SAUDARA PENGARANG
Isu rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan pembaziran dalam perbelanjaan dana awam bukan lagi perkara baharu di negara kita sebaliknya telah sebati, bersifat struktural dan menjadi satu budaya yang terlalu sukar untuk dikekang selama ini.
Hakikatnya rakyat dan negara semakin mendambakan nilai dan amalan integriti serta ketelusan di semua peringkat operasi dan pentadbiran. Ringkasnya anggota masyarakat mahu lihat tindakan dan bukan sekadar mendengar laungan slogan semata-mata.
Jujurnya, transformasi negara tidak akan berlaku tanpa dua unsur utama, iaitu tadbir urus berintegriti dan keberanian politik untuk memutuskan rantaian lama budaya salah guna kuasa dan penyelewengan yang begitu kuat mencengkam negara.
Justeru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud kelompok tertentu yang tidak senang dengan transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kelangsungan, kelestarian dan peningkatan keupayaan negara; membuktikan kerajaan sedang melaksanakan tugas dengan baik dan berada di landasan yang betul. Lazimnya, setiap usaha untuk memperbaiki ketirisan sistem pasti mengundang tentangan daripada mereka yang selesa dengan status quo.
Dalam konteks ini, keberanian politik menjadi faktor penentu. Tanpa keberanian, pelan reformasi hanya akan tinggal di atas kertas semata-mata. Dengan keberanian, kerajaan bukan sahaja berupaya memperbetulkan kepincangan, malah dapat memulihkan maruah dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
Pada ketika ini kita sedang melihat keberanian politik pihak kerajaan melalui pelbagai inisiatif konkrit seperti reformasi fiskal dan penstrukturan ekonomi, penyasaran subsidi yang lebih adil, dan tindakan tegas terhadap salah guna kuasa dalam kalangan tokoh berprofil tinggi.
Hakikatnya keberanian politik kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa mula memberikan hasil dan impak yang positif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan negara.
Misalnya, keberanian politik kerajaan telah merintis jalan ke arah pengutipan RM15.5 bilion dalam tempoh 2024 dan 2025, hasil daripada tindakan rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara.
Perlu diakui sejak pentadbiran kerajaan MADANI, badan-badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mula bergerak lebih agresif sehingga mampu mencapai kejayaan memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir RM15.5 bilion tersebut.
Kejayaan seperti ini membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak dana untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Strategi kerajaan jelas iaitu melindungi wang rakyat dengan menutup ruang kebocoran dan ketirisan, bukan dengan membebankan rakyat melalui cukai baharu. Inilah manifestasi keberanian politik yang sebenar.
Ironinya, bukan mudah melakukan perubahan dalam sistem yang telah lama terbiasa dengan budaya tidak telus. Mengambil tindakan terhadap pelaku rasuah, membetulkan kelemahan sistem dan memecahkan tembok kebal kuasa bukanlah perkara kecil. Ia menuntut iltizam kepimpinan yang kuat dan keberanian politik yang tidak goyah.
Perkara ini hanya boleh dilakukan jika pihak kerajaan ada keberanian politik yang jelas dan kuat serta tekad untuk memperkasa tadbir urus berintegriti dan tatakelola yang baik. Datuk Seri Anwar dan kerajaan MADANI dilihat ada keberanian dan tekad tersebut.
Dalam mengharungi cabaran dunia yang kini memasuki era pasca normal selain keadaan geopolitik dan ekonomi yang sangat mencabar, Malaysia tidak boleh lagi kompromi dalam soal moral dan integriti yang selama ini menjejaskan kehidupan rakyat dan pembangunan negara.
Tuntasnya, kita perlu meneroka idea, hala tuju dan dasar-dasar baharu yang lebih berani, menongkah arus kelaziman dan pragmatik supaya dapat meningkatkan keupayaan rakyat dan negara seiring dengan perubahan zaman dan tuntutan cabaran masa kini.
Jadi asas utama transformasi rakyat dan negara ialah tadbir urus berintegriti dan keberanian politik pihak pemerintah yang berani melawan arus, bersedia membuat keputusan tidak popular serta tekad untuk memajukan negara dengan amalan tatakelola yang terpuji.
Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan pelbagai tindakan berani kerajaan, percayalah majoriti rakyat menyokong penuh agenda integriti MADANI. Justeru kita memohon agar pihak kerajaan meneruskan inisiatif untuk membersihkan negara daripada amalan korupsi dan salah guna kuasa. Tidak perlu khuatir atau tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang jelas ada agenda kepentingan peribadi.
Semoga pihak kerajaan tidak berputus asa sebaliknya terus berusaha untuk meningkatkan amalan tadbir urus dan tatakelola dalam pentadbiran selain memperkasa budaya kerja berintegriti dalam kalangan pekerja baik di sektor awam mahupun swasta.
Harus diingat, tadbir urus berintegriti bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi cerminan maruah keseluruhan bangsa. Dalam erti kata lain, rakyat juga mempunyai peranan besar yakni wajib menolak rasuah, tidak memberi suapan, tidak bersekongkol dalam penyelewengan dan berani menegakkan kebenaran walaupun pahit.
Oleh itu kita menyeru agar baik kepimpinan politik, penjawat awam mahupun pekerja sektor swasta perlu menyahut keberanian politik Perdana Menteri dan mengambil peluang ini untuk melakukan reformasi sekali gus menzahirkan tadbir urus dan tatakelola yang baik dan betul di semua peringkat pentadbiran.
Hanya dengan iltizam dan kerjasama strategik seperti ini kita sama-sama dapat memperbaiki kelemahan yang ada demi mengawal sebarang bentuk kebocoran mahupun ketirisan sehingga merugikan rakyat dan negara.
Secara prinsipnya, inilah masa untuk kita memperbetulkan yang biasa dan biasakan yang betul supaya kita dapat memperkasa dan memulihkan imej dan maruah negara di mata dunia.
Kerajaan perlu terus berani bertindak, selain melaksanakan dasar baharu yang berpaksikan nilai moral dan integriti yang tinggi, tadbir urus dan tatakelola yang baik berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan ketelusan demi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh segenap lapisan anggota masyarakat.
Semoga kerajaan terus menyuburkan amalan tadbir urus dan tatakelola yang baik berpaksikan keberanian politik yang teguh, agar transformasi negara MADANI yang diimpikan menjadi realiti yang memakmurkan kehidupan seluruh rakyat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia
e-mel: