fb fb fb fb fb

Dulu, kini, selamanya Merdeka

Foto Hiasan / Bernama

SAUDARA PENGARANG

Setiap kali jarum jam berdetik ke tarikh keramat 31 Ogos, rakyat Malaysia akan kembali diingatkan kepada laungan “Merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada tahun 1957.

Laungan itu bukan sekadar kata-kata, tetapi simbol kebebasan dan titik mula sebuah perjalanan membina bangsa.

Menariknya, perjalanan itu turut bergerak seiring dengan perubahan teknologi. Bermula daripada corong radio, ke layar televisyen, helaian akhbar, ruang internet, sehinggalah ke platform media sosial hari ini.

Beginilah cara rakyat Malaysia berkomunikasi tentang Merdeka yang berubah mengikut zaman. Namun, mesejnya tetap utuh: merdeka adalah lambang perpaduan, identiti, dan kebebasan.

Saat negara baru menjejak langkah pertama sebagai bangsa merdeka, radio hadir sebagai nadi penyatu. Laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali bukan sekadar bergema di Stadium Merdeka, tetapi turut bergetar di setiap ruang rumah, kedai kopi, dan balai kampung.

Walaupun bersifat satu hala — pemimpin berucap, rakyat mendengar — gema radio itu cukup kuat untuk menyatukan bangsa yang masih muda usianya. Semangat kebebasan itu segera meresap ke dalam jiwa rakyat, menyedarkan bahawa kemerdekaan adalah milik semua.

Apabila masa terus berganjak ke era 1960-an hingga 1990-an, televisyen dan akhbar pula mengambil tempat sebagai medium utama. Televisyen menyiarkan perarakan Hari Kebangsaan secara langsung, memaparkan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian patriotik yang membangkitkan rasa bangga.

Akhbar pula menyajikan laporan khas, gambar berwarna, serta slogan seperti Wawasan 2020, Bersatu Ke Alaf Baru dan Keranamu Malaysia. Era ini membentuk naratif kebangsaan yang menekankan perpaduan, keharmonian, dan rasa cinta tanah air.

Memasuki milenium baharu, internet membuka lembaran baharu. Sambutan Hari Kebangsaan mula dikongsi melalui forum, blog, dan laman web rasmi. Naratif Merdeka kini boleh diakses dengan pantas oleh semua lapisan masyarakat.

Media sosial kemudiannya mengubah landskap lebih drastik. Hashtag seperti #SayangiMalaysiaku dan #KeluargaMalaysia trending setiap kali tibanya Ogos. Rakyat tidak lagi sekadar penerima, tetapi turut menjadi pencipta kandungan – menghasilkan poster digital, meme patriotik, hinggalah video pendek. Semangat Merdeka kini dipacu oleh kreativiti rakyat sendiri.

Hari ini, TikTok menjadi platform pilihan generasi muda. Video ringkas dengan iringan muzik remix patriotik, peralihan visual Jalur Gemilang yang memukau, atau parodi mencuit hati menjadikan semangat Merdeka lebih ekspresif dan mudah dikongsi.

Jika dahulu laungan keramat hanya bergema di stadium dan kaca televisyen, kini ia menembusi skrin kecil di hujung jari, ditonton jutaan orang di seluruh dunia. Namun, cabarannya tetap ada. Tidak semua kandungan benar-benar membawa penghayatan, malah ada yang berisiko menyelewengkan fakta sejarah.

Cabaran komunikasi Merdeka pada era digital ialah memastikan mesej perjuangan tidak tenggelam dalam arus hiburan. Media sosial bukan sekadar ruang hiburan, tetapi wadah membina kesedaran dan cinta negara. Generasi muda sebenarnya memegang kunci untuk menghidupkan semula semangat Merdeka dalam bentuk baharu.

Dengan kreativiti dan teknologi di hujung jari, mereka mampu mengubah mesej patriotik menjadi sesuatu yang dekat di hati rakan sebaya — sama ada melalui video inspirasi, kisah pendek tentang pejuang terdahulu, atau sekadar simbol kecil seperti kibaran Jalur Gemilang di profil mereka.

Maka, cabaran komunikasi Merdeka pada era TikTok bukan sekadar untuk viral, tetapi memastikan semangat perjuangan tetap hidup dalam jiwa rakyat.

Tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan ke-68 diangkat dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.” Tema ini mencerminkan perjalanan negara yang bukan sahaja menekankan kebebasan, tetapi juga nilai kemanusiaan, kepedulian, dan kebersamaan.

Jika dahulu radio, televisyen atau akhbar menyatukan rakyat dengan laungan patriotik, hari ini semangat itu disalurkan melalui gagasan MADANI yang memberi makna lebih luas — kerana merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi bebas untuk membina negara yang adil, makmur dan berperikemanusiaan.

Dalam konteks komunikasi moden, tema ini mengingatkan kita bahawa setiap perkongsian di media sosial atau tulisan di ruang digital boleh menjadi wahana menyantuni rakyat. Ia adalah peluang untuk menyebarkan mesej kasih sayang, perpaduan dan harapan, agar Merdeka tidak hanya menjadi nostalgia, tetapi naratif hidup yang terus membimbing Malaysia ke hadapan.

Pada akhirnya, Merdeka bukan sekadar slogan atau trend bermusim. Ia adalah warisan jiwa yang mesti dijaga, dihidupkan, dan diwariskan meskipun caranya berubah — dari corong radio ke skrin media sosial.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MIHARAINI MD GHANI
Dr Miharaini Md Ghani
Pensyarah
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN