fb fb fb fb fb

Persepsi komuniti Melayu terhadap Taiwan

Foto hiasan/Arkib AFP

SAUDARA PENGARANG

Bagaimanakah Taiwan dilihat oleh golongan Melayu di Malaysia? Kajian baharu mendedahkan pandangan menarik tentang bagaimana rata-rata etnik Melayu di Malaysia sama ada sektor awam, swasta, akademik dan pelajar melihat Taiwan dari pelbagai sudut termasuk ekonomi, budaya dan politik.

Kajian ini bukan sahaja menggambarkan tahap kesedaran mereka terhadap Taiwan, tetapi juga membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Taiwan pada masa hadapan.

Kajian berlangsung selama tiga bulan (Oktober 2024 - Januari 2025) ini, dikendalikan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya, Unversiti Tunku Abdul Rahman, dan National Graduate Institute for Policy Studies, Jepun, dengan sokongan Taipei Economic and Cultural Office (TECO) di Malaysia.

Ia melibatkan 454 responden etnik Melayu yang terdiri dari daripada penjawat awam (36.8%), pekerja sektor swasta (28.9%), ahli akademik (11.7%), dan pemimpin pelajar (20.7%). Secara purata, responden berumur 36.2 tahun dengan pendapatan bulanan sekitar RM7,200.

Kajian ini, penting dan menarik kerana walaupun Malaysia dan Taiwan telah lama menjalin hubungan yang baik, tahap pemahaman etnik Melayu di Malaysia terhadap Taiwan adalah kurang berbanding komuniti Cina di Malaysia yang berkongsi persamaan daripada segi linguistik dan budaya dengan Taiwan.

Oleh itu, kajian itu bertujuan untuk memacu usahasama dalam memahami persepsi komuniti Melayu terhadap Taiwan bagi menjamin jangkauan aktiviti TECO supaya lebih komprehensif  kepada semua rakyat Malaysia.

Daya Tarikan Taiwan: Teknologi, Ekonomi dan Budaya

Taiwan merupakan antara rakan dagang utama Malaysia, dengan perdagangan dua hala mencatatkan jumlah AS$2.977 bilion pada November 2024. Keadaan ini telah meletakkan Malaysia sebagai rakan dagang kedua terbesar Taiwan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN selepas Singapura.

Taiwan merupakan salah satu kuasa global dalam penghasilan teknologi tinggi dengan keupayaan yang kuat dalam semikonduktor, elektronik, dan pembuatan. Maka tidak menghairankan bahawa hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden mengaitkan Taiwan dengan kejayaan dalam teknologi dan ekonomi.

Sebanyak 61.9% responden mengakui kehebatan Taiwan dalam bidang ini, meletakkannya sebagai faktor utama yang membentuk persepsi mereka.

Kajian ini juga mendapati bahawa pasaran halal adalah sektor yang menjanjikan untuk kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Taiwan, selain sektor pertanian dan bioteknologi. Selain itu, program Salam Taiwan yang mempromosikan pelancongan halal turut memberi impak positif dalam kalangan komuniti Melayu.

Dalam sektor pelancongan, Taiwan juga berjaya menarik minat ramai komuniti Melayu, terutama dengan keunikan budaya pasar malamnya yang dikatakan mirip dengan pengalaman di Malaysia.

Namun, walaupun selebriti Taiwan seperti Jay Chou, Takeshi Kaneshiro, dan A-Mei dikenali ramai (khasnya dalam kalangan komuniti Cina di Malaysia), kajian ini mendapati budaya pop Taiwan adalah kurang menyerlah dan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Pendidikan tinggi di Taiwan juga mendapat perhatian dengan 75.1% responden melihat Taiwan sebagai pilihan menarik untuk menyambung pengajian. Faktor seperti yuran pengajian berpatutan dan kualiti akademik yang tinggi menjadikan Taiwan sebagai destinasi pendidikan yang kompetitif bagi pelajar Malaysia. 84% dari golongan pelajar yang disoal selidik menyatakan mereke berminat untuk melanjutkan pelajaran di Taiwan jika diberi peluang.

Dalam isu hubungan antarabangsa pula, salah satu dapatan penting adalah tahap kesedaran rendah terhadap Dasar Baru Pandang Selatan (New Southbound Policy, NSP) Taiwan. Hanya 24.2% daripada responden tahu tentang dasar ini, dengan tahap kesedaran tertinggi datang daripada golongan akademik (61.2%).

Bagaimanapun, majoriti responden (74.7%) percaya bahawa Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Taiwan. Lebih dua per tiga daripada mereka menganggap diplomasi awam Taiwan di Asia Tenggara, terutama di Malaysia, sebagai berkesan. Namun demikian, Taiwan masih kurang daya tarikan berbanding negara-negara Asia Timur lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan.

Keinginan Untuk Berinteraksi Dengan Taiwan

Sebanyak 70.3% responden menyatakan kesediaan untuk berinteraksi dengan Taiwan pada masa hadapan, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perniagaan. Hanya 0.7% menyatakan ketidaksediaan untuk berhubung dengan Taiwan, dengan alasan seperti kurangnya pengetahuan mengenai negara itu dan kebimbangan keselamatan di Selat Taiwan.

Implikasi dan Masa Depan Hubungan Malaysia-Taiwan

Kajian ini menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Taiwan masih mempunyai potensi luas untuk berkembang, terutamanya dalam bidang teknologi, pendidikan, dan pelancongan halal. Bagaimanapun, usaha lebih besar diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan interaksi di kalangan masyarakat Melayu, terutamanya dalam aspek budaya dan diplomasi awam.

Peningkatan aktiviti promosi, program pertukaran akademik, serta inisiatif diplomasi budaya boleh menjadi langkah strategik untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. Kajian ini juga mencadangkan supaya Taiwan memperkenalkan lebih banyak program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Melayu, termasuk dalam bidang perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor industri halal.

Secara keseluruhan, kajian ini memberikan gambaran penting tentang bagaimana Taiwan boleh membina hubungan lebih kukuh dengan Malaysia, dengan menyesuaikan strategi mereka berdasarkan keutamaan dan minat golongan Melayu. Dengan pendekatan yang lebih tertumpu, Taiwan berpeluang memperkukuh kedudukannya sebagai rakan ekonomi dan budaya yang bernilai bagi Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NURLIANA KAMARUDDIN
Dr Nurliana Kamaruddin
Pensyarah Kanan, Jabatan Asia Timur
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya

DR NUR SHAHADAH JAMIL
Dr Nur Shahadah Jamil
Pensyarah Kanan, Institut Pengajian China
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya

MAT YUNUS BIN SABRI