fb fb fb fb fb

Memburu Lailatul Qadar?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Menghampiri 10 malam akhir Ramadan, memperoleh Lailatul Qadar adalah antara harapan besar seluruh umat Islam. Lailatul adalah malam ulang tahun penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia, juga malam ditentukan takdir kepada seluruh makhluk. Lailatul qadar atau malam kebesaran adalah suatu malam yang terdapat dalam bulan ramadan pada setiap tahun.

Mengapa diburu?  

Apabila dikaitkan dengan Ramadan, ia adalah suatu malam; Allah gandakan pahala amalan hamba pada malam itu dengan gandaan seribu bulan atau bersamaan pahala seseorang beramal selama 83 tahun atau hampir 30,000 hari.

Namun berbeza dengan ulang tahun ciptaan manusia, lazimnya ada tarikh tetap, ulang tahun al-Qadar tidak ditentukan tanggalnya secara  tetap. Hadis-hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa malam tersebut adalah salah satu antara 10 malam terakhir Ramadan iaitu pada malam-malam ganjil, iaitu sama ada 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Sesetengah ulama pula mengambil kira malam-malam 20, 22, 24, 26 dan 28 sebagai malam ganjil kerana ada ketikanya Ramadan hanya berjumlah 29 hari. Justeru status malam al-Qadar kekal menjadi rahsia Allah SWT dan para malaikat.

Memburu malam al-Qadar bukanlah bermaksud mencari-cari detik penurunan para malaikat ke bumi atau hendak melihat perkara-perkara luar biasa seperti turun cahaya dari langit atau pokok-pokok tunduk menyembah bumi. Sebaliknya pemburuan itu adalah mengintai detik dan peluang untuk mendapatkan pahala berganda dengan amalan yang minima demi dibawa bekal ke akhirat kelak.

Jika memburu malam al-qadar bermaksud mendapatkan detik itu, maka usaha ibadah yang perlu dibuat adalah dengan ‘menghidupkan’ keseluruhan 10 akhir Ramadan dengan ibadah seperti membaca al-Quran, solat sunat dan berqiamulaill agar salah satu malam itu bertepatan dengan ulang tahun tersebut; lalu orang yang beribadah mendapat pahala berganda dalam simpanan amalnya.

Kiasan Memburu Lailatul Qadar

Jika dikiaskan dengan perbuatan memburu binatang di hutan, maka pemburu tidak patut hanya menunggu sasaran sebenar melintas untuk menembak atau memanah. Sebaliknya, dia perlu bergerak dalam kawasan rayau binatang tersebut, baharulah dia akan menemuinya pada salah satu sudut kawasan tersebut. Itulah 10 akhir Ramadan, perlu diburu dengan amal ibadah.

Jika dikiaskan pula dengan beberapa jenis senjata pemburu ketika menyasarkan haiwan, maka senjata pemburuan malam al-Qadar adalah jenis-jenis amalan yang pelbagai. Jika pemburu bersiap dengan senapang, panah, lembing, pisau dan sebagainya.

Maka seorang Muslim perlu mempelbagaikan amalan termasuk solat fardu maghrib dan Isyak berjemaah, solat tarawih dan witir, solat solat sunat, qiamullail, bersedekah dan membaca Al-Quran pada setiap malam sepanjang 10 akhir Ramadan. Semuanya demi memastikan usaha ibadahnya mengenai sasaran, iaitu mendapatkan kelebihan dan gandaan pahala untuk bekalan.

Kesimpulannya, kelebihan malam al-qadar; tarikhnya kekal menjadi rahsia perlu direbut dengan menggandakan ibadah sepanjang 10 akhir Ramadan. Begitulah contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW; bukan sahaja bangun beribadah, bahkan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah malam. Sunnah iktikaf setahun sekali ini wajar dihidupkan dengan mengatur jadual aktiviti kita sepanjang Ramadan agar hujungnya dapat difokuskan untuk ibadah.

Jika kita perlukan rehat siang hari supaya lebih cergas pada waktu malam, mengambil cuti tentu berbaloi demi pemburuan ini berbanding mengambil cuti untuk berhari raya. Selesaikan kebanyakan keperluan hari raya kita sebelum masuk 10 akhir Ramadan. Akhirnya, semuanya terletak atas pertimbangan kita dengan memberi keutamaan kepada kepentingan masa depan di akhirat. Insyaallah.     

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.                                           

DR. ABU ZAKI ISMAIL
Dr. Abu Zaki Ismail
Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Usuluddin,
Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam,
Universiti Islam Selangor (UIS)

MAT YUNUS BIN SABRI