SAUDARA PENGARANG
Program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun lalu sememangnya menjadi inisiatif murni dalam membantu rakyat berpendapatan rendah menikmati makanan pada harga mampu milik. Namun, timbul persoalan penting yang jarang dibincangkan – adakah kita turut memikirkan tentang keperluan khusus bagi kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya mereka yang menghidap autisme, ADHD, dan sindrom Down?
Kanak-kanak istimewa ini bukan sahaja memerlukan perhatian dalam pendidikan dan terapi, malah aspek pemakanan mereka juga sangat kritikal. Ramai pakar kesihatan dan psikologi kanak-kanak menegaskan bahawa diet yang betul mampu mempengaruhi kestabilan emosi, tingkah laku, dan tahap fokus mereka.
Misalnya, kanak-kanak dengan ADHD sering sensitif terhadap kandungan gula dan bahan tambahan dalam makanan, manakala kanak-kanak autisme mungkin mempunyai keperluan diet tertentu seperti bebas gluten atau kasein. Kekurangan dalam aspek pemakanan boleh menjejaskan bukan sahaja kesihatan fizikal, malah emosi dan perkembangan sosial mereka.
Soalnya, tahukah bahawa penjagaan makanan untuk kanak-kanak berkeperluan khas ini adalah satu aspek penting dalam perjalanan tumbesaran mereka? Tanpa nutrisi seimbang, kanak-kanak ini mudah mengalami masalah tingkah laku, gangguan tidur, serta kesukaran mengawal emosi.
Malangnya, isu ini jarang sekali mendapat perhatian dalam dasar-dasar sosial negara. Walaupun wujud program bantuan makanan untuk sekolah, ia lebih bersifat umum tanpa mengambil kira keperluan pemakanan yang berbeza bagi kanak-kanak istimewa.
Tambahan pula, tidak semua keluarga mampu menyediakan menu khas ini di rumah. Bagi keluarga B40 dan miskin, penyediaan makanan berkhasiat untuk anak berkeperluan khas sering menjadi beban yang amat berat. Kos bahan makanan yang sesuai untuk diet khusus, seperti produk bebas gluten, susu rendah laktosa, atau makanan segar yang berkualiti tinggi, jauh lebih mahal daripada makanan biasa.
Akibatnya, ramai ibu bapa terpaksa "mengalah" dengan menyediakan makanan seadanya, walaupun sedar ia mungkin memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan emosi anak mereka.
Di sinilah wujud keperluan mendesak agar pihak berwajib mempertimbangkan satu skim khas “Menu Rahmah Istimewa” untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Skim ini boleh melibatkan penyediaan makanan berkhasiat dengan kos rendah yang direka berdasarkan nasihat pakar pemakanan dan doktor.
Sekiranya kerajaan serius dalam memperkukuh agenda inklusiviti, kanak-kanak autisme, ADHD, dan sindrom Down tidak boleh dikesampingkan dalam perancangan dasar kebajikan makanan.
Lebih membimbangkan, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kesan jangka panjang pemakanan tidak seimbang pada kanak-kanak berkeperluan khas boleh menyebabkan masalah kesihatan kronik, meningkatkan kos rawatan, serta mengganggu keberkesanan terapi dan pendidikan. Ini bermaksud, kegagalan mengurus aspek pemakanan hari ini akan membebankan negara pada masa hadapan dengan kos sosial dan perubatan yang lebih tinggi.
Oleh itu, langkah kerajaan menyediakan Menu Rahmah yang benar-benar inklusif boleh menjadi penyelesaian strategik. Antaranya, melibatkan kerjasama dengan syarikat pengeluar makanan untuk menghasilkan produk mesra kanak-kanak berkeperluan khas dengan harga subsidi, memperkenalkan program makanan khas di sekolah pendidikan khas, dan memberi baucar makanan sihat kepada keluarga B40 yang mempunyai anak istimewa.
Masyarakat juga perlu sedar bahawa isu ini bukan sekadar tentang makanan semata-mata, tetapi tentang hak kanak-kanak berkeperluan khas untuk mendapat peluang tumbesaran yang seimbang. Menolak hak pemakanan bermakna menolak hak mereka untuk membina masa depan yang lebih stabil.
Dalam konteks Malaysia MADANI, keprihatinan terhadap golongan istimewa ini wajar dijadikan sebahagian daripada agenda utama. Jika kerajaan benar-benar mahu mengangkat maruah rakyat miskin dan terpinggir, sudah sampai masanya suara ibu bapa kepada anak-anak berkeperluan khas didengar.
Menu Rahmah seharusnya bukan sekadar slogan mampu milik untuk rakyat umum, tetapi turut menjadi payung perlindungan kepada anak-anak istimewa yang sangat bergantung kepada nutrisi yang betul bagi menjamin emosi, kesihatan, dan kehidupan mereka.
Kesimpulannya, kanak-kanak autisme, ADHD, dan sindrom Down memerlukan perhatian lebih daripada sekadar program pendidikan atau terapi. Pemakanan yang betul adalah asas kepada segalanya. Mungkin masanya untuk pihak kerajaan menyelesaikan isu ini.
Satu skim khas Menu Rahmah untuk kanak-kanak berkeperluan khas akan menjadi bukti nyata bahawa negara benar-benar serius dalam membina masyarakat inklusif yang menjaga semua lapisan, tanpa ada yang tercicir.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Yohan Kurniawan
Pensyarah Kanan
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
e-mel: