SAUDARA PENGARANG
Dalam era globalisasi pendidikan tinggi, semakin ramai pelajar memilih untuk melanjutkan pengajian ke luar negara yang membuka pintu kepada pengalaman baharu akademik dan budaya lebih luas. Malaysia tidak terkecuali menjadi destinasi pilihan bagi pelajar asing melanjutkan pengajian tinggi mereka.
Namun, kejayaan pelajar ini di perantauan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut bergantung kepada kemampuan berkomunikasi dan menyesuaikan diri di negara asing. Oleh itu, penguasaan bahasa tempatan negara yang mereka duduki dapat menyumbang kepada pembangunan diri serta kefahaman budaya dalam jangka panjang.
Manfaat Menguasai Bahasa Tempatan
Melalui penguasaan bahasa tempatan, pelajar antarabangsa dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat. Ini kerana, mereka dapat berinteraksi dengan penduduk setempat, memahami papan tanda, berurusan dengan perniagaan tempatan dan menyelesaikan urusan penting, misalnya berkaitan pengangkutan atau mendapatkan rawatan kesihatan.
Tanpa kemahiran asas bahasa tempatan, pelajar antarabangsa mungkin menghadapi kesukaran untuk hidup berdikari atau menyebabkan mereka berdepan tekanan dalam rutin seharian.
Walaupun banyak universiti menawarkan program dalam bahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain, masih terdapat kandungan, perbincangan dan aktiviti kampus yang menggunakan bahasa tempatan. Pelajar yang memahami bahasa negara tersebut akan dapat mengikuti kuliah dengan lebih baik, berinteraksi secara aktif dalam kelas, serta memahami konteks penyelidikan yang berkaitan dengan masyarakat tempatan. Ini memberikan kelebihan akademik yang signifikan berbanding pelajar yang hanya bergantung pada bahasa asing.
Apabila seseorang pelajar asing mempelajari bahasa tempatan, mereka sebenarnya membuka pintu kepada pemahaman lebih mendalam tentang adat budaya, cara hidup, norma sosial dan nilai yang dipegang sesuatu masyarakat. Dengan menguasai bahasa tempatan, dapat membantu pelajar antarabangsa menghargai perbezaan budaya, menyertai aktiviti komuniti dan membina hubungan antara budaya yang lebih bermakna. Ini seterusnya dapat menggalakkan toleransi, empati dan pemikiran global.
Selain itu, kemahiran berbahasa asing dalam dunia pekerjaan pada hari ini dianggap sebagai satu kelebihan kepada pelajar universiti dalam dunia kerjaya yang semakin kompetitif. Majikan di seluruh dunia menghargai graduan yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan memahami pentingnya pemahaman silang budaya.
Justeru, peluang memasuki pasaran pekerjaan tempatan lebih terbuka kepada pelajar asing yang menguasai bahasa tempatan ini. Secara tidak langsung, penguasaan bahasa tempatan dapat memperluaskan peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, penguasaan bahasa baharu dapat membantu pelajar asing membina keyakinan diri. Ini kerana, setiap kali pelajar antarabangsa berjaya menggunakan bahasa tempatan dalam komunikasi seharian, mereka akan memperoleh rasa pencapaian yang memberangsangkan dan memberikan mereka motivasi untuk menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.
Proses pembelajaran bahasa asing juga dapat memupuk disiplin, kemahiran berfikiran kritikal dan menguasai bidang komunikasi dengan lebih baik. Ini semua merupakan satu kemahiran insaniah yang sangat bernilai dan memberi nilai tambah kepada pelajar terbabit.
Secara keseluruhannya, mempelajari bahasa tempatan merupakan pelaburan penting bagi mana-mana pelajar antarabangsa. Ia bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian dan meningkatkan prestasi akademik, tetapi juga membina jati diri global yang lebih matang.
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, keupayaan untuk memahami dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa bukan lagi satu pilihan. Sebaliknya, ia adalah keperluan untuk membina masa depan yang lebih inklusif, kompetitif dan berjaya.
Pembangunan Prototaip Aplikasi Malay-Learning
Dalam usaha memudahkan pelajar asing mempelajari bahasa melayu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) misalnya telah membangunkan satu prototaip aplikasi mudah alih dinamakan Malay-Learning yang berkonsepkan pembelajaran interaktif mudah dan menyeronokkan bagi pengguna.
Pembangunan projek ini diketuai oleh pelajar Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM, Chin Yi Jing dengan fokus menyelesaikan masalah dihadapi pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa melayu sepanjang mengikuti pengajian di universiti ini.
Prototaip aplikasi Malay-Learning menawarkan pelbagai fungsi interaktif seperti kuiz tatabahasa, permainan kosa kata, panduan sebutan serta latihan mendengar yang direka berdasarkan sukatan kursus MPU1032 Basic Malay for Foreigners yang ditawarkan kepada pelajar antarabangsa di UUM.
Aplikasi ini menggalakkan pembelajaran kendiri melalui pendekatan permainan atau gamification yang terbukti dapat meningkatkan motivasi, fokus dan penglibatan pelajar.
Hasil penilaian awal menunjukkan bahawa aplikasi ini berkesan, menarik dan mesra pengguna. Penilaian formatif terhadap pembangunan aplikasi Malay-Learning ini dilaksanakan oleh tiga pakar multimedia dan seorang pakar kandungan.
Manakala, lima pelajar antarabangsa terlibat dalam penilaian sumatif mengakui bahawa aplikasi tersebut boleh membantu pengguna memahami asas bahasa melayu dengan lebih baik selain mengurangkan halangan dalam pembelajaran sebutan dan pendengaran.
Pembangunan prototaip aplikasi Malay-Learning ini bukan sahaja memenuhi keperluan pelajar antarabangsa di UUM tetapi membantu meletakkan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi di peringkat global melalui pembelajaran meluas oleh pelajar antarabangsa.
Ia memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mempelajari bahasa melayu dengan lebih fleksibel dan interaktif yang selaras dengan usaha UUM memperkasa pembelajaran bahasa melayu berasaskan teknologi dalam kalangan pelajar antarabangsa.
Pada peringkat awal, pasukan penyelidik mendapat cabaran utama dalam menghasilkan aplikasi ini adalah isu kesukaran memahami tatabahasa dan struktur ayat dalam bahasa melayu kepada pelajar asing. Cabaran lain dikenal pasti termasuk isu kosa kata, sebutan, penguasaan kemahiran mendengar dan motivasi pelajar untuk mempelajari bahasa ini.
Bagi menangani cabaran ini, pasukan penyelidik menggunakan Model ADDIE (Analysis, Design, Development, Implementation, Evaluation) sebagai rangka kerja pembangunan aplikasi serta menerapkan Prinsip Multimedia Mayer bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran melalui gabungan teks, grafik, audio dan interaksi pengguna.
Hasil kajian menunjukkan bahawa reka bentuk berasaskan pengguna atau user-centered design serta prinsip kognitif yang diterapkan dalam aplikasi ini mampu memberikan pengalaman pembelajaran lebih berkesan kepada pelajar antarabangsa.
Pembangunan aplikasi Malay-Learning ini turut diharap dapat menyumbang kepada agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara dengan memanfaatkan teknologi mudah alih dalam konteks pembelajaran bahasa.
Versi prototaip aplikasi Malay-Learning kini dalam fasa penambahbaikan berasaskan maklum balas pengguna dan pakar. Antara penambahbaikan untuk masa hadapan dan meningkatkan lagi keberkesanan aplikasi ini termasuklah menambah fungsi terjemahan, peningkatan struktur ayat komunikasi harian, integrasi video dan animasi bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh.
Impak Teknologi dalam Pembelajaran bahasa Melayu
Penggunaan teknologi aplikasi mudah alih dan teknologi digital membolehkan pengguna mempelajari bahasa secara interaktif, berulang dan konsisten yang mempercepatkan proses pemahaman sesuatu bahasa termasuk bahasa melayu.
Latihan sebutan, simulasi perbualan dan pembetulan secara masa nyata membantu pelajar antarabangsa berlatih bercakap tanpa rasa takut atau malu yang seterusnya memberi keyakinan berkomunikasi dalam bahasa melayu kepada mahasiswa asing.
Kesan lain hasil penggunaan teknologi untuk mempelajari bahasa melayu adalah menyokong proses pelajar asing menyesuaikan diri ketika melanjutkan pengajian tinggi di negara ini kerana melalui penguasaan bahasa melayu, pelajar lebih mudah menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan komuniti.
Dengan adanya aplikasi khusus mempelajari bahasa melayu, pelajar antarabangsa boleh mengikuti pembelajaran mengikut masa sendiri dan ini sangat membantu mahasiswa yang sibuk dengan jadual akademik.
Selain itu, pembangunan aplikasi menggunakan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan pembelajaran adaptif yang menyesuaikan kandungan berdasarkan tahap penguasaan pelajar itu sendiri. Dengan ini, ia dapat meningkatkan kecekapan dan ketepatan pembelajaran bahasa melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa.
Paling utama, penggunaan teknologi membantu menjimatkan kos pembelajaran bahasa melayu kepada pelajar antarabangsa. Dengan adanya teknologi pembelajaran, pelajar antarabangsa dapat menjimatkan kos pengajian kerana tidak perlu menduduki kelas khas yang mungkin memerlukan yuran tinggi untuk mempelajari bahasa melayu.
Secara keseluruhannya, pembangunan aplikasi pembelajaran bahasa telah membuka ruang baharu kepada pelajar antarabangsa untuk menyesuaikan diri dengan lebih yakin di negara asing.
Teknologi ini bukan sahaja membantu mereka menguasai bahasa tempatan, tetapi turut memperkukuh hubungan sosial dan keberkesanan akademik sepanjang tempoh pengajian. Dengan akses yang mudah dan fleksibel, aplikasi pembelajaran bahasa kini menjadi alat penting dalam menyokong kelangsungan pendidikan global.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Hammuzamer Irwan Hamzah
Pensyarah Kanan Program Multimedia
Penyelia Pembangunan Projek Aplikasi Malay-Learning
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: