SAUDARA PENGARANG
Tidak ramai belia di Malaysia menyedari kewujudan program pertukaran belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Hakikatnya, terdapat pelbagai inisiatif yang memberi peluang kepada golongan muda untuk meneroka dunia, memperluaskan perspektif global, serta membina jaringan hubungan antarabangsa.
Antara program paling berprestij dalam kategori ini ialah Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun atau Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Program (SSEAYP), yang telah berlangsung selama lebih 46 tahun. Ketika pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020, program ini dijalankan secara dalam talian, namun pada tahun 2023 dan 2024, ia kembali diadakan secara fizikal.
Secara keseluruhan, program tersebut bertujuan mengeratkan persahabatan dan persefahaman antara belia dari negara-negara ASEAN dan Jepun, sekali gus melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1974, SSEAYP telah menjadi platform bagi belia terpilih untuk merasai pengalaman unik dalam persekitaran maritim berbeza daripada kehidupan biasa mereka.
Setiap tahun, lebih 300 peserta dipilih untuk menyertai pelayaran selama lebih 50 hari atas kapal Nippon Maru, membawa mereka ke beberapa negara ASEAN dan Jepun. Dalam tempoh ini, peserta bukan sahaja menghadiri sesi perbincangan dan latihan kepimpinan tetapi juga mengambil bahagian dalam aktiviti homestay atau inap desa, persembahan kebudayaan, dan pertukaran idea dalam suasana yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Namun, satu fenomena unik yang sering dialami oleh bekas peserta program ini ialah apa yang dikenali sebagai "SSEAYP Sick". Istilah ini merujuk kepada perasaan rindu yang mendalam terhadap pengalaman dilalui sepanjang program, termasuk hubungan persahabatan yang terbentuk, kehidupan serba dinamik di atas kapal, serta kehangatan interaksi budaya yang jarang diperoleh dalam kehidupan harian.
Ramai alumni program ini berkongsi bahawa mereka mengalami tempoh penyesuaian semula yang sukar apabila kembali ke negara asal, kerana mereka telah terbiasa dengan suasana SSEAYP, amat unik dan mengasyikkan.
Bagi kebanyakan bekas peserta, perkara paling mereka rindukan adalah hubungan persahabatan yang erat terjalin sepanjang program. Di atas kapal, mereka bukan sahaja berinteraksi dengan rakan senegara, tetapi juga membina hubungan erat dengan peserta dari pelbagai latar belakang dan budaya.
Pengalaman seperti menikmati matahari terbit dan terbenam di lautan bersama rakan-rakan, menghadiri sesi diskusi yang membuka minda, serta menyertai persembahan kebudayaan penuh warna-warni menjadi momen tidak dapat dilupakan. Suasana ini berbeza daripada kehidupan harian di luar program, di mana interaksi sosial sering dibatasi oleh kesibukan kerja dan kehidupan peribadi.
Selain itu, kejutan budaya yang dialami selepas pulang ke tanah air turut menjadi penyumbang utama kepada "SSEAYP Sick". Ramai peserta melaporkan bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk kembali kepada rutin harian selepas menghabiskan lebih 50 hari dalam persekitaran penuh dengan pembelajaran dan interaksi berterusan.
Mereka terbiasa dengan kehidupan bebas daripada gangguan teknologi moden seperti telefon bimbit dan internet, membolehkan mereka benar-benar fokus kepada komunikasi bersemuka dan hubungan interpersonal yang mendalam.
Apabila kembali ke dunia nyata, ramai yang merasa terasing dan rindu kepada suasana SSEAYP yang lebih terbuka, mesra, dan penuh dengan semangat kebersamaan. SSEAYP juga berperanan besar dalam melatih peserta untuk menjadi lebih diplomatik dan mahir dalam komunikasi silang budaya.
Peserta yang datang dari latar belakang negara, budaya, dan pemahaman berbeza, mereka perlu belajar untuk berkomunikasi dengan berkesan, memahami perspektif yang berbeza, dan mencari titik persamaan dalam pelbagai isu.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada perbincangan mengenai isu global, sesi diskusi berkumpulan, serta aktiviti kebudayaan yang mengajar mereka cara menghormati kepelbagaian serta berkomunikasi secara lebih terbuka dan bertoleransi. Keupayaan ini bukan sahaja berguna dalam pergaulan harian tetapi juga menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin global dan berbilang budaya.
Melalui penyertaan dalam SSEAYP, belia Malaysia juga berpeluang untuk mempromosikan nilai-nilai Malaysia MADANI kepada rakan-rakan belia dari negara ASEAN dan Jepun. Konsep MADANI yang menekankan aspek keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan, dan Ihsan boleh diketengahkan melalui interaksi silang budaya, sesi perbincangan kepimpinan, serta aktiviti sosial yang dijalankan sepanjang program.
Dengan menunjukkan sikap keterbukaan, toleransi, dan semangat inklusif yang menjadi teras Malaysia MADANI, para peserta bukan sahaja menjadi duta kecil negara, malah dapat membentuk persepsi positif tentang Malaysia di peringkat antarabangsa. Inilah peluang terbaik bagi belia untuk bukan sekadar belajar daripada budaya lain, tetapi juga memperkenalkan nilai kepimpinan dan kesepaduan yang menjadi identiti negara kita.
Selain membentuk keupayaan komunikasi yang lebih baik, SSEAYP turut melatih para belia untuk menjadi lebih berdaya tahan. Hidup di atas kapal selama lebih sebulan, jauh daripada keluarga dan dunia luar, bukan sesuatu yang mudah.
Peserta perlu beradaptasi dengan persekitaran baharu, jadual harian padat, serta cabaran yang datang bersama interaksi dengan rakan dari budaya lain. Mereka belajar untuk mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara matang, dan terus bersemangat walaupun menghadapi kesukaran.
Ketahanan mental dan emosi ini membantu mereka bukan sahaja semasa program tetapi juga dalam kehidupan selepas SSEAYP, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi tekanan dan cabaran di dunia sebenar.
Bagi mereka yang mengalami "SSEAYP Sick", terdapat pelbagai cara untuk mengatasi perasaan ini. Salah satu kaedah paling berkesan adalah dengan terus berhubung dengan rakan-rakan alumni SSEAYP melalui media sosial atau perjumpaan semula.
Ramai yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan aktiviti bersama seperti lawatan ke negara-negara ASEAN, projek komuniti, atau sekadar sesi sembang santai untuk mengenang kembali kenangan indah di atas kapal.
Selain itu, ada juga alumni yang meneruskan semangat SSEAYP dengan melibatkan diri dalam program-program kepimpinan dan pertukaran belia lain, di mana mereka boleh berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada generasi muda yang bercita-cita untuk menyertai program seperti ini.
Walaupun SSEAYP hanya berlangsung selama beberapa minggu, impaknya terhadap peserta adalah sepanjang hayat. Ramai yang melaporkan bahawa program ini telah mengubah cara mereka berfikir, meningkatkan keyakinan diri, dan membuka mata mereka kepada kepelbagaian budaya serta perspektif global.
Mereka kini lebih terbuka dalam menerima perbezaan, lebih yakin dalam komunikasi antara budaya, dan lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan. Program ini juga membantu mereka membina jaringan hubungan yang luas, bukan sahaja untuk kepentingan sosial tetapi juga untuk peluang kerjaya dan kolaborasi profesional di peringkat antarabangsa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam
Dr Ireena Nasiha Ibnu
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam