SAUDARA PENGARANG
Ramadan merupakan bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa, kecuali bagi mereka yang mempunyai halangan atau keuzuran tertentu. Kewajipan ini adalah salah satu daripada rukun Islam yang perlu dipatuhi setiap Muslim. Sabda Rasulullah SAW:
"Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah jika mampu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Bulan ini menjanjikan keberkatan, ganjaran pahala yang berlipat ganda, serta peluang untuk meningkatkan ketakwaan dan mendidik jiwa ke arah kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Oleh itu, kemuncak utama ibadah puasa adalah melahirkan insan yang bertakwa.
Mendidik Jiwa dengan Kesabaran
Antara cara mendidik jiwa di bulan Ramadan adalah dengan menanamkan nilai kesabaran dalam kehidupan, sama ada di siang hari ketika berpuasa mahupun di malam hari. Sabar bermaksud menahan diri dan bersikap tabah menghadapi ujian tanpa mengeluh atau bertindak melampaui batas.
Sepanjang Ramadan, sifat sabar dapat dipupuk dengan menahan lapar dan dahaga, melawan hawa nafsu, melaksanakan ibadah dengan konsisten, serta menahan diri daripada kemarahan. Rasulullah SAW bersabda:
"Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, dia sabar, maka itu juga baik baginya." (HR Muslim)
Menanamkan Rasa Syukur
Syukur adalah manifestasi perasaan terima kasih kepada Allah SWT yang boleh dizahirkan melalui amal ibadah, sedekah, menjaga tutur kata, serta menjauhi perbuatan yang sia-sia. Ramadan mengajar kita untuk menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 7:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
Oleh itu, rasa syukur perlu diamalkan bukan hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan tindakan yang berterusan.
Mengukuhkan Hubungan dengan Allah SWT
Semakin kuat hubungan seseorang dengan Allah SWT, semakin tenang hati dan jiwanya. Pengukuhan jiwa ini dapat dibentuk dengan:
- Memperbanyakkan solat dan ibadah sepanjang Ramadan
- Membaca dan bertadabbur isi al-Quran
- Membantu insan yang memerlukan
- Menjauhi perkara yang melalaikan seperti tidur berlebihan dan perbualan tidak bermanfaat
Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperbaiki diri dan mencapai ketakwaan yang lebih tinggi.
Menjauhi Segala Kemaksiatan
Selain mendidik jiwa, Ramadan juga menjadi peluang untuk menjauhkan diri daripada maksiat, sama ada secara zahir atau batin.
Maksiat zahir:
- Melakukan zina
- Menyebar fitnah dan mengumpat
- Mendengar muzik yang melalaikan
Maksiat batin:
- Riak
- Iri hati
- Sombong
Rasulullah SAW bersabda:
"Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka." (HR Muslim)
Menjauhkan diri daripada kemaksiatan amat penting untuk mencapai ketakwaan. Sabda Rasulullah SAW:
"Puasa adalah perisai. Maka janganlah seseorang berkata kotor atau berbuat bodoh. Jika ada yang memusuhinya atau mencelanya, maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan
Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga satu tempoh pentarbiahan jiwa ke arah kebaikan. Dengan mengamalkan sifat sabar, menanamkan rasa syukur, mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT, serta menjauhkan diri daripada maksiat, seseorang dapat menjadi insan yang lebih baik.
Selepas Ramadan berlalu, amalan-amalan ini seharusnya diteruskan dalam kehidupan seharian agar jiwa sentiasa terdidik dan dekat dengan Allah SWT. Semoga Ramadan kali ini menjadi madrasah terbaik dalam membentuk keperibadian yang lebih bertakwa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)
Email:
Muhamad Nabil Saiful Anuar
Universiti al-Azhar
Kaherah, Mesir