fb fb fb fb fb

Wanita atau perempuan, kehebatan mereka tersendiri

Suasana ketika Iftar Perdana Wanita MADANI Parlimen Bandar Tun Razak di Masjid Azzubir Ibnul Awwam pada 14 Mac 2025/Foto hiasan - Bernama

SAUDARA PENGARANG

Perempuan merupakan makhluk istimewa, diciptakan Allah SWT sebagai pasangan bagi lelaki. Dari segi struktur biologi dan fizikal, penciptaan mereka berbeza dengan lelaki kerana mempunyai organ reproduktif tersendiri dan fungsi khusus. Di samping itu, mereka juga diciptakan dengan kromosom dan hormon berbeza dengan lelaki sesuai dengan fungsinya.

Dalam perbincangan semasa, perempuan Muslim sering digambarkan sebagai tertindas dan berada dalam kelas kedua. Dalam kaca mata pihak lain, perempuan Muslim berada dalam keadaan tertindas kerana dipingit (berkurung dalam rumah) dan dimiskinkan ekonomi, mereka tidak bebas untuk mengekspresikan kecantikan wajah dan keindahan tubuh badan, tidak bebas keluar rumah, tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki dalam solat dan sebagainya. Pendek kata, tiada istimewanya seorang perempuan dalam Islam.

Hakikatnya, kedatangan Islam telah membawa satu arus perubahan terhadap kedudukan perempuan dalam masyarakat. Daripada tiada hak untuk hidup, mereka diberikan hak nyawa untuk hadir bersama anak lelaki dalam keluarga. Ini kerana terdapat segelintir kabilah Arab yang tega membunuh anak perempuan untuk mengelak rasa malu apabila ditawan kelak.

Begitu juga dalam konteks pewarisan, daripada menjadi komoditi yang diwariskan kepada anak-anak tiri, mereka telah memperoleh hak pewarisan. Sangat indah, bagaimana Islam telah mengangkat martabat perempuan dalam sejarah kemanusiaan.

Asasnya, perempuan dalam Islam mempunyai kedudukan setara di sisi Allah SWT. Allah telah tegaskan bahawa sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah mereka yang paling tinggi tingkat prestasi taqwanya, tanpa mengkhususkan kepada lelaki semata-mata. Dalam surah al-Hujurat, ayat 13, Allah SWT berfirman, maknanya:

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Walaupun terdapat kisah-kisah tragis atau pilu dan menyayatkan hati berkaitan perempuan telah berlaku dalam masyarakat Islam, namun ia bukanlah dari ajaran Islam. Umpamanya, kes suami tidak bertanggungjawab, suami yang mengabaikan nafkah, suami kaki pukul dan kaki dera, bunuh isteri dan bunuh kekasih.

Pada dasarnya, Islam memerintahkan suami untuk menafkahi isteri, bapa untuk menafkahi anak, Islam menyuruh pergaulan suami isteri yang baik (mu’asyarah bil makruf), hatta ketika berlaku penceraian pun, Islam mengarahkan untuk berpisah dengan baik, tiada nas yang menyuruh suami melakukan keganasan dalam rumahtangga.

Perilaku buruk ini bukanlah ajaran agama Islam dan bukan juga nilai tradisi masyarakat Melayu. Islam telah dilabel buruk akibat kelakuan umat Islam yang membelakangkan panduan dan perintah Allah SWT.

Dalam bulan puasa, golongan perempuan khususnya para isteri dan ibu adalah golongan paling beruntung. Mereka antara makhluk paling sibuk, daripada perancangan untuk berbuka puasa sehinggalah menyambut aidilfitri. Bahagia, berseri dan cerianya sebuah rumah yang masih mempunyai seorang perempuan yang bergelar ibu.

Tidak hairanlah, ibu diibaratkan sebagai sebuah sekolah, manakala bapa diibaratkan sebagai seorang pengetua. Baik pengetuanya, maka baiklah sekolahnya. Biasanya dalam masyarakat Melayu, tugasan seorang ibu tiada noktahnya. Di awal pagi lagi, mereka telah menyiapkan makanan untuk bersahur dan ketika berbuka puasa, mereka juga bertungkus lumus menyiapkan makanan dan minuman untuk berbuka puasa.

Bagi seorang ibu dan isteri, mereka beroleh pahala berganda. Pertama adalah pahala mengerjakan ibadat puasa, dan kedua pahala mengerjakan amal salih, iaitu menyediakan dan mempersiapkan juadah berbuka puasa. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda, maknanya:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut (HR al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa orang yang menjamu atau menyediakan juadah berbuka puasa memperolehi pahala yang besar, tanpa mengurangi pahala orang yang dijamu tersebut.

Walaupun dijanjikan pahala berganda bagi mereka, ia bukanlah alasan bagi seorang suami atau bapa, atau anak-anak untuk lepas tangan dan membiarkan seorang ibu terkontang kanting dalam menyediakan persiapan bersahur dan berbuka puasa.

Ini kerana dalam rumahtangga, asas utama adalah kerjasama atau tolong menolong bagi mengurangkan rasa penat dan lelah seorang ibu. Ini disebabkan mereka turut berpuasa dan bantuan ahli rumah dapat meringankan kerja rumahtangga.

Selain itu, ibu juga mendapat kemuliaan untuk dihormati tiga kali ganda berbanding bapa. Dalam hadis Nabi SAW, maknanya: “Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?. Maka Rasulullah SAW menjawab: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu, kemudian orang yang hampir denganmu dan seterusnya (HR Muslim).

Berdasarkan hadis tersebut, seorang ibu mendapat kemuliaan melebihi seorang bapa. Kelebihan ini antara lain disebabkan ibu menanggung kesakitan ketika mengandung selama sembilan bulan, melahirkan anak dan menyusui anak. Malah mereka boleh memilih pintu syurga yang dikehendaki sekiranya mereka melaksanakan kewajipan mereka dengan baik. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW, maknanya:

Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. (HR Ibn Hibban)

Jelaslah, bahawa golongan perempuan mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam. Martabat mereka diangkat dan maruah serta harga diri mereka dijaga dengan baik di samping mereka diberikan hak selayaknya sebagai seorang manusia. Walaupun gambaran yang berlaku dalam masyarakat Islam banyak bersifat negatif, hakikatnya ia bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Nabi SAW bersabda, maknanya:

Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku (HR Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis tersebut, Nabi SAW telah menunjukkan contoh tauladan yang terbaik buat umat Islam khususnya dalam kehidupan rumahtangga.

Sempena hari wanita sedunia, diharapkan semua orang perempuan atau wanita dapat bersama-sama berprestasi untuk mencapai kedudukan terbaik di sisi Allah, di samping menjadi perempuan bermaruah lagi bermartabat dan mulia dalam keluarga dan masyarakat.

Selari dengan itu juga, hentikanlah sebarang bentuk penindasan dan keganasan terhadap perempuan supaya kebahagiaan rumahtangga dapat dicapai, kelestarian masyarakat dapat diperkukuhkan di samping legasi dapat dibina.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI