fb fb fb fb fb

Memperkasa bakal akauntan dengan sosialisasi profesional

Foto Fail

SAUDARA PENGARANG

Bagi ramai pelajar yang bercita-cita menjadi akauntan, perjalanan ke arah kemuncak kejayaan profesional bukanlah sesuatu yang mudah dan lurus.

Ada yang berjaya melangkah dari universiti terus ke tempat kerja yang berprestij, tetapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, perjalanan ini penuh dengan cabaran.

Di kebanyakan negara, termasuk Malaysia, profesion perakaunan sering dianggap sebagai satu bidang elit yang hanya boleh diterajui oleh golongan tertentu.

Di sinilah pentingnya sosialisasi professional, satu proses di mana individu membina pengetahuan dan kemahiran industri dan rangkaian kenalan profesional yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya perakaunan.

Sosialisasi profesional bukan sekadar pembelajaran prinsip perakaunan atau lulus peperiksaan tetapi ianya melibatkan pembangunan modal budaya dan sosial yang membolehkan bakal akauntan menyesuaikan diri dengan norma dan amalan industri.

Proses ini, bagi kebanyakan individu, bermula di peringkat pendidikan tinggi, namun akses terhadap peluang ini berbeza mengikut latar belakang sosial pelajar.

JURANG PELUANG

Kajian terkini menunjukkan bahawa pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi lebih mudah terdedah kepada proses sosialisasi profesional manakala pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan seringkali berdepan dengan pelbagai kekangan seperti kekurangan sumber kewangan, jaringan profesional yang terhad dan kekurangan pendedahan kepada industri.

Bagi pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan, kekangan-kekangan tersebut mewujudkan halangan yang ketara kepada kemajuan kerjaya.

Justeru, perlunya inisiatif sosialisasi profesional yang lebih tersusun dan inklusif bagi membantu golongan ini agar mereka tidak terus ketinggalan.

BAGAIMANA SOSIALISASI PROFESIONAL BOLEH MEMBANTU? 

MENINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

Program seperti bengkel penulisan resume, persediaan temu duga, serta pertandingan kajian kes perniagaan mampu melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk memasuki dunia pekerjaan.

Latihan simulasi temu duga dan pendedahan kepada kemahiran komunikasi seperti pidato umum, juga membantu membina keyakinan diri, sekaligus membantu bakal akauntan bersaing dengan lebih baik dan meningkatkan kebolehpasaran.

MELUASKAN JARINGAN PROFESIONAL

Ramai pelajar, terutamanya daripada kalangan yang kurang berkemampuan tidak mempunyai ramai kenalan daripada industri perakaunan. Inisiatif seperti karnival kerjaya dan mentor alumni boleh menjadi platform penting untuk mereka berinteraksi dengan pemain-pemain industri, yang boleh membawa peluang latihan industri, rujukan kerja dan bimbingan kerjaya.

MERAPATKAN JURANG PENGETAHUAN

Bagi pelajar generasi pertama di universiti, dunia profesion perakaunan mungkin kelihatan asing.

Program sosialisasi profesional boleh menjadi pengalaman ‘keluar dari tempurung’ yang dapat memberi pendedahan kerjaya dan industri yang mungkin tidak dapat diperoleh menerusi lingkungan peribadi.

Sesi ceramah dan perkongsian oleh akauntan profesional memberi pendedahan kepada realiti industri serta pelbagai laluan kerjaya yang boleh diceburi sekaligus memberikan mereka pilihan dan pengetahuan untuk membuat keputusan termaklum tentang masa depan profesional mereka.

MENINGKATKAN ASPIRASI DAN KEYAKINAN DIRI

Sehubungan itu, apabila pelajar melihat kejayaan individu dari latar belakang serupa, mereka juga terdorong untuk lebih percaya pada potensi diri sendiri.

Program bimbingan memainkan peranan penting dalam hal ini. Mempunyai mentor yang pernah melalui cabaran serupa mampu memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk mereka terus bercita-cita tinggi dan mengejar matlamat kerjaya.

KE ARAH PENYERTAAN YANG LEBIH INKLUSIF

Bagi pihak institusi dan penganjur, lebih perhatian harus diberikan untuk memastikan aktiviti-aktiviti sosialisasi ini disasarkan dengan baik dan mudah diakses.

Misalnya, sesi bimbingan dan pameran kerjaya secara maya membolehkan pelajar dari universiti luar bandar atau yang kurang berkemampuan, terutamanya dari institusi yang kekurangan sumber kewangan atau penaja, juga turut serta.

Dalam hal ini, kerjasama antara institusi perlu diperkukuh.

Di samping itu, perkhidmatan kaunseling kerjaya yang bersifat peribadi boleh membantu pelajar membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih tepat mengenai laluan-laluan kerjaya yang sedia ada, dan peluang pensijilan profesional.

Kajian mendapati bahawa pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan cenderung mengelak daripada peluang-peluang yang ada kerana merasakan bahawa peluang seperti ini “bukan untuk kami”.

Maka, pendekatan yang lebih menyantuni dan mesra pelajar amat diperlukan.

MENTOR RAKAN SEBAYA: PANDUAN YANG LEBIH ERAT

Program bimbingan yang diterajui pelajar, antara pelajar senior dan junior juga boleh menawarkan panduan yang lebih serasi, terutamanya berkaitan permohonan dan destinasi latihan industri atau tempat kerja, persediaan peperiksaan profesional dan perancangan kerjaya.

Oleh itu, banyak usaha yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan dan memperkasa bakal-bakal akauntan.

Walaupun terdapat golongan-golongan pelajar dari latar belakang yang lebih bernasib baik dilihat selangkah ke hadapan, inisiatif sosialisasi profesional yang tersusun boleh membantu merapatkan jurang ini.

Dengan sokongan yang bersasar dan berkesan, kita mampu membina bidang perakaunan yang saksama dengan peluang untuk semua di mana bakal-bakal akauntan dari segenap lapisan masyarakat dapat melangkah gagah ke dalam dunia profesional.

Sesungguhnya peluang yang terbaik itu bukanlah hak milik segelintir individu sahaja, dan keadilan yang sebenar itu ialah apabila meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DALILAH AZIZ

Dr. Dalilah Aziz
Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya (UM)
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM