SAUDARA PENGARANG
Bagi seorang wanita muda, disahkan menghidap kanser bukan sekadar berita buruk; ia sering menjadi detik yang merubah seluruh hidup. Lebih berat lagi, rawatan yang berjaya menyelamatkan nyawa kadang-kadang meninggalkan kesan sampingan yang meragut peluang mereka untuk menjadi seorang ibu.
Beban Kanser Wanita di Malaysia Meningkat
Kanser terus menjadi antara punca utama kematian di negara kita. Pada tahun 2020 sahaja, hampir 49,000 kes baharu direkodkan. Angka itu dijangka berganda menjelang 2040. Dalam kalangan wanita, kanser payudara paling kerap berlaku, diikuti kanser kolorektal, ovari dan serviks.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada pesakit kanser payudara di Malaysia dikesan pada peringkat lewat, iaitu Tahap 3 dan 4. Pada tahap ini, rawatan lebih sukar, peluang sembuh lebih rendah dan komplikasi lebih tinggi. Berbanding negara maju seperti Jepun atau Korea Selatan, kadar kelangsungan hidup pesakit di Malaysia jauh ketinggalan.
Faktor budaya dan kurang kesedaran turut menyumbang kepada keadaan ini. Ramai wanita masih segan atau takut untuk menjalani pemeriksaan awal. Ada juga yang menganggap ujian mamogram atau pap smear sesuatu yang memalukan, lalu menangguhkan rawatan sehingga terlambat.
Bagi pesakit kanser, kemoterapi ialah rawatan utama. Ubat kuat ini berfungsi membunuh sel kanser, sama ada melalui suntikan atau pil. Namun, ia tidak dapat memilih hanya sel kanser sahaja; sel sihat juga terkesan.
Antara organ yang paling mudah rosak akibat kemoterapi ialah ovari, pusat pembiakan wanita. Kerosakan pada tisu ini boleh menyebabkan masalah besar seperti kemandulan, menopaus awal dan ketidakseimbangan hormon jangka panjang.
Bayangkan seorang wanita berusia 25 atau 30 tahun, baru sahaja memulakan kerjaya, masih belum berkahwin atau belum sempat memiliki anak. Rawatan kanser yang berjaya menyelamatkan nyawanya, dalam masa yang sama meragut peluangnya untuk hamil secara semula jadi.
Dilema ini bukan sahaja memberi tekanan fizikal, malah beban emosi yang sangat berat. Ramai wanita terpaksa berdepan perasaan kehilangan, rasa bersalah terhadap pasangan, atau kegelisahan tentang masa depan mereka.
Harapan Baharu Sains Regeneratif
Di sinilah timbul persoalan besar dalam dunia perubatan moden: Adakah fungsi ovari boleh dipulihkan selepas rawatan kanser?
Jawapan awalnya datang daripada bidang yang sedang berkembang pesat — sains regeneratif. Ia berasaskan konsep bahawa tubuh manusia sebenarnya mempunyai keupayaan semula jadi untuk membaiki diri. Dengan bantuan teknologi, proses ini boleh dirangsang dan dipercepatkan.
Antara fokus utama ialah penggunaan sel tunjang mesenkimal (MSC). Dalam bahasa mudah, ini ialah sel istimewa dalam badan yang boleh berubah menjadi pelbagai jenis tisu — tulang, otot, rawan, malah tisu organ tertentu. Lebih menarik lagi, ia boleh diambil daripada sumber yang mudah didapati, seperti lemak, sumsum tulang, atau bahkan darah haid wanita.
Kajian awal menunjukkan MSC mampu membantu memulihkan tisu yang rosak dan mengurangkan keradangan dalam badan. Untuk wanita muda yang kehilangan fungsi ovari akibat kemoterapi, penemuan ini membawa sinar baharu.
Cabaran Regeneratif Masih Ada
Namun, terapi regeneratif bukanlah ubat ajaib yang boleh terus digunakan esok hari. Prosesnya rumit dan masih di peringkat awal penyelidikan. Banyak faktor perlu diteliti, dari cara mendapatkan sel, memastikan ia selamat digunakan, hinggalah kepada bagaimana tubuh pesakit memberi tindak balas.
Lebih penting, dalam kes kanser, penggunaan sel tunjang perlu dikendalikan dengan berhati-hati. Ini kerana sifat semula jadi sel tunjang ialah merangsang pertumbuhan sel. Jika tidak dikawal, ia berisiko mengaktifkan semula pertumbuhan sel kanser itu sendiri.
Oleh itu, penyelidikan yang rapi dan pemantauan ketat amat diperlukan sebelum rawatan ini boleh digunakan secara meluas dalam kalangan pesakit.
Dari Ketakutan Kepada Harapan
Walaupun masih panjang perjalanan yang perlu ditempuh, perkembangan dalam bidang ini memberikan harapan baharu kepada wanita yang berdepan kanser. Harapan bahawa rawatan bukan sahaja mampu memanjangkan hayat, tetapi juga memulihkan kualiti hidup.
Jika suatu hari nanti teknologi ini berjaya diterjemahkan ke hospital-hospital di Malaysia, ia bukan sekadar tentang merawat penyakit. Ia tentang mengembalikan keyakinan seorang wanita, memberikan semula peluang untuk berkeluarga, dan mengurangkan trauma psikologi yang selama ini dipikul dalam diam.
Sebagai masyarakat, kita juga punya peranan. Kesedaran awal, sokongan moral, dan penghapusan stigma budaya boleh membantu wanita tampil lebih awal untuk mendapatkan rawatan. Di pihak lain, kerajaan dan industri pula perlu melabur dalam penyelidikan berimpak tinggi agar penemuan sains seperti ini tidak sekadar kekal di makmal, tetapi benar-benar sampai kepada pesakit.
Akhirnya, perjuangan menentang kanser bukan hanya tentang memerangi sel yang sakit. Ia juga tentang mengembalikan harapan yang pernah hilang, supaya setiap wanita dapat meneruskan hidup dengan penuh makna — daripada penderitaan kepada pemulihan, daripada ketakutan kepada sinar baharu.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof Madya Dr Badrul Hisham Yahaya
Ketua Program Penyelidikan Translasi Kanser Payudara
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia (USM)
e-mel: