fb fb fb fb fb

Ramadan: Didiklah pandangan mata

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Mata merupakan satu pancaindera sangat besar nilai ciptaannya kepada manusia daripada Allah SWT. Melalui mata, manusia dapat melihat apa yang zahir dengan lebih jelas. Ia terdedah kepada penglihatan sesuatu yang baik atau sesuatu yang buruk. Umpamanya mata lalat atau mata lebah.

Mata lalat akan melihat sampah sarap dan bangkai serta mencari sesuatu yang busuk dan buruk. Manakala mata lebah akan melihat sesuatu yang baik, indah, serta mencari sesuatu yang wangi dan manis.

Begitu juga dengan mata manusia, ada orang yang suka melihat sesuatu yang indah dan baik, dan ada yang sebaliknya, iaitu orang yang suka melihat sesuatu yang buruk, kejam dan maksiat.

Pandangan mata perlu dijaga agar tidak melihat perkara yang dilarang syarak, khususnya dalam bulan puasa. Pandangan kepada perkara yang baik boleh mendatangkan pahala, dan perkara buruk, lucah, aurat dan seumpamanya boleh mengundang dosa. Ia boleh menyebabkan defisitnya pahala puasa.

Bermula daripada pandangan mata, akan turun ke hati, dan dari hati akan turun kepada kemaluan, iaitu syahwat atau hawa nafsu yang mendorong seseorang itu ke arah perbuatan keji dan mungkar.  

Menurut Imam al-Ghazali, sesungguhnya mata adalah sebahagian daripada pintu masuk ke dalam hati. Sekiranya seseorang itu tidak menjaga pandangannya, ia boleh menjejaskan kesucian hati dan mengganggu amal ibadah. Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30, maknanya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan”.

Selari dengan itu, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, gunalah mata untuk melihat perkara baik, umpamanya melihat nas al-Quran, teks hadis, wajah ibu dan bapa, pemandangan alam dan sebagainya, sebaliknya elak melihat perkara bersifat makruh yang mengurangkan pahala puasa.

Contohnya seperti gambar atau video yang tiada manfaat, atau sinetron-sinetron yang melalaikan. Selain itu hindari diri daripada melihat perkara yang diharamkan dan boleh menyebabkan kurang pahala atau batal puasa apabila bersyahwat seperti cerita pornorafi atau pornoaksi, tarian merangsang nafsu dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53, maknanya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali, orang-orang yang telah diberikan rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu)”.

Antara faktor yang mendorong seseorang itu terjebak kepada pandangan yang bersifat maksiat dan dosa adalah disebabkan terlalu obses dengan media sosial di samping kecanduan gajet yang berasaskan hiburan semata-mata.

Secara asasnya, teknologi seperti gajet merupakan peranti elektronik yang direka untuk memudahkan kehidupan seharian manusia dan meningkatkan produktiviti seseorang dalam menyelesaikan tugasan harian dengan lebih cepat dan efesien.

Tetapi kecanduan dengan gajet menyebabkan segelintir umat Islam terperangkap dalam sisi gelapnya dan membuka ruang kepada pandangan kepada perkara yang dilarang oleh Syarak.

Malahan, kecanduan gajet pada bulan Ramadan adalah disebabkan cara penggunaan yang salah sehingga menyebabkan seseorang itu alpa dengan dunia hiburan semata-mata, malah mengabaikan amal ibadat serta gagal memanfaatkan ganjaran yang ditawarkan dalam bulan Ramadan.

Penggunaan gajet berlebihan boleh menyebabkan umat Islam mengabaikan aktiviti menghidupkan malam pada bulan Ramadan seperti membaca dan mentadabbur al-Quran, menunaikan solat sunat tarawih, bangun qiyamullail dan sebagainya. Justeru, kecanduan gajet yang berlebihan perlu diatasi dari peringkat awal lagi supaya tidak terjebak dalam gejala kecanduan.

Oleh itu, dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, umat Islam digalakkan untuk menghidupkan budaya berjemaah atau bermasyarakat dan melakukan amal ibadah secara beramai-ramai agar dapat menghindari diri daripada terjebak dalam aktiviti mata  tidak sihat.

Apabila berada dalam ruangan ramai, pasti fokus lebih bersama orang sekeliling, bukan lagi melayari dan menonton laman-laman sosial dan lucah. Aktiviti berkumpulan yang boleh dihidupkan dalam bulan Ramadan umpamanya, mengadakan bacaan tadarus al-Quran, menghadiri tazkirah Ramadan, berbuka puasa beramai-ramai dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini dapat mengisi masa terluang dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Jelas, Ramadan bukan hanya sekadar menahan diri daripada rasa lapar dan dahaga semata-mata tetapi, ia juga adalah bulan yang mendidik pandangan mata ke arah kebaikan seperti memperbanyakkan melihat dan membaca al-Quran, melihat ceramah dan video nasihat, menikmati keindahan alam dan sebagainya.

Di samping itu, elakkan daripada melihat perkara yang melalaikan dan yang diharamkan seperti aurat, gambar dan video lucah. Mereka yang menjaga mata dijamin oleh Allah SWT tidak akan melihat api neraka kelak. Nabi SAW bersabda, maknanya:

Tiga golongan yang matanya tidak melihat api neraka, iaitu mata yang berjaga di jalan Allah, mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang dijaga dari melihat perkara yang diharamkan Allah. (HR al-Tabrani)

Apabila seseorang itu menjaga pandangan mata kepada perkara baik, ia dapat melaksanakan amal ibadah dengan lebih tenang dan mampu mencapai kemuncak takwa yang dijanjikan Allah SWT.

Oleh itu, umat Islam diwajibkan untuk menunduk dan menjaga pandangan mata daripada perkara sia-sia dan maksiat pada bulan Ramadan agar dapat meningkatkan kualiti takwa di sisi Allah SWT.

Semoga ia menjadi sebahagian daripada sebab yang menyebabkan ibadah puasa kita diterima, dan dalam masa sama memperoleh keampunan daripada Allah SWT serta dibebaskan dari api neraka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROFESOR MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI