KUALA LUMPUR, 30 Januari- Warga kota digalak memberi cadangan dan pandangan berkenaan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) bagi memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan penekanan sewajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pelan tersebut dirangka untuk memastikan segala perancangan mendapat input warga kota dan juga pemegang taruh yang terlibat.
Tambah beliau, setelah sesi pengemukaan pandangan dan cadangan Draf PTKL2040 selesai, ia dijangka akan diwartakan pada suku pertama 2025.
"Kita akan mulakan sesi pendengaran awam mulai esok dan kita akan pergi ke beberapa kawasan untuk memastikan orang ramai tahu tentang PTKL2040 ini dan kemudian memberikan pandangan mereka dan input-input mereka serta cadangan kepada kami", katanya selepas Mailis Peluncuran Draf PTKL2040, di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di ibu negara.
Tambahnya, sebarang cadangan atau pandangan boleh dikemukakan di lokasi pameran atau di laman sesawang https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan.
Draf tersebut merupakan kerangka utama terhadap pelan pembangunan Kuala Lumpur yang disediakan bagi menterjemah visi serta matlamat yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Ia secara khusus memberi penekanan terhadap perancangan cadangan zon guna tanah dan intensiti pembangunan secara spesifik ke atas setiap lot tanah di Kuala Lumpur.
Orang ramai boleh menyemak Draf PTKL 2040 bermula 31 Januari 2024 sehingga 1 Mac 2024, di Menara DBKL 1 dan 3 serta di pameran bergerak yang bakal diadakan di 11 kawasan Parlimen, di Kuala Lumpur.