SAUDARA PENGARANG
Masalah penagihan dadah dalam kalangan generasi muda semakin meruncing. Statistik penyalahgunaan dadah dan bahan 2024 yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan angka mengerikan dan memerlukan tindakan tuntas bagi menyelesaikannya.
Persoalannya, adakah segala perkhidmatan yang telah disediakan oleh pihak AADK mencukupi untuk menyelesaikan masalah berkaitan dadah yang disenaraikan sebagai salah satu "musuh nombor 1" menepati keperluan generasi muda?
Pelbagai kenyataan pemimpin, dasar kerajaan, dan laporan statistik menunjukkan bahawa dadah dianggap sebagai ancaman serius dan utama kepada negara Malaysia terutama melibatkan generasi muda. Dadah bukan sahaja merosakkan kehidupan individu yang terlibat, tetapi juga memberi impak negatif kepada keluarga, masyarakat, dan ekonomi negara.
Penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada peningkatan jenayah, masalah kesihatan mental, dan beban ekonomi akibat kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Generasi muda yang terlibat dengan dadah mungkin tidak dapat menyumbang kepada pembangunan negara kerana ketagihan dan masalah kesihatan.
Masa hadapan negara akan hancur jika generasi muda terlibat dalam penyalahgunaan dadah secara berterusan kerana mereka merupakan aset penting bagi masa depan negara.
Apa Peranan Mahasiswa
Oleh yang demikian, tanggungjawab membanteras dadah bukan hanya perlu digalas oleh pihak AADK. Malahan, tanggungjawab membanteras dadah ini juga perlu dipikul oleh generasi muda itu sendiri kerana mereka lebih memahami keperluan sebenar anak muda.
Anak muda yang bergelar mahasiswa perlu diberikan pendedahan secara langsung berkaitan bahaya dadah secara berterusan ketika mereka masih di institusi pendidikan tinggi. Mahasiswa di universiti perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam membanteras dadah kerana mereka bukan sahaja merupakan kelompok yang paling terdedah kepada ancaman dadah, malah, mereka merupakan pemimpin masa hadapan.
Justeru, semangat kesukarelawan perlu diperkasakan dalam kalangan mahasiswa di universiti kerana mereka merupakan agen perubahan. Generasi muda mempunyai peranan sangat kritikal kerana mereka mudah dipengaruhi dengan persekitaran, kurang berpengalaman serta pengaruh rakan sebaya.
Mahasiswa perlu sukarela menjadi anggota kepada Sukarelawan Antidadah atau SKUAD Antidadah bawah AADK sebagai tanda jihad. Anak muda terutama mahasiswa perlu mempunyai kesedaran dalam pendidikan pencegahan dadah di universiti untuk membimbing dan mencegah rakan sekuliah daripada terlibat dalam gejala dadah.
Selain itu, mahasiswa juga perlu menggunakan SKUAD Antidadah sebagai satu platform untuk mengasah kepimpinan. Melalui SKUAD Antidadah, ianya dapat mengasah bakat kepimpinan dalam kempen kesedaran, program pencegahan dan aktiviti komuniti di peringkat universiti. Malahan, generasi muda boleh menjadi pendidik kepada rakan sebaya.
Mereka dapat berkongsi maklumat tentang bahaya dadah melalui media sosial, program universiti, atau aktiviti kemasyarakatan. Kesedaran yang disebarkan oleh generasi muda sering lebih berkesan kerana mereka memahami bahasa dan budaya rakan sebaya mereka. Sebagai contoh, UiTM telah mengambil inisiatif melaksanakan kempen SKUAD Antidadah di seluruh kampus cawangan bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa dalam memerangi najis dadah.
Memupuk Semangat Sukarelawan Tangani Gejala Dadah
Melalui tema sambutan Hari Antidadah Tahun 2025 iaitu “Lebih Baik Cegah” diiringi dengan slogan “Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama” menunjukkan keperluan semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.
Memupuk semangat sukarelawan untuk menangani gejala dadah penting kerana mahasiswa merupakan kelompok berpotensi besar untuk membawa perubahan positif. Melalui SKUAD Antidadah, mahasiswa dapat membantu mengurangkan stigma terhadap penagih dadah dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, mereka juga dapat mempromosikan pendekatan yang lebih empati, menyokong, serta mendorong individu yang terlibat dengan dadah untuk mendapatkan bantuan dan rawatan. Melalui kerja sukarelawan iaitu dengan menyertai SKUAD Antidadah, mahasiswa dapat membangunkan rasa tanggungjawab sosial dan komitmen untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
Ini juga dapat membantu dalam pembentukan individu yang lebih prihatin dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Kerjasama antara mahasiswa, kerajaan, dan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan dalam memerangi dadah.
Harapan
Setiap negara mempunyai harapan tinggi dalam isu memerangi najis dadah. Membangunkan masyarakat bebas dadah merupakan impian dan harapan bersama yang memerlukan komitmen, kerjasama, dan usaha berterusan daripada semua pihak. Justeru, Universiti Teknologi MARA serta AADK telah bekerjasama dalam penyelidikan melibatkan keberkesanan perkhidmatan AADK kepada Masyarakat.
Penyelidikan yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Prof Madya Dr. Mahadir Ladisma@Awis serta 56 ahli penyelidik UiTM Se-Malaysia menekankan kepentingan penyelidikan ini untuk membantu menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan AADK kepada masyarakat. Penyelidikan ini juga mengambil kira aspek kesukarelawan daripada program SKUAD Antidadah yang dijalankan di pendidikan tinggi negara.
Semoga inisiatif memperkasakan SKUAD Antidadah dalam kalangan mahasiswa dapat diteruskan sebagai platform untuk membangunkan masyarakat terutama generasi muda agar mereka dapat menikmati kesejahteraan sosial, ekonomi yang lebih baik serta mampan.
Generasi muda iaitu mahasiswa adalah penyambung kepada warisan negara dan mereka perlu menikmati kehidupan dalam persekitaran yang bebas daripada ancaman dadah, mencipta seribu kejayaan dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Salmiwati Othman
Timbalan Pendaftar
Pusat Pembangunan Pelajar
Jabatan Hal Ehwal Pelajar
UiTM Shah Alam