fb fb fb fb fb

Bahasa kedua penambah nilai diri

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Kepelbagaian bahasa yang wujud di seluruh dunia merupakan salah satu manifestasi kebesaran Allah SWT sebagaimana disebut dalam Surah ar-Rum ayat 22. Dalam ayat tersebut, Allah menegaskan bahawa perbezaan bahasa dan warna kulit manusia adalah tanda kebesaran dan kehebatan ciptaan-Nya. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi bukti kekuasaan Tuhan yang mencipta manusia dalam kepelbagaian.

Secara ringkasnya, bahasa kedua merujuk kepada bahasa tambahan yang dipelajari selepas seseorang menguasai bahasa pertama atau bahasa ibunda. Perbezaan antara bahasa pertama dan bahasa kedua terletak pada cara pemerolehannya.

Bahasa pertama dipelajari secara semula jadi melalui interaksi harian sejak bayi, manakala bahasa kedua memerlukan usaha sedar, latihan sistematik, bimbingan guru, dan pendedahan berterusan melalui pembacaan serta pendengaran. Justeru, mempelajari bahasa kedua adalah proses yang lebih terarah dan merangkumi strategi pembelajaran tertentu untuk mencapai tahap kefasihan.
Bahasa Kedua Sebagai Nilai Tambah

Dalam era globalisasi yang menuntut persaingan tinggi, penguasaan bahasa kedua sudah menjadi nilai tambah yang sangat penting khususnya dalam kalangan graduan. Majikan pada hari ini tidak hanya menilai kelayakan akademik, bahkan memberi keutamaan kepada calon yang mampu berkomunikasi dalam lebih daripada satu bahasa. Kemahiran ini dianggap sebagai aset kerana ia membuka ruang komunikasi yang lebih luas, terutama dalam urusan antarabangsa, hubungan pelanggan, dan kerjasama antara syarikat.

Bahasa kedua juga mampu meningkatkan daya saing individu, menjadikan mereka lebih menonjol berbanding calon lain yang hanya menguasai satu bahasa. Banyak syarikat multinasional meletakkan kemahiran berbahasa sebagai salah satu syarat utama dalam pengambilan pekerja, terutamanya dalam bidang perniagaan, pendidikan, pelancongan, diplomatik dan media. Dengan menguasai bahasa kedua, seseorang dapat memahami budaya lain dengan lebih baik, memudahkan urusan kerja, selain mempertingkat profesionalisme dalam komunikasi.

Rahsia Minda Berkuasa

Selain memberikan kelebihan dari aspek kerjaya, penguasaan bahasa kedua turut memberi impak besar terhadap perkembangan kognitif. Kajian menunjukkan bahawa individu yang mempelajari lebih daripada satu bahasa mempunyai keupayaan otak yang lebih kuat dalam pengurusan maklumat. Aktiviti menterjemah, menukar struktur ayat dan memproses bunyi bahasa baharu membantu mengaktifkan lebih banyak bahagian dalam otak. Hal ini secara langsung meningkatkan kekuatan kognitif seseorang.

Selain itu, bahasa kedua turut menguatkan memori jangka pendek dan jangka panjang kerana pelajar bahasa perlu mengingat perbendaharaan kata, pola ayat, tatabahasa, serta konteks penggunaan. Proses ini melatih otak untuk bekerja dengan lebih sistematik dan efisien. Bukan itu sahaja, kreativiti turut dipertingkat kerana otak dilatih untuk melihat sesuatu melalui perspektif baharu. Individu ‘bilingual’ lazimnya mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah dengan lebih fleksibel dan mampu berfikir secara lebih kritis. Semua ini menjadikan penguasaan bahasa kedua sebagai antara aktiviti terbaik untuk menguatkan fungsi otak.

Tiada Jalan Pintas Untuk Pantas

Penguasaan bahasa kedua memerlukan masa, kesabaran dan komitmen. Tiada jalan pintas untuk menjadi fasih, kerana bahasa ialah kemahiran yang berkembang melalui latihan demi latihan. Pembelajaran boleh dimulakan dengan banyak membaca bahan seperti artikel, cerpen atau berita bagi meningkatkan kosa kata dan memahami struktur ayat.

Penguasaan tatabahasa juga penting kerana ia merupakan asas pembinaan ayat yang betul. Selain membaca, aktiviti mendengar juga memainkan peranan besar dalam meningkatkan pemahaman. Dengan menonton video, mendengar lagu, ceramah atau perbualan dalam bahasa kedua, seseorang dapat membiasakan telinga dengan sebutan, intonasi dan gaya pertuturan.

Latihan perbualan pula adalah langkah paling penting kerana ia membantu meningkatkan kefasihan. Semakin banyak seseorang bercakap, semakin cepat dia dapat membetulkan kesalahan, mendapatkan keyakinan dan mencapai tahap kelancaran.

Cabaran 2M (Malu & Malas)

Dalam proses mempelajari bahasa kedua, dua cabaran besar yang sering membantutkan kemajuan pelajar ialah malu dan malas. Kedua-dua faktor ini saling berkait dan mampu memberi kesan langsung terhadap motivasi serta keberkesanan pembelajaran.

Pertama, rasa malu untuk bercakap merupakan penghalang yang paling ketara. Ramai pelajar bimbang melakukan kesilapan ketika bertutur, terutamanya dalam situasi yang memerlukan komunikasi spontan. Mereka takut diejek, dikritik atau dianggap tidak fasih.

Akibatnya, pelajar lebih memilih untuk berdiam diri walaupun mereka sebenarnya memahami asas bahasa tersebut. Sikap ini bukan sahaja menghalang latihan praktikal, malah melambatkan perkembangan kemahiran komunikasi yang sepatutnya dibentuk melalui interaksi berterusan.

Kedua, sikap malas atau rasa keberatan untuk berusaha turut menjadi cabaran signifikan. Penguasaan bahasa kedua bukan sekadar menghafal perkataan baharu, tetapi menuntut pemahaman menyeluruh terhadap pelbagai aspek seperti tatabahasa, sebutan, intonasi, struktur ayat, dan kemahiran mendengar.

Kompleksiti ini menyebabkan proses pembelajaran kelihatan sukar dan memenatkan. Ramai pelajar akhirnya berasa leceh atau hilang minat kerana merasakan mereka perlu menguasai terlalu banyak komponen dalam satu masa.

Gabungan kedua-dua faktor ini mewujudkan ‘lingkaran penghalang’ yang menghambat kemajuan. Rasa malu menyebabkan kurang latihan, manakala sikap malas melemahkan usaha untuk memperbaiki kelemahan. Jika tidak ditangani, cabaran 2M ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap keyakinan diri dan keberhasilan penguasaan bahasa kedua.

Bahasa Kedua Vs Kecerdasan Buatan (AI)

Ada segelintir pihak yang merasakan bahawa pada era kecerdasan buatan (AI) kini, tidak lagi wujud keperluan mendesak untuk mempelajari bahasa kedua. Mereka beranggapan bahawa aplikasi terjemahan, perisian pembelajaran automatik dan teknologi komunikasi yang semakin canggih sudah memadai untuk menggantikan fungsi kemahiran berbahasa.

Namun begitu, persepsi sebegini sebenarnya bersifat dangkal dan boleh menghalang perkembangan potensi diri seseorang. Hal ini kerana, kemahiran menguasai bahasa baik bahasa kedua mahupun bahasa asing merupakan aset intelektual yang tidak dapat diganti sepenuhnya oleh mana-mana teknologi. Walaupun aplikasi terjemahan dapat membantu pemahaman asas, ia masih tidak mampu menangkap nuansa makna, konteks budaya, gaya bahasa, serta kehalusan emosi yang terkandung dalam komunikasi manusia.

Kecekapan berbahasa juga melibatkan keupayaan berfikir secara kritis, menyusun hujah, dan memahami perspektif orang lain, sesuatu yang tidak dapat dicapai hanya dengan bergantung kepada teknologi. Tidak dinafikan penguasaan bahasa kedua ini membawa pelbagai manfaat yang bukan sahaja meningkatkan potensi kerjaya, tetapi juga mengembangkan keupayaan mental dan sosial seseorang.

Dalam dunia yang semakin terhubung, kemampuan berbahasa kedua bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan untuk bersaing dan maju. Dengan disiplin, latihan berterusan dan pendedahan yang betul, sesiapa sahaja mampu menguasai bahasa kedua serta meningkatkan kualiti diri ke tahap yang lebih tinggi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHAMMAD ZARIFF AFIQ BIN ZURIMAN
Mohammad Zariff Afiq Zuriman
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Bahasa (Bahasa Arab)
Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Selangor
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI