fb fb fb fb fb

Vape bukan alternatif selamat: Peringatan terakhir Arwah Abang Rock

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Abang Rock, seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 44 tahun telah membalas komen kepada VTT seorang doktor yang bercerita tentang isu vape. Beliau memberikan jawapan balas kepada komen seorang individu yang mengatakan bahawa doktor tersebut menipu mengenai isu vape yang dikongsikan. Beliau meninggalkan kata-kata terakhir untuk mengingatkan semua penghisap vape agar tidak mengambil mudah tentang nasihat doktor tentang bahaya vape.

Beliau memaklumkan perlu ditidurkan untuk dimasukkan oksigen bagi menyelamatkan fungsi jantung yang tinggal tiga peratus dan kegagalan paru-paru kronik akibat penggunaan vape selama empat tahun. Beliau dilaporkan mula menggunakan vape untuk berhenti merokok, namun akhirnya menghidap komplikasi paru-paru serius yang tidak dapat diselamatkan.

Abang Rock telah pergi meninggalkan keluarga menuju negara abadi keesokkan harinya. Semoga roh arwah Abang Rock ditempatkan dalam kalangan orang beriman kerana meninggalkan peringatan dalam bentuk video bagi mendidik pengguna vape. Arwah turut berpesan agar jangan merosakkan diri sendiri, memandangkan dirinya menghidap masalah lemah jantung dan kerosakan paru-paru yang kronik akibat penggunaan vape.

Pesanan itu menyentuh hati ramai dan memberi kesedaran seketika kepada sesetengah individu. Namun, malangnya, kesedaran tersebut hanya bersifat sementara. Tidak lama kemudian, ketagihan kembali menguasai diri, dan ramai yang terus hanyut dengan tabiat menghisap vape walaupun sudah mengetahui risikonya.

Kebelakangan ini, penggunaan vape atau rokok elektronik telah menjadi satu fenomena yang semakin berkembang, terutamanya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda. Vape sering dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok tradisional kerana tidak menghasilkan asap tembakau. Namun, anggapan ini amat bahaya dan tidak disokong oleh bukti saintifik kukuh. Hakikatnya, vape membawa pelbagai risiko kesihatan serius malah boleh menyebabkan kematian.

Vape merupakan sejenis alat elektronik yang memanaskan cecair khas yang dikenali sebagai “e-liquid” atau “e-juice” untuk menghasilkan wap yang disedut oleh pengguna. Cecair ini biasanya mengandungi nikotin, bahan perisa dan pelbagai bahan kimia lain yang boleh membahayakan kesihatan. Walaupun tidak menghasilkan asap tembakau seperti rokok biasa, wap dari vape tetap mengandungi bahan kimia toksik dan zarah halus yang boleh memasuki paru-paru dan aliran darah pengguna.

Terdapat pelbagai versi produk vape yang dijual tanpa kawalan atau piawaian keselamatan, termasuk yang mengandungi bahan-bahan tidak diluluskan atau tercemar juga amat membimbangkan. Keadaan ini mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan yang lebih besar terutamanya apabila digunakan dalam jangka masa panjang.

Terdapat bukti kukuh, menunjukkan bahawa vape boleh menyebabkan kerosakan serius kepada sistem pernafasan. Antara kesan kesihatan yang telah dikenal pasti termasuklah keradangan paru-paru seperti bronchiolitis obliterans, juga dikenali sebagai popcorn lung yang berpunca daripada bahan kimia diacetyl dalam cecair vape.

Selain itu, penggunaan vape boleh mengakibatkan batuk kronik, kahak berlebihan, sesak nafas, serta pneumonitis kimia dikenali sebagai keradangan paru-paru akibat wap bahan kimia. Dalam kes yang lebih parah, pengguna boleh mengalami kerosakan paru-paru akut atau dikenali sebagai EVALI (E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury) yang boleh membawa maut.

Di samping itu, kebanyakan produk vape mengandungi nikotin dalam kadar yang tinggi dan mengakibatkan ketagihan. Nikotin ialah bahan yang boleh merangsang sistem saraf pusat dan mencetuskan ketagihan yang kuat. Dalam kalangan remaja, penggunaan nikotin sangat membimbangkan kerana ia boleh mengganggu perkembangan otak yang sedang pesat berkembang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), remaja yang mula menggunakan vape lebih berisiko untuk menjadi perokok berasaskan tembakau dalam jangka masa panjang. Nikotin juga dikaitkan dengan kesan negatif terhadap tahap peringatan, tumpuan dan kawalan emosi selain meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Perkara yang menjadikan vape sangat menarik bagi remaja adalah kehadiran pelbagai perisa buah-buahan, coklat, vanila dan gula-gula. Perisa ini memberi tanggapan bahawa vape tidak berbahaya dan menyeronokkan. Namun, kajian mendapati bahawa proses pemanasan bahan perisa ini boleh menghasilkan bahan toksik seperti formaldehid, asetaldehid dan akrolein yang boleh merosakkan tisu paru-paru.

Kajian oleh Public Health England pada tahun 2021 telah menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus pengguna remaja memilih untuk mencuba vape kerana perisanya. Ini jelas menunjukkan bahawa strategi pemasaran vape menyasarkan golongan muda secara halus seperti mana strategi yang digunakan oleh industri tembakau dahulu.

Malaysia kini sedang berusaha menggubal undang-undang yang lebih ketat untuk mengawal penjualan dan penggunaan produk vape. Pada tahun 2023, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam telah dibentangkan di Parlimen antara lain mencadangkan larangan penjualan produk vape kepada individu bawah 18 tahun serta kawalan ke atas kandungan nikotin.

Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang masih menjadi cabaran kerana banyak produk vape dijual secara dalam talian, di pasar malam dan kedai tanpa lesen. Tindakan bersepadu antara Kementerian Kesihatan, pihak penguat kuasa, dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan undang-undang ini berkesan.

Dalam menghadapi ancaman ini, langkah paling utama ialah pendidikan dan kesedaran awam. Ibu bapa, guru, dan pihak berkuasa kesihatan perlulah bekerjasama untuk mendidik remaja mengenai bahaya sebenar vape. Pendekatan yang berkesan termasuklah pendedahan maklumat saintifik, penyampaian kisah benar bekas pengguna dan pelaksanaan program intervensi di sekolah.

Kajian Universiti Malaya (2022) membuktikan bahawa pelajar yang terdedah kepada pendidikan berkaitan kesan buruk vape menunjukkan kecenderungan lebih rendah untuk mencubanya. Media sosial juga boleh dimanfaatkan sebagai saluran utama untuk menyampaikan mesej kesedaran dengan cara yang menarik dan mudah difahami oleh generasi muda.

Kesimpulan, walaupun vape sering digambarkan sebagai alternatif lebih selamat berbanding rokok tradisional, hakikatnya ia mengandungi bahan kimia toksik yang menyebabkan ketagihan nikotin dan boleh merosakkan paru-paru serta otak, terutama dalam kalangan remaja.

Kes kematian dan komplikasi kesihatan yang telah dilaporkan adalah bukti kukuh bahawa vape bukan pilihan yang selamat. Oleh itu, semua pihak wajarlah berganding bahu dalam usaha membendung penggunaan vape dan melindungi masa depan generasi muda daripada risiko yang tidak diperlukan ini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF. MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Timbalan Dekan
Ijazah Dasar dan Kaunselor Berdaftar
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI