fb fb fb fb fb

Rangkaian hijau KL: Nadi lestari bandar raya menjelang 2040

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau, inklusif dan berdaya huni menjelang tahun 2040 diterjemahkan melalui inisiatif Rangkaian Hijau yang dirancang di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

Rangkaian ini membentuk sistem rangkaian hijau yang menghubungkan taman, hutan bandar, dan kawasan rekreasi di seluruh Wilayah Persekutuan, sambil berperanan sebagai “jambatan ekologi” antara kawasan hijau sedia ada. Konsep rangkaian hijau yang diperkenalkan melalui PTKL2040 dijangka meningkatkan ketersambungan kawasan hijau dan rekreasi merentasi bandar raya Kuala Lumpur.

Semasa majlis peluncuran PTKL 2040 di Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur memaklumklan melalui 254.4 km rangkaian penghubung taman, ruang hijau dan rizab sungai akan dihubungkan secara fizikal untuk membentuk jaringan ekologi bandar yang mampan dan saling menyokong.

Rangkaian Hijau atau Green Connectors ini bukan sekadar menambah landskap bandar, tetapi menjadi nadi kepada kelestarian ekosistem. Laluan hijau yang bersambung dapat membolehkan hidupan liar bergerak bebas, menyediakan ruang teduhan bagi pejalan kaki dan penunggang basikal, serta membantu menurunkan suhu bandar yang semakin panas.

Rangkaian Hijau ini turut melibatkan koridor biru iaitu rangkaian sungai utama seperti Sungai Klang dan Sungai Gombak, yang diintegrasikan dengan taman-taman bandar seperti Taman Tasik Titiwangsa, Taman Rimba Kiara, Bukit Nanas, dan Taman Tasik Perdana. Gabungan hijau-biru ini diharap menjadi tarikan rekreasi bertaraf antarabangsa di tengah kota.

Selain memberikan persekitaran yang lebih sejuk dan nyaman, rangkaian hijau ini membuka peluang kepada warga untuk menjalani gaya hidup sihat. Laluan berbasikal, trek joging, dan laluan pejalan kaki akan dibina secara bersepadu supaya masyarakat dapat bergerak dari satu taman ke taman lain tanpa bergantung kepada kenderaan bermotor.

Pelaksanaan Rangkaian Hijau turut melibatkan penanaman pokok berskala besar, pemulihan kawasan tepi sungai, dan pembinaan laluan berbumbung yang mesra alam. DBKL juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat bagi memastikan kawasan hijau ini dijaga dengan baik.

Dengan perancangan ini, Kuala Lumpur dijangka bukan sahaja menjadi pusat perdagangan dan budaya, malah sebuah bandar raya yang membanggakan dari segi kelestarian alam, di mana warga kota dapat menikmati perjalanan di bawah teduhan pokok sambil menikmati udara segar dan kicauan burung, walaupun berada di tengah kesibukan metropolitan.

Laluan hijau berperanan sebagai "lebuh raya" untuk biodiversiti bandar, membolehkan hidupan liar seperti burung dan serangga penyerbuk bergerak bebas antara kawasan hijau yang berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN

Hasrat ini dapat dicapai dengan penanaman spesies pokok yang sesuai (kanopi yang rendang) di sepanjang jalan raya, menghasilkan tanaman pokok-pokok yang menghasilkan lapisan vegetasi pada ketinggian yang berbeza atau yang memberi teduhan mahupun buah. Di samping itu, ia membantu menurunkan suhu bandar melalui teduhan pokok, menyerap air hujan bagi mengurangkan risiko banjir kilat, serta menapis pencemaran udara.

Dari sudut sosial, laluan hijau menyediakan ruang riadah yang selamat dan mesra pengguna untuk berjalan kaki, berjoging, atau berbasikal. Ini selaras dengan matlamat PTKL2040 yang ingin menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar rendah karbon dan berorientasikan gaya hidup sihat.

PTKL2040 turut menetapkan sasaran untuk meningkatkan liputan kawasan hijau bandar kepada sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan keluasan Kuala Lumpur menjelang 2040. Laluan hijau menjadi komponen utama bagi mencapai sasaran ini dengan memperluaskan akses masyarakat kepada taman dan ruang awam berkualiti.

Selain itu, usaha ini akan digabungkan dengan projek River of Life, program pengindahan tepi jalan, dan pembangunan laluan pejalan kaki berbumbung bagi menggalakkan pergerakan tanpa kenderaan bermotor.

Kejayaan pelaksanaan laluan hijau bergantung kepada sokongan dan penglibatan masyarakat. Penduduk digalakkan untuk menyertai program penanaman pokok, penjagaan kawasan hijau komuniti, dan aktiviti kesedaran alam sekitar yang dianjurkan oleh DBKL dan rakan strategiknya.

Dengan perancangan rapi, Kuala Lumpur bakal berubah menjadi bandar raya yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah kaya dengan alam semula jadi – di mana lorong-lorong teduh dipenuhi pepohon, sungai yang bersih, dan suasana segar menjadi sebahagian daripada kehidupan harian warga kota

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA TS CA DR SREETHERAN
Prof. Madya Ts. CA. Dr. Sreetheran Maruthaveeran
Jabatan Senibina Landskap
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI