fb fb fb fb fb

Tiada tertinggal, tiada terpinggir dalam agenda pembangunan

Gambar hiasan oleh Yi Zhong - Unsplash

SAUDARA PENGARANG

Citra Melayu yang dianggap malas ini muncul kerana masyarakat Melayu enggan bekerja di ladang kapitalis penjajah. Syed Hussein Alatas pernah menegaskan bahawa mitos “peribumi malas” atau citra negatif seperti “Melayu malas”, “Cina yang dapat disogok” dan “India penakut dan penipu”, termasuk juga citra terhadap masyarakat Filipina dan Jawa, diwarisi daripada wacana kolonial sebagai naratif ideologi untuk menjustifikasi ketaksamaan serta kelemahan struktur yang dicipta penjajah.

Beliau menolak stereotaip bahawa kemunduran sosioekonomi berpunca daripada sikap, sebaliknya menekankan faktor institusi dan struktur yang membelenggu peluang pendidikan serta ekonomi. Pandangan ini seiring dengan teori capability Amartya Sen, yang melihat pembangunan sebagai usaha memperluas kemampuan manusia mencapai potensi, bukan sekadar pertumbuhan angka KDNK.

Namun, naratif warisan kolonial itu kembali berulang dalam wacana politik moden. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika memimpin Malaysia, beberapa kali mengungkapkan pandangan bahawa orang Melayu malas sehingga ketinggalan dalam pembangunan ekonomi. Slogan “Melayu malas” yang diulang-ulang hingga kini seakan diterima sebagai kebenaran, walaupun kelompok B40 menyara diri dengan mengambil dua hingga tiga pekerjaan atau lebih.

Apabila kerajaan hari ini berusaha memberi bahagian daripada kek ekonomi kepada golongan ini, mereka tetap dinafikan atas alasan stereotaip yang sama. Slogan berat sebelah itu secara tidak langsung meneruskan legasi kolonial yang mengaitkan kemiskinan dengan kelemahan budaya, bukannya dengan dasar dan peluang yang pincang. Ia membayangi persoalan sebenar iaitu modal sosial seperti jurang pendidikan, pekerjaan dan akses ekonomi terhad — faktor yang ditegaskan oleh Syed Hussein Alatas dan Amartya Sen sebagai punca utama ketidakadilan sosioekonomi.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan melakar semula pembangunan negara dengan menekankan pembangunan modal insan, mewujudkan pekerjaan bermaruah, serta memastikan gaji dan peluang kerjaya setara dengan kelayakan. Pendekatan ini berusaha memperbetulkan kerangka pembangunan yang inklusif, sekali gus mengatasi masalah kemiskinan berakar yang diwariskan oleh struktur penjajahan dan diperkuat oleh wacana lama.

Kemiskinan bandar lazimnya berpunca daripada kos sara hidup tinggi, gaji rendah, serta akses terhad kepada perumahan dan perkhidmatan asas. Walaupun kemiskinan mutlak berkurang, ramai miskin bandar masih terperangkap dalam kemiskinan relatif. Mereka terjebak dalam kitaran ganas di mana pendapatan rendah mengehadkan peluang pendidikan dan kesihatan, lalu mengekang akses kepada pekerjaan yang lebih baik.

Masalah ini ditambah dengan isu perumahan, pengangguran belia dan ketiadaan jaringan sosial kukuh. Melalui RMK13, strategi menangani kemiskinan (B3.2), merapatkan kesenjangan (B3.3) dan menambah baik perlindungan sosial (B3.4) digerakkan untuk menghapuskan kemiskinan tegar.

Selain itu, pembangunan bandar inklusif, mampan dan berdaya tahan dirangka sejajar aspirasi Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat. Antara langkah konkrit termasuk peluasan teknologi pembinaan moden melalui Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) bagi meningkatkan kualiti, mempercepat projek, serta mengurangkan pembaziran kos, khususnya dalam pembinaan rumah mampu milik. Pendekatan ini menyokong sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh sepuluh tahun.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan rumah mampu milik dengan sistem pengangkutan awam, sekali gus memperkukuh akses B40 kepada pendidikan dan pekerjaan. Selain itu, data perumahan bersepadu dibangunkan untuk memastikan dasar lebih tepat, manakala perlindungan kepada pembeli rumah turut diperkukuh.

Usaha membasmi kemiskinan bandar turut dilengkapi dengan program baik pulih dan pembinaan semula rumah usang, serta pengukuhan ekonomi kitaran melalui pengurusan sisa pepejal lebih cekap. Strategi ini memperlihatkan kesungguhan menangani kemiskinan bandar secara sistemik, bukan hanya melalui bantuan sementara.

Isu kemiskinan tegar juga berkait rapat dengan jurang wilayah. Sabah dan Sarawak masih ketinggalan berbanding Semenanjung meskipun kaya sumber asli. Sabah, misalnya, melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) telah melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar-luar bandar.

Antaranya termasuk Poverty Eradication Through Agricultural Initiatives, Food Security Policy Review for Sabah, Mapping on Community-Based Tourism Potentials by District, Sabah Sustainable Greenprint Plan (SPICE), serta Developing Sustainable Framework for the Kinabalu Geopark. Inisiatif ini mencipta kolam-kolam ekonomi baharu sesuai dengan realiti setempat dan berpotensi memecahkan kitaran kemiskinan luar bandar.

Sabah dan Sarawak memerlukan model desentralisasi fiskal yang memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan negeri untuk mengurus dana pembangunan mengikut keadaan tempatan. Penekanan wajar diberi kepada infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan sistem pendidikan untuk memecahkan kitaran kemiskinan.

Dalam konteks jurang dalam negeri, Pulau Pinang sering dianggap maju dengan pencapaian ekonomi tinggi. Namun angka makro itu menutup realiti ketidaksamaan dalaman. Walaupun kemiskinan tegar dihapuskan pada 2024, kadar kemiskinan relatif meningkat sehingga memberi kesan kepada satu daripada sepuluh isi rumah di negeri itu (Penang Institute, 2024).

Kesenjangan juga meningkat, dengan indeks Gini naik daripada 0.356 kepada 0.371. Peningkatan ini lebih ketara di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Tengah berbanding daerah lain. Situasi ini memperlihatkan dua wajah pembangunan: George Town dan kawasan pulau sebagai pusat moden berdaya saing global, manakala daerah seperti Seberang Perai Tengah berdepan cabaran sosial, kekurangan pekerjaan dan mobiliti sosial yang terbatas.

Jurang dalam negeri membuktikan bahawa angka makro tidak mencerminkan kualiti hidup komuniti secara menyeluruh. Pulau Pinang perlu menyeimbangkan kejayaan ekonomi makro dengan dasar inklusif berasaskan data mikro yang mencerminkan realiti sosioekonomi daerah dan komuniti. Hanya dengan cara ini pembangunan mampu bersifat terangkum serta mampan.

Tuntasnya, ketaksamaan di Malaysia berlapis dan kompleks: jurang pendapatan yang melebar antara isi rumah terkaya dan termiskin; jurang bandar–luar bandar yang menampakkan ketidakadilan akses kepada pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas; jurang wilayah yang membantutkan pembangunan negeri meskipun kaya sumber asli; serta jurang dalam negeri antara daerah.

Lebih mendasar, wujud jurang ideologi yang diwarisi kolonialisme dan masih bergema dalam wacana politik moden. Naratif sebegini menutup punca sebenar kemiskinan, iaitu kelemahan institusi, kapasiti fiskal yang tidak seimbang, dan pasaran buruh yang tidak adil. Justeru, menangani kemiskinan menuntut reformasi struktur dan pemikiran.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Noraisah Yusop
Felo Penyelidik Pascadoktoral
International Institute of Public Policy and Management (INPUMA)
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

SITI AISHAH BINTI MD ISA