicir secara senyap daripada menikmati manfaatnya sepenuhnya iaitu pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam usaha mewujudkan kampus pintar dan pembelajaran dalam talian yang fleksibel, sering kali kita lupa bertanya satu persoalan penting, Inklusifkah teknologi kita?

Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Noraini Idris, “Keadilan dalam pendidikan tidak bermaksud memberi sama rata, tetapi menyediakan apa yang diperlukan agar semua dapat belajar secara bermakna.” Petikan ini mengingatkan kita bahawa pendekatan teknologi dalam pendidikan perlu bersifat responsif terhadap keperluan individu pelajar, termasuklah mereka yang berstatus OKU.

Sebagai bukti nyata, kajian oleh Universiti Malaya (2022) mendapati hanya 27% platform e-pembelajaran di IPT awam yang memenuhi garis panduan aksesibiliti Web Content Accessibility Guidelines (WCAG) sepenuhnya.

Data ini memberi gambaran jelas bahawa masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan dalam menjadikan teknologi pendidikan benar-benar inklusif.

Kesedaran dan komitmen terhadap keperluan pelajar OKU tidak boleh bersifat tempelan. Ia perlu dijadikan sebahagian daripada budaya dan dasar institusi pendidikan tinggi.

Perubahan ini memerlukan bukan sahaja infrastruktur teknologi, tetapi juga perubahan sikap, latihan, dan dasar yang menyeluruh.

Teknologi: Harapan yang Belum Menjadi Realiti

Teknologi pendidikan sepatutnya menjadi pemangkin kepada pembelajaran yang inklusif.

Dengan adanya perisian pembaca skrin, alat penukar teks ke ucapan, sari kata automatik, dan platform pembelajaran maya, pelajar OKU dijanjikan peluang yang lebih luas untuk mengikuti pengajian tinggi dengan lebih mudah dan fleksibel.

Namun begitu, kenyataan di lapangan tidak seindah yang diharapkan. Ramai pelajar OKU melaporkan bahawa platform e-pembelajaran masih gagal memenuhi keperluan asas mereka.

Bahan pengajaran dalam bentuk PDF sering kali tidak boleh diakses oleh perisian pembaca skrin, manakala rakaman video kuliah jarang sekali disertakan dengan sari kata atau transkrip.

Sebagai contoh, pelajar dengan masalah pendengaran sukar memahami kuliah yang hanya disampaikan secara audio tanpa visual atau sari kata.

Bagi pelajar dengan masalah penglihatan pula, laman sesawang universiti yang tidak responsif dan tidak mesra pembaca skrin menjadikan proses navigasi sebagai satu cabaran besar.

Kekangan Infrastruktur dan Sokongan Teknologi

Selain platform pembelajaran yang tidak mesra pengguna OKU, kekangan dari segi penyediaan infrastruktur dan peralatan juga menjadi isu besar.

Universiti sering kali hanya menyediakan peralatan bantuan seperti pembaca skrin atau perisian khas di bilik komputer tertentu atau pusat sumber terhad, dan bukannya menyeluruh di seluruh kampus.

Pelajar OKU juga berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada peranti atau perisian khas secara peribadi. Hal ini menjadi lebih ketara dalam situasi pembelajaran dari rumah, di mana pelajar perlu bergantung sepenuhnya kepada peralatan sendiri tanpa sokongan langsung dari universiti.

Ini sekali gus memperlihatkan ketidaksamaan yang ketara antara pelajar biasa dan pelajar OKU.

Menurut laporan UNICEF Malaysia (2021), golongan OKU antara yang paling teruk terjejas dalam pandemik COVID-19 yang melanda dunia dari segi ekonomi, sosial dan kesihatan. hampir 60% pelajar OKU menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai akses mencukupi kepada teknologi pembelajaran ketika sesi pembelajaran dalam talian dilaksanakan semasa pandemik. Ini menandakan perlunya pembaharuan struktur dalam penyediaan kemudahan di IPT.

Peranan Pensyarah dan Kesedaran Komuniti Akademik

Pensyarah memainkan peranan penting dalam memastikan proses pengajaran berjalan dengan inklusif. Namun, realitinya masih ramai yang tidak mempunyai pendedahan secukupnya mengenai teknologi bantuan dan kepentingan reka bentuk pengajaran yang mengambil kira kepelbagaian pelajar.

Ketiadaan latihan atau modul berkaitan teknologi bantuan dalam program pembangunan profesional pensyarah menyebabkan ramai yang tidak tahu bagaimana menghasilkan bahan pengajaran mesra OKU. Ada yang tidak mengetahui bahawa PDF perlu diformat khas untuk diakses oleh pembaca skrin, atau bahawa transkrip video perlu disediakan sebagai amalan biasa.

Kepekaan terhadap keperluan pelajar OKU bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi suatu tanggungjawab profesional dalam memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam sistem pendidikan.

Mewujudkan Ekosistem Pendidikan yang Inklusif

Pendidikan tinggi yang benar-benar inklusif memerlukan ekosistem yang menyokong dari pelbagai sudut dasar, latihan, teknologi, dan budaya. Pihak universiti perlu menggubal polisi yang mewajibkan pematuhan piawaian aksesibiliti digital dalam semua sistem yang dibangunkan.

Selain itu, universiti juga boleh mewujudkan unit khas yang bertanggungjawab terhadap kebajikan pelajar OKU, termasuk pemantauan keberkesanan penggunaan teknologi bantuan. Pelajar OKU juga wajar diberi ruang menyuarakan pengalaman mereka sebagai maklum balas terhadap sistem yang sedia ada.

Program latihan kepada tenaga pengajar dan kakitangan sokongan harus dijadikan agenda berkala, bukan sekadar inisiatif sekali-sekala. Penggunaan prinsip reka bentuk sejagat perlu menjadi sebahagian daripada falsafah pendidikan institusi, bukan hanya retorik di atas kertas.
Kesimpulan

Dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin digital, kegagalan menyediakan teknologi yang inklusif bukan sahaja menafikan hak pelajar OKU untuk belajar secara adil, tetapi turut menjejaskan prinsip asas keadilan dalam pendidikan.

Kecanggihan teknologi tidak seharusnya menjadi ukuran utama kejayaan sesebuah institusi, sebaliknya keupayaannya untuk menyantuni dan menyokong semua lapisan pelajar.

Maka, sudah tiba masanya pihak universiti, tenaga pengajar, pembangun sistem, dan pembuat dasar berganding bahu membina persekitaran pembelajaran yang benar-benar mesra OKU agar tiada siapa yang tertinggal di belakang dalam mengejar cita-cita akademik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR HAZLIN FALINA ROSLI
Dr.Hazlin Falina Rosli
Pensyarah Kanan
merangkap Ketua Penyelidik,
Fakulti Sains Sosial,
Universiti Islam Selangor.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD