fb fb fb fb fb

Universiti Awam untuk semua: Tiada pelajar harus ketinggalan

Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya/Wikimedia

SAUDARA PENGARANG

Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) telah dibuka menandakan bermulanya fasa penting bagi pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Tarikh-tarikh utama permohonan yang merangkumi Fasa 1 dan Fasa 2 telah diumumkan, bermula 9 Februari 2025 dan akan tamat pada 16 Mei 2025.

Bagi program tertentu yang mengenakan syarat tambahan seperti temu duga atau ujian kemasukan, calon perlu memberi perhatian kepada tarikh-tarikh penting antara April hingga Mei 2025. Dalam situasi persaingan yang semakin sengit, memastikan semua pelajar yang berkelayakan, termasuk mereka dari latar belakang kurang berkemampuan, mendapat akses yang adil ke Universiti Awam (UA) adalah satu keperluan.

Terdapat lima UA utama yang sering menjadi pilihan utama pelajar cemerlang, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kesemua universiti ini berstatus Universiti Penyelidikan dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, dengan UM berada dalam kelompok 100 universiti teratas dunia berdasarkan QS World University Rankings 2025, manakala empat lagi berada dalam kelompok 200 terbaik.

Dengan reputasi akademik yang kukuh, keunggulan penyelidikan dan kemudahan pembelajaran moden, universiti-universiti ini menjadi destinasi utama bagi pelajar yang ingin mendapatkan pendidikan tinggi berkualiti. Selain itu, berbanding universiti swasta, UA menawarkan kos pengajian yang lebih rendah kerana turut dibiayai oleh kerajaan, sekali gus menjadikannya lebih mampu milik, terutamanya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah atau keluarga B40.

Sebagai institusi pengajian tinggi awam, UA mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua golongan masyarakat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menegaskan kepentingan pendemokrasian pendidikan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang pendidikan dan latihan yang adil, terutamanya dalam menghadapi cabaran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Oleh itu, meskipun sistem meritokrasi yang digunakan oleh UPU membuat pemilihan berdasarkan keupayaan akademik dan kebolehan individu tanpa mengira latar belakang sosial, faktor sosioekonomi masih diambil kira dalam pemilihan calon. Sistem Laluan Khas yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak daripada keluarga B40 menjejakkan kaki ke UA.

Dalam usaha memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, KPT telah memperkenalkan Laluan Khas untuk menyediakan tempat di UA kepada pelajar yang memerlukan. Dalam sesi akademik 2024/2025, sebanyak 83,667 tempat diperuntukkan kepada pelajar UA, dengan sebahagiannya dikhaskan kepada kategori tertentu seperti pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, Orang Kurang Upaya (OKU), atlet dan Orang Asli. Walaupun inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang akses pendidikan, realitinya keputusan akhir tetap bergantung kepada dasar pemilihan di universiti masing-masing.

Ini bermakna, walaupun pelajar yang menghadapi cabaran ekonomi berjaya melalui sistem UPU, persaingan di peringkat universiti masih ketara, terutama bagi program yang memerlukan penilaian tambahan seperti temu duga. Lazimnya, hanya calon yang layak dari segi pencapaian akademik akan dipanggil untuk sesi temu duga. Temu duga bertujuan menilai kebolehan berkomunikasi, daya pemikiran kritis dan kreatif, serta tahap kesedaran calon terhadap isu-isu semasa.

Namun, bagi pelajar daripada kumpulan B40, proses ini sering menjadi cabaran besar kerana kurangnya kebolehan berkomunikasi, terutamanya dalam bahasa Inggeris. Ramai yang menghadapi kesukaran untuk menonjol dalam temu duga kerana kurang keyakinan diri, bersikap pasif ketika menjawab soalan, serta kurang pengetahuan mengenai bidang yang dipohon. Lebih mencabar lagi, apabila temu duga dijalankan secara berkumpulan, calon yang kurang mahir berkomunikasi mudah tenggelam dalam perbincangan dan akhirnya gagal menyerlah, lalu peluang untuk diterima masuk semakin tipis.

Sebagai universiti penyelidikan, UA terkemuka perlu memastikan kelangsungan peranannya dalam menghasilkan lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara sesuai dengan kedudukannya di peringkat global. Seiring dengan matlamat ini, lebih penekanan perlu diberikan untuk meningkatkan bilangan pelajar ijazah tinggi.

Terkini, sebuah UA terkemuka di Malaysia mengumumkan langkah untuk menetapkan sasaran nisbah pelajar ijazah tinggi kepada pelajar sarjana muda pada kadar 1:2. Langkah menanda aras universiti terkemuka di China ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan UA, tetapi juga menjadi strategi penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dengan menjana pendapatan sendiri secara lestari.

Dengan meningkatkan bilangan pelajar ijazah tinggi serta pengambilan pelajar antarabangsa, UA dapat terus berkembang dan menyediakan kemudahan serta program akademik yang lebih berkualiti serta memperbaiki kedudukan dalam ranking global. Usaha memperbanyakkan penyelidikan berimpak tinggi dengan meningkatkan bilangan pelajar ijazah tinggi dan pelajar antarabangsa sememangnya memberi cabaran kepada pelajar tempatan yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di UA terkemuka.

Oleh itu, memperkukuh mekanisme kemasukan yang adil dan inklusif, termasuk melalui laluan khas, biasiswa, serta program sokongan akademik juga dilihat penting bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bersaing secara lebih setara. Dengan pendekatan seimbang yang mengharmonikan agenda penyelidikan dengan keperluan akses pendidikan, UA dapat terus mengekalkan reputasinya sebagai institusi bertaraf dunia tanpa mengorbankan prinsip keterangkuman dan pendemokrasian pendidikan tinggi.

Pendidikan tinggi sepatutnya menjadi pemacu mobiliti sosial bagi semua golongan masyarakat, termasuk pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan. Oleh itu, dalam usaha meningkatkan kedudukan dalam ranking global dan menjana pendapatan sendiri, UA boleh memastikan misi sosialnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti secara inklusif tidak terjejas.

Laluan ke universiti awam yang berkualiti tinggi perlu terbuka luas kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang ekonomi. Dalam keadaan persaingan yang semakin sengit, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, keadilan dalam akses pendidikan perlu terus menjadi keutamaan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MUZALWANA ABDUL TALIB
Dr Muzalwana Abdul Talib
Pensyarah kanan Jabatan Sains Pemutusan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

SITI AISHAH MD ISA