fb fb fb fb fb

Rawatan salur akar selamatkan gigi dan nyawa anda

Rawatan gigi/ BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Mutakhir ini, masalah pergigian yang berakhir dengan kematian menjadi topik hangat yang sedang dibincangkan di laman sosial. Kes yang bermula dengan gigi berlubang yang dianggap ‘remeh’ bagi sesetengah orang, memberi kesan yang sangat signifikan dan membuka mata masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan rawatan pergigian dengan segera.

Hal ini juga menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tentang kesan sampingan masalah pergigian yang tidak dirawat yang bukan hanya menyebabkan kehilangan gigi, malah lebih serius masalah ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Oleh itu, rawatan salur akar/root canal akar (RCT) merupakan salah satu rawatan penting untuk mencegah komplikasi yang berpunca dari masalah pergigian ini.

Apakah rawatan salur akar gigi?

Rawatan akar gigi atau rawatan saluran akar (RCT) adalah prosedur pergigian yang bertujuan untuk merawat jangkitan atau kerosakan pada pulpa/saraf gigi.

Ia melibatkan pembuangan pulpa/saraf yang dijangkiti, merangkumi pembersihan dan pembasmian kuman saluran akar, serta pengisian dan tamplan saluran tersebut menggunakan bahan pergigian dipanggil “gutta percha".

Rawatan ini membantu menyelamatkan gigi daripada dicabut dan mencegah komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan.

Bagaimanakah rawatan salur akar (RCT) boleh menyelamatkan nyawa?

RCT merupakan rawatan endodontik yang telah berfungsi mengekalkan gigi asal/gigi natural daripada dicabut disebabkan pelbagai masalah pergigian yang berpunca daripada jangkitan kuman dalam mulut.

RCT juga merupakan satu prosedur rawatan yang membersihkan saluran akar/pulpa yang mengandungi salur darah dan saraf yang membekalkan nutrient kepada gigi kita untuk mengekalkan jangka hayat gigi dalam mulut.

Dalam masa yang sama, pulpa juga turut membekalkan nutrien kepada bakteria atau kuman yang akan menyebabkan jangkitan yang lebih besar dan teruk seperti bengkak atau bernanah.

Seterusnya, tisu pulpa yang dijangkiti boleh merebak ke bahagian lain jika tidak dirawat di peringkat awal seperti gusi bengkak dan bernanah yang boleh membesar ke bahagian mulut, rahang dan muka.

Selain itu salur akar/pulpa yang rosak boleh menyebabkan tisu mati atau nekrosis disebabkan pulpa tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrient dari salur akar yang dijangkiti.

Rawatan awal pada salur akar gigi yang dijankiti akan menyelamatkan gigi tersebut daripada dicabut kerana cabutan gigi kekal akan mendatangkan masalah seperti maloklusi, gigitan tidak sekata, gangguan penghadaman, tulang gigi mengecut dan seterusnya mengganggu psikologi dan penampilan remaja dan dewasa.

Selain itu gentian gigi yang dicabut dengan menggunakan gigi palsu atau implan gigi akan menelan kos yang lebih besar serta penjagaan yang lebih rumit.

RCT mencegah komplikasi yang mengancam nyawa

RCT dapat menyelamatkan gigi yang dijangkiti serta mencegah pelbagai komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan.

RCT bukan sahaja dapat menyelamat gigi, namun juga memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan keseluruhan. Jangkitan pergigian yang tidak dirawat boleh merebak di luar rongga mulut, membawa kepada komplikasi serius seperti:

1. Jangkitan Muka dan Leher: Gigi bernanah boleh menyebabkan pembengkakan dan pengumpulan nanah, membawa kepada selulitis (muka bengak) atau angina Ludwig yang boleh menghalang saluran pernafasan dan menjadi mengancam nyawa.

2. Sepsis: Jika bakteria daripada jangkitan gigi yang tidak dirawat memasuki aliran darah, ia boleh menyebabkan sepsis, keadaan yang boleh membawa MAUT yang memerlukan rawatan perubatan kecemasan segera.

3. Penyakit Jantung dan Strok: Penyelidikan telah mengaitkan jangkitan pergigian kronik dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, termasuk jangkitan jantung seperti endokarditis dan kemungkinan strok yang lebih tinggi.

4. Komplikasi Diabetes: Bagi pesakit diabetes, jangkitan yang tidak dirawat boleh menyebabkan kesukaran untuk menguruskan paras gula dalam darah, memburukkan lagi keadaan mereka.

Kesimpulannya, rawatan awal karies gigi seperti tampalan serta rawatan salur akar (RCT) dapat mengelakkan komplikasi jangkitan yang berpunca daripada gigi rosak.

Oleh itu, kita disarankan untuk berjumpa doktor gigi dengan segera untuk mendapatkan rawatan awal, seterusnya menyelamatkan gigi daripada komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Nurulaqmar Iwani Samsudin
Pakar Pergigian Endodontik
Pensyarah Pergigian
Pusat Pengajian Sains Pergigian
Universiti Sains Malaysia

ROSLINA BINTI DIN