SAUDARA PENGARANG
Buli kekal sebagai isu sosial yang signifikan dalam dunia serba moden pada masa kini. Ini boleh dilihat melalui banyak kes yang berlaku melalui perkongsian di media sosial di mana rekod kejadian buli dimuat naik dan dipertontonkan kepada jutaan rakyat Malaysia.
Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran dan usaha pencegahan dikongsi dengan para pelajar di sekolah, saban tahun kes buli semakin menjadi-jadi. Di manakah silapnya? Buli memberikan kesan bukan sahaja kepada yang dibuli tetapi juga kepada pembuli, keluarga dan komuniti serta menganggu gugat keharmonian masyarakat.
Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya termasuk buli secara fizikal seperti memukul, menendang atau menolak; penderaan lisan yang melibatkan hinaan, ejekan, atau kata-kata kesat; serta buli emosi yang melibatkan pengasingan sosial, penyebaran khabar angin, atau manipulasi perasaan mangsa.
Selain itu, bentuk buli yang semakin membimbangkan masa kini ialah buli siber, iaitu gangguan atau ancaman yang berlaku melalui medium digital seperti media sosial, aplikasi mesej, dan permainan dalam talian. Melalui platform seperti Instagram, TikTok, WhatsApp, dan lain-lain, pembuli kini boleh menyerang mangsa secara tersembunyi dan berterusan tanpa batasan masa dan tempat.
Buli siber membolehkan penyebaran mesej yang menyakitkan hati, gambar memalukan, atau maklumat palsu dengan pantas dan meluas. Berbanding buli tradisional yang terhad kepada kawasan fizikal seperti sekolah atau kejiranan, buli digital melangkaui sempadan geografi dan masa, menjadikannya lebih sukar untuk dielakkan.
Lebih membimbangkan, mangsa selalunya berasa seolah-olah tiada tempat selamat kerana gangguan boleh berlaku walaupun di rumah. Keadaan ini memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental, termasuk rasa takut, kemurungan, kebimbangan, dan dalam kes yang lebih serius, keinginan untuk menyakiti diri sendiri.
Pernah suatu ketika dahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden bunuh diri melibatkan seorang peniaga dalam talian yang menjadi mangsa buli siber. Kejadian ini membuka mata masyarakat terhadap kesan serius buli digital yang sering dipandang remeh. Buli siber bukan sahaja mencalarkan maruah dan harga diri mangsa, malah turut menjejaskan emosi serta kesihatan mental mereka.
Tekanan berpanjangan akibat gangguan dalam talian boleh membawa kepada masalah kemurungan, kecelaruan emosi, dan dalam kes yang lebih ekstrem, mendorong individu untuk mencederakan diri sendiri atau mengambil nyawa mereka. Justeru, fenomena buli dalam era digital menuntut pendekatan pencegahan dan intervensi yang lebih menyeluruh dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa.
Apa agaknya yang menyebabkan buli terjadi? Punca buli adalah pelbagai dan tidak terjadi secara suka-suka atau tiba-tiba. Ia lahir daripada pelbagai faktor yang saling berkait dan lahir dalam persekitaran individu. Antara punca utama ialah kurangnya pendidikan moral dan nilai empati dalam kalangan pelajar atau remaja.
Tanpa didikan yang menekankan pentingnya menghormati perasaan orang lain, seseorang mungkin gagal memahami kesan kata-kata atau tindakan mereka terhadap orang lain. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan besar.
Dalam usaha untuk diterima atau kelihatan ‘hebat’ dalam kalangan kumpulan tertentu, sesetengah individu sanggup membuli orang lain bagi mendapatkan perhatian atau status sosial. Budaya kumpulan ini boleh menggalakkan tingkah laku negatif menjadi norma dan diterima tanpa soal.
Tekanan emosi dan ketidakstabilan mental turut menyumbang kepada perlakuan membuli. Remaja yang mengalami stres, kemurungan, atau kebimbangan mungkin melampiaskan perasaan mereka melalui tindakan agresif terhadap orang lain, terutama jika mereka tidak mendapat sokongan emosi mencukupi.
Lebih menyedihkan, dalam sesetengah kes, pembuli sendiri adalah mangsa, sama ada mangsa penderaan di rumah, pengabaian emosi, atau tekanan dalam kehidupan harian. Mereka membuli sebagai cara untuk mengambil semula kawalan, menunjukkan dominasi, atau sekadar melepaskan kemarahan yang dipendam. Perbuatan membuli menjadi sejenis mekanisme pertahanan diri yang tidak sihat, yang membentuk kitaran keganasan emosi.
Satu lagi punca penting ialah kekurangan pengawasan dan perhatian daripada ibu bapa atau penjaga. Tanpa pemantauan konsisten terhadap tingkah laku anak-anak, pembentukan nilai dan batasan sosial boleh terabai. Ini termasuk pendedahan kepada kandungan ganas atau tidak sesuai di media, permainan video, atau media sosial yang boleh menormalisasikan tingkah laku agresif.
Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa buli bukan hanya isu individu, tetapi isu sosial dan sistemik. Penyelesaian memerlukan pendekatan holistik dan melibatkan pendidikan, intervensi awal, komunikasi keluarga, dan sokongan komuniti.
Menangani isu buli memerlukan usaha bersama. Ibu bapa harus menerapkan nilai-nilai seperti kasih sayang, empati, rasa hormat, dan kawalan emosi dalam diri anak-anak. Pihak sekolah pula perlu memastikan persekitaran yang selamat melalui pemantauan yang ketat dan saluran aduan yang mudah diakses.
Pihak berkuasa mesti melaksanakan tindakan undang-undang lebih tegas terhadap pembuli, terutamanya dalam kes buli siber yang sukar dikesan. Sebagai masyarakat, kita tidak boleh menjadi pemerhati yang pasif. Mengabaikan kejadian buli hanya memburukkan keadaan. Budaya kasih sayang, hormat menghormati, dan tolong menolong perlu dipupuk untuk membasmi gejala buli dalam kalangan komuniti kita.
Kesimpulannya, buli merupakan ancaman serius terhadap kesejahteraan individu, terutama sekali golongan muda. Jika dibiarkan, ia boleh menghancurkan kehidupan pembuli dan orang yang dibuli. Ia seumpama tersenyum sendiri tetapi sebenarnya ada kisah hitam yang terjadi. Oleh itu, ibu bapa, guru, rakan sebaya, pihak kerajaan, dan seluruh masyarakat perlu bersatu untuk memerangi isu buli dalam semua bentuknya.
Setiap individu berhak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan penuh rasa hormat. Kempen Bersama Elak Buli Agar Selamat (BEBAS) perlu dilakukan secara berterusan agar semua pelajar dan golongan muda berasa selamat dari gejala buli. Paling penting adalah untuk mencari jalan keluar dari dihimpit oleh pembuli.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Timbalan Dekan
Ijazah Dasar dan Kaunselor Berdaftar
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
E-mel: