SAUDARA PENGARANG
Pernahkah anda menonton satu adegan dalam drama di mana pelajar ditolak ke almari, buku-bukunya jatuh bergelimpangan, kawan-kawan ketawa di belakang dan anda spontan bermonolog, “Biasalah tu… sekolah memang macam tu”? Ungkapan ringkas ini sebenarnya mencerminkan satu proses pembiasaan sosial yang terbentuk melalui pendedahan media berulang-ulang, sehingga menjadikan sesuatu yang tidak bermoral itu kelihatan normal.
Pada ketika inilah, kita jarang sedar bahawa apa yang kita tonton selama bertahun-tahun tidak hanya menggambarkan realiti, tetapi membentuk cara kita mentafsir realiti, khususnya berkenaan isu buli. Filem dan drama bukan sekadar hiburan; ia adalah agen sosialisasi budaya yang mempengaruhi persepsi masyarakat secara halus, senyap, tetapi sangat mendalam.
Dalam dunia hiburan, watak pembuli sering digambarkan sebagai individu popular, menarik, kaya dan mempunyai pengaruh sosial. Sementara itu, watak mangsa pula kerap dipaparkan sebagai pendiam, selekeh atau tidak mempunyai kawan. Pola visual dan naratif yang berulang ini membentuk stereotaip yang menstrukturkan cara penonton memahami hierarki sosial di sekolah.
Apabila elemen buli dijadikan rempah dramatik, ia tidak lagi dilihat sebagai penderaan, tetapi diposisikan sebagai mekanisme pembinaan karakter, seolah-olah satu adat perjalanan hidup remaja. Latar muzik dramatik dan suntingan yang memukau menjadikan adegan buli dilihat sebagai estetika naratif, bukan tragedi sosial.
Kesan paling halus tetapi berbahaya ialah normalisasi. Bila masyarakat terlalu kerap melihat buli dalam drama sebagai sebahagian daripada jalan cerita, sedikit demi sedikit ia mencipta jangkaan sosial bahawa buli ialah “ritual” kehidupan remaja.
Ada yang berpendapat, “Buli tu buat kita kuat,” satu naratif yang mengalihkan tanggungjawab daripada pelaku kepada mangsa. Mangsa pula digambarkan sebagai pihak yang perlu “memperbaiki diri,” seolah-olah kelemahan mereka menjadi sebab mereka dibuli. Naratif ini berfungsi sebagai mitos budaya yang menjustifikasikan kuasa tidak seimbang. Sedangkan realiti jauh lebih rumit dan pedih daripada apa yang dipaparkan di skrin.
Lebih menarik untuk diperhatikan ialah trend penceritaan moden yang memberikan pembuli latar belakang traumatik. Dalam banyak drama terkenal, pembuli digambarkan sebagai mangsa keadaan kepada ibu bapa yang mengabaikan mereka, tekanan akademik yang berat atau sejarah penderaan.
Walaupun pendekatan ini menjadikan watak lebih manusiawi, ia turut menghasilkan empati yang terarah kepada pelaku, bukan mangsa. Penonton kadangkala lebih tersentuh dengan kisah pembuli sehingga lupa bahawa seseorang lain sedang menanggung luka sebenar.
Fenomena ini menimbulkan risiko “pembalikan simpati,” di mana pelaku dilihat sebagai mangsa hakiki dan bukannya individu yang perlu memikul akauntabiliti moral. Akhirnya, mesej menjadi kabur: penderaan menjadi “difahami,” bukannya dikecam.
Sebaliknya, mangsa pula kerap dipaksa melalui satu arc penceritaan yang menjadikan mereka “pemenang” pada akhir cerita dengan melanjutkan pelajaran ke universiti hebat, menjadi usahawan berjaya atau kembali menuntut keadilan.
Walaupun memberi inspirasi, naratif kemenangan dramatik ini mencipta ilusi bahawa penyembuhan mesti spektakular, seolah-olah mangsa yang masih bergelut bertahun-tahun kemudian adalah “gagal.” Realitinya, penyembuhan ialah proses kompleks dan berlapis, bukan perlumbaan, dan tidak semua mangsa mempunyai akses kepada sokongan seperti watak fiksyen.
Namun, tidak semua karya memberi kesan negatif. Ada juga filem dan drama yang bertindak sebagai medium kesedaran masyarakat, seperti The Glory yang memaparkan sisi gelap buli melalui penderaan fizikal, psikologi, seksual dan manipulasi rakan sebaya.
Di Malaysia, beberapa telefilem yang mengangkat kisah buli di sekolah berasrama dan universiti juga berperanan sebagai ruang pendedahan awam. Paparan sebegini membantu penonton memahami bahawa buli bukan sekadar ejek-mengejek, tetapi satu sistem kekerasan yang boleh merosakkan masa depan dan meninggalkan parut psikologi jangka panjang.
Namun ada satu realiti yang jarang diberi tempat dalam skrin: buli halus. Jenis buli ini melibatkan pengasingan sosial, gosip, fitnah, manipulasi emosi, pemulauan dan permainan kuasa. Ia tidak dramatik, tidak visual, dan sukar divisualkan dalam format hiburan.
Tetapi dalam kehidupan sebenar, inilah bentuk buli yang paling meluas, terutama dalam kalangan perempuan, komuniti korporat dan kumpulan sosial. Kegagalan media menggambarkan realiti ini menyebabkan masyarakat membangunkan definisi sempit tentang buli iaitu hanya yang fizikal atau dramatik. Akibatnya, ramai mangsa tidak sedar mereka sedang dibuli kerana apa yang mereka alami “tidak nampak seperti dalam TV.”
Persoalan besar yang harus kita renungkan ialah: “Adakah media sekadar mencerminkan realiti, atau media sebenarnya mencorakkan realiti?” Skrip yang ditonton berulang kali menjadi skrip sosial yang membentuk pemikiran kolektif.
Penonton mula menyerap mesej bawah sedar: beginilah rupa pembuli, beginilah mangsa patut bertindak, dan beginilah penyelesaian sepatutnya berlaku. Apa yang dominan di layar akhirnya diterima sebagai norma budaya.
Hakikatnya, filem dan drama memegang kuasa besar dalam mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap buli. Ia boleh membuka mata atau menutup realiti, menyedarkan atau menormalisasikan penderitaan, membina empati atau menjustifikasikan tingkah laku berbahaya. Pengaruhnya tidak pernah neutral.
Bagaimanapun, tanggungjawab membentuk persepsi sosial bukan terletak pada media semata-mata. Penonton juga perlu membangunkan literasi media, membaca naratif dengan kritikal, dan membezakan fiksyen dramatik daripada realiti kehidupan manusia.
Buli bukan drama, bukan plot putar belit dan bukan hiburan. Ia ialah pengalaman yang meninggalkan luka, dan setiap luka perlu dilihat, didengari dan dirawat, bukan dinormalisasikan. Lalu, dalam dunia yang semakin ditentukan oleh naratif skrin, sampai bila kita mahu membiarkan fiksyen menentukan cara kita memahami derita manusia sebenar?
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Mohd Yusof Zulkefli
Penyelaras Pengajian Liberal / Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTm Shah Alam