SAUDARA PENGARANG
Bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap keluarga Muslim kerana ia merupakan bulan yang penuh keberkatan daripada Allah SWT. Pada bulan yang mulia ini, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Lebih istimewa, terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, iaitu malam Lailatul Qadar. Oleh itu, kedatangan Ramadan seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan kebersamaan dalam keluarga.
Amalan saling membantu sesama ahli keluarga bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga melipatgandakan pahala, lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh rahmat ini. Ahli keluarga hendaklah saling membantu dalam menjalani ibadah dan aktiviti harian sepanjang Ramadan.
Saling bekerjasama dalam menyediakan makanan, membersihkan rumah, serta menyokong antara satu sama lain dalam beribadah akan menjadikan Ramadan lebih bermakna dan penuh dengan keberkatan.
Jangan jadikan puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa menghayati nilai serta hikmah di sebaliknya. Ramadan adalah bulan untuk mendidik diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan meningkatkan amalan kebaikan.
Sebagai contoh, jika isteri memasak juadah berbuka, suami dan anak-anak boleh turut membantu di dapur, sama ada dengan menghidangkan makanan atau menyiapkan persiapan lain. Jangan biarkan isteri kepenatan bersendirian di dapur.
Dengan saling membantu, segala persiapan menjadi lebih mudah dan ringan. Ini juga penting agar tenaga dapat dijimatkan untuk memberi tumpuan kepada ibadah utama seperti solat tarawih dan membaca al-Qur’an pada waktu malam.
Apabila Ramadan tiba, Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh kebersamaan dalam keluarga melalui pelbagai aktiviti ibadah. Baginda berbuka puasa bersama isteri-isterinya dan mengajak ahli keluarga untuk menghidupkan malam Ramadan dengan qiyamullail serta solat tarawih.
Umm al-Mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa pada 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW akan membangunkan ahli keluarganya untuk bersolat.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan: Nabi SAW apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam). (Riwayat al-Bukhari, no. 2024)
Baginda memberikan sokongan kepada isteri-isterinya untuk beribadah. Ini menunjukkan bahawa bulan Ramadan bukan sahaja masa untuk mempererat hubungan dengan Allah, tetapi juga peluang untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan.
Selain itu, ahli keluarga perlu saling mengingatkan agar tidak membazir di bulan Ramadan. Jangan terlalu mengikut hawa nafsu dengan membeli pelbagai juadah berbuka sehingga berlaku pembaziran.
Janganlah kita menjadi “Bazir Ramadan” di bulan yang mulia ini. Allah SWT tidak menyukai perbuatan membazir, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Israa' 17:27)
Selain itu, jadikan amalan bertadarus dan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an bersama ahli keluarga berbanding bulan-bulan lain. Rasulullah SAW sendiri bertadarus dengan malaikat Jibril pada setiap malam di bulan Ramadan.
Ibn‘ Abbas meriwayatkan: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya.
Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih cepat daripada tiupan angin. (Riwayat al-Bukhari, no. 3220)
Suami isteri juga boleh membaca dan menghayati hadis-hadis berkaitan keutamaan Ramadan bersama ahli keluarga. Selain menjadi sesi ulang kaji dan peringatan bersama, amalan ini juga dapat meningkatkan pemahaman serta memperkukuhkan amalan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Dalam masa yang sama, suami isteri hendaklah berusaha mengelakkan pertengkaran dan kata-kata kasar yang boleh menyakiti hati pasangan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Bulan yang mulia ini seharusnya menjadi peluang untuk memperkukuhkan hubungan dengan lebih banyak bermaafan dan bertoleransi.
Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis: Jika salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka jangan dia melakukan perbuatan rafath (tidak baik), bertempik dan jika seseorang memakinya atau mencelanya atau memeranginya maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1805)
Hadis ini mengajarkan pentingnya menjaga akhlak dan memperbanyakan sabar ketika berpuasa. Jadikan Ramadan sebagai kesempatan untuk memperbaiki komunikasi, meningkatkan kasih sayang, dan memperkukuhkan keharmonian dalam rumah tangga.
Oleh itu, marilah kita merebut peluang keemasan yang Allah SWT kurniakan dengan memperbanyakkan ibadah dan amal kebaikan.
Sentiasalah berdoa agar dikurniakan kekuatan, pertolongan, dan kasih sayang-Nya supaya kita dapat terus istiqamah dalam beribadah serta diberikan rezeki untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Nur Faezah Musthapar
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: