fb fb fb fb fb

Adakah Gen Z sedang menutup pintu masa depan mereka sendiri?

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

“Mengapa saya perlu mengambil sains? Ia terlalu sukar, abang dan kakak saya yang graduan STEM pun kerjanya setakat penghantar makanan GRAB.” Kenyataan seorang pelajar berusia 16 tahun di Kuala Terengganu itu bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Ia menggambarkan sentimen yang kian meresap dalam jiwa ramai Gen Z Malaysia, bahawa STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) semakin dilihat sebagai bidang yang menakutkan, jauh daripada relevan, dan terasa seperti ilmu yang sukar digapai.

Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013–2025 menjanjikan masa depan yang diperkasakan oleh STEM. Matlamatnya adalah bercita-cita tinggi dengan penanda aras nisbah 60:40 pelajar sains kepada pelajar bukan sains.

Namun, apabila pelan tindakan itu hampir dinoktahkan, realiti menghasilkan senario yang berbeza. Pendaftaran STEM berlegar sekitar 51%, dan minat dalam kalangan Gen Z, generasi digital yang dijangka membawa Malaysia ke Era Industri 4.0 semakin merosot.

Di mana silapnya dan bagaimana kecenderungan bermula?

Bagi ramai pelajar Gen Z, STEM terasa kurang menarik daripada memudahkan dan lebih seperti labirin yang menakutkan malah menyesatkan. Mata pelajaran STEM secara meluas dilihat sebagai "sukar." Kurikulum yang berat dan pengajaran yang berpaksikan peperiksaan sering memadamkan rasa ingin tahu dan jauh sekali mencetuskannya.

Prasarana dan perkhidmatan pendidikan di sekolah bandar mungkin menawarkan makmal robotik dan kelab pengekodan, tetapi sekolah luar bandar, terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak, bergelut dengan infrastruktur asas yang memungkinkan akses internet yang terhad dan peralatan yang ketinggalan zaman menjadikan pembelajaran secara langsung satu impian yang jauh.

Kekurangan pendidik terlatih dalam STEM mempersoalkan lagi kemampuan sokongan kepada pendidikan STEM itu sendiri. Tanpa mentor yang berkebolehan, konsep STEM yang kompleks menjadi halangan kepada pemahaman dan aplikasi STEM dalam kehidupan apatah lagi dalam lapangan kehidupan di luar bilik darjah.

Kemahiran bahasa inggeris, yang penting untuk mengakses sumber STEM global, kekal meragukan merentasi strata masyarakat dan geografi. Keraguan politik mengenai Program Dwi Bahasa (DLP) menghalang usaha untuk merapatkan jurang ini terutama dalam menobatkan Bahasa Melayu dan memperkasa bahasa inggeris dalam pendidikan. Ini terbukti apabila terbantutnya usaha Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak lama dahulu.

Ramai pelajar dan ibu bapa memandang rendah kepelbagaian dan keuntungan kerjaya STEM. Persepsi umum lebih membanding-bandingkan peluang kerjaya STEM yang lebih mencabar dengan pendapatan yang rendah dengan peluang kerjaya bukan sains yang lebih luas dan puratanya menjana pendapatan lebih tinggi.

Tanpa laluan dan teladan yang jelas, STEM terasa abstrak dan retorik dengan realiti pasaran pekerjaan tempatan dan global yang lebih terfokus dan tinggi persaingan. Persepsi kecerdasan buatan (AI) yang menular kini tidak kurang juga meningkatkan keraguan terhadap potensi tenaga manusia dalam menyaingi kemampuan AI yang tidak terbatas malah mampu menggantikan tenaga kerja STEM secara signifikan di masa akan datang.

Kementerian Pendidikan telah cuba menerapkan STEM dari sekolah rendah dan seterusnya, memperkenalkan mata pelajaran seperti Reka Bentuk dan Teknologi untuk membina minat awal. Tetapi cabaran sistemik seperti beban kurikulum, jurang sumber, dan pemikiran yang berakar umbi zon selesa tidak dapat diselesaikan dengan perubahan dasar sahaja.

Kerajaan hanya mampu merancang di sebalik arus perdana digitalisasi yang semakin deras tak terkejar dek pembuat polisi dan pelaksana dengan harapan keberhasilannya digapai di hujung usaha. Industri semikonduktor dan E&E Malaysia mengunjurkan keperluan untuk 60,000 jurutera menjelang 2030.

Namun, nisbah jurutera kepada penduduk kita jauh ketinggalan di belakang negara maju. Jika Gen Z terus mengelak daripada STEM, Malaysia bukan sahaja berisiko kekurangan bakat tetapi juga kemunduran strategik dalam usahanya untuk ekonomi berpendapatan tinggi dan dipacu pengetahuan.

Apa yang perlu diubah dan seberapa pantas ianya perlu berubah?

Reformasi kurikulum perlu dikaji semula supaya memungkinkan peralihan daripada pembelajaran hafalan kepada pendekatan berasaskan inkuiri dan praktikal. Peningkatan kemahiran guru dan latihan progresif keguruan wajar dirancang dan dilaksanakan dengan pelaburan strategik dalam pembangunan profesional dan insentif yang memotivasikan perkhidmatan berteraskan kecemerlangan, walaupun ianya mahal dari segi teknologi, masa dan tenaga.

Ekuiti dalam akses kepada pendidikan STEM harus menjadi titik temu dalam pelbagai usaha merapatkan jurang bandar-luar bandar melalui infrastruktur digital.

Penggunaan peranti digital dalam pengajaran dan pembelajaran harus dinilai semula agar pelajar tidak terbawa-bawa dengan persepsi bahawa teknologi dan peranti digital hanya terhad untuk bersosial semata-mata. Penerapan ilmu STEM dalam bahasa dan komunikasi yang mudah dan mesra masyarakat setempat perlu dilihat semula.

PPSMI mungkin boleh dihidupkan semula tetapi dengan hela nafas baharu dan akomodasi yang lebih manusiawi agar tidak terlalu asing kepada norma Malaysia malah tidak terlalu sukar untuk digapai oleh minda bebas Gen Z. Pendek kata, jangan jadikan bahasa sebagai penghalang dalam menimba ilmu.

Pihak swasta perlu berganding bahu menongkat usaha kerajaan dalam memudahcara dan mengasimilasi keperluan industri dengan guna tenaga STEM di kalangan Gen Z. Usaha ini diharapkan akan menjadi lebih mudah dan meluru impaknya dengan ledakan dan pendedahan digitalisasi di kalangan Gen Z masa kini dalam menghubungkan bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar.

Pendidikan STEM bukan sekadar kebimbangan akademik malah ianya adalah satu kewajipan sosioekonomi sebuah negara yang berimpikan kelestarian kemajuan dalam segenap aspek kehidupan. Gen Z memegang kunci, tetapi melainkan Malaysia menghapuskan halangan-halangan ini dan menggantikannya dengan solusi yang bukan separa matang, janji masa depan yang dipacu STEM akan kekal seperti satu janji yang tinggal hanya janji.

Ibu bapa, pendidik, pembuat dasar dan pemimpin industri mesti bertindak sekarang. Galakkan rasa ingin tahu, laburkan dalam sumber dan cipta laluan kerjaya yang jelas. Masa depan ekonomi Malaysia dan generasi akan datang bergantung kepadanya.

Pendidikan STEM bukan sekadar agenda akademik tetapi nadi kepada daya tahan sosioekonomi sebuah negara yang bercita-cita untuk berdiri sama tinggi di pentas global. Gen Z sebenarnya memegang kunci perubahan itu, namun masa depan hanya boleh digerakkan jika segala halangan daripada dasar, infrastruktur, hinggalah persepsi masyarakat, berani ditangani secara tuntas dan menyeluruh.

Malaysia perlu membuat pilihan besar, sama ada mengekalkan sistem yang membuatkan STEM terus dijauhi, atau membina ekosistem yang menjadikan ilmu ini relevan, menarik, dan dekat dengan realiti anak muda.

Persoalannya, dalam persaingan dunia yang semakin sengit dan dipacu teknologi, mampukah kita bertahan jika generasi pewaris negara sendiri memilih untuk menjauh daripada bidang yang menentukan masa depan mereka?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD FARID BIN ABDUL FUAD
Ahmad Farid Abdul Fuad
Pensyarah
Pusat Asasi STEM
Universiti Malaysia Terengganu

DR MOHD YUSOF ZULKEFLINEW
Dr Mohd Yusof Zulkefli
Penyelaras Pengajian Liberal/Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

MAT YUNUS BIN SABRI